Isnin, 13 Oktober 2014

Senarai produk berkaitan GST diwartakan hari ini- Ahmad Husni

Senarai produk yang berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan diwartakan oleh kerajaan esok, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Beliau berkata senarai itu mengandungi lebih daripada 900 barang yang berada dalam ‘basket of goods’ (kumpulan barang). “Lebih 900 produk yang berada dalam ‘basket of goods’ akan diwartakan esok. “Kita perlu mewartakannya lebih awal supaya langkah itu membolehkan peniaga menstrukturkan semula sistem perniagaan masing-masing apabila CBP mula dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan carnival futsal dan bola jaring Piala Ahli Parlimen Tambun di sini, hari ini. Beliau berkata kementerian berkenaan juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mewujudkan jalinan dengan sektor pengguna supaya dapat memastikan kenaikan harga tidak berlaku sewenang-wenangnya. Ahmad Husni juga berkata satu badan pemantau secara kerjasama dengan persatuan pengguna di peringkat negeri dan nasional turut akan dibentuk. “Setakat ini kita mempunyai tujuh persatuan pengguna, kita akan memberi bajet kepada mereka atas kerjasama dengan kerajaan untuk membantu orang ramai memastikan tidak berlaku kenaikan harga sewenang-wenangnya oleh penjual,” katanya. Di bawah CBP, terdapat produk yang tidak dikenakan cukai di semua peringkat iaitu pengilang, pemborong, peruncit dan pembeli, katanya. “Satu lagi adalah pengecualian CBP atau ‘exempt supply’ iaitu cukai pada peringkat ‘output’ tidak perlu dibayar, maknanya rantaian daripada peruncit hingga pembeli tidak perlu bayar, tetapi di peringkat ‘input’, ia perlu dibayar,” katanya. Mengenai Bajet 2015 pula, Ahmad Husni berkata ia adalah bajet kesinambungan sehingga tahun 2020 dan seterusnya yang memberi penekanan kepada ekonomi keperluan rakyat. Sebagai contoh katanya, peruntukan untuk pembangunan infrastruktur di Sarawak seperti Lebuh Raya Pan Borneo adalah ekonomi modal fizikal tetapi memberi kesan kepada ekonomi keperluan rakyat, katanya. “Ia (projek tersebut) membuka kawasan yang tiada hubungan infrastruktur, membuka hubungan rakyat, hubungan kawasan luar bandar-bandar. Untuk capai itu ia mesti datang daripada ‘ekonomi modal fizikal’,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan