Isnin, 13 Oktober 2014

PAS Pahang gesa ahli parti tidak terlibat dengan PasMa

PAS Pahang menggesa seluruh ahli parti agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti anjuran PasMa sebagaimana yang telah diarahkan oleh Majlis Syura. Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai sebuah badan tertinggi parti, Majlis Syura bertanggungjawab memelihara keaslian jamaah dari anasir yang boleh merosakkan parti. Menurutnya, PasMa yang ditubuhkan atas matlamat kebajikan, kini telah jauh menyimpang dari tujuan asal. Beliau menambah, sebagai sebuah entiti NGO parti, sepatutnya ia fokus kepada soal kebajikan ahli dan anggota masyarakat, bukan mengadakan majlis bagi mempertikaikan Presiden dan Majlis Syura atau keputusan parti. "Apa erti kita berada dalam parti lalu mengadakan majlis bagi mempertikai kepimpinan parti, mempersoal perkara yang telah diputus oleh jamaah termasuk dasar dan perlembagaan parti," ujar beliau dalam satu kenyataan. Katanya, sehubungan arahan tersebut yang bertujuan agar tiada jamaah dalam jamaah, atau tiada parti dalam parti, sehingga wujud pelbagai masalah dalaman parti sekiranya fenomena ini tidak dibendung, ia akan mengundang kekeliruan dan pra sangka buruk ahli kepada kepimpinan parti. "PAS Pahang akan memantau secara dekat sebarang aktiviti yang boleh merosakkan jamaah ini," katanya lagi. Jelasnya, PAS mempunyai saluran bagi menyatakan sikap dan pandangan. "Perbezaan pandangan dirai dalam ruang yang ada, bukan menambah kekeliruan dengan pelbagai kritikan yang tidak berasas serta tidak menguntungkan jamaah. "Kepada Allah kita bertawakal," katanya lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan