Rabu, 18 Jun 2014

PAC panggil Kementerian Kewangan ekoran Laporan Ketua Audit Negara

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan berhubung pemberian projek secara rundingan terus kepada sebuah syarikat yang tidak berkelayakan. Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PAC juga akan memanggil pegawai pengawal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan syarikat itu, JAKS Resources Bhd, yang dianugerahkan Projek Pembangunan Empangan Paya Peda, Besut, Terengganu bernilai RM348 juta. "Selepas mendengar penjelasan tadi, PAC tidak berpuas hati kerana projek ini lambat siap sehingga memberi banyak masalah kepada penduduk tempatan dan projek ini tidak diuruskan dengan baik dan tidak dipantau. "PAC akan memanggil kesemua mereka dalam masa terdekat. Walaupun kita ada banyak proseding lain, namun kita akan beri keutamaan pada kes ini," katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkenaan projek itu di bangunan Parlimen di sini, hari ini. Prestasi projek empangan itu, yang bertujuan menyalurkan bekalan air ke kawasan pertanian, dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada April lepas. Nur Jazlan berkata, PAC mendapati syarikat itu tidak berwibawa dan tidak mempunyai sijil kelayakan yang diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk membina empangan selain didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan kementerian. "Kelemahan kontraktor ini antaranya ialah tidak mempunyai peralatan cukup, tiada pegawai teknikal selain mereka melakukan subkontrak dengan membahagikan projek itu kepada kontraktor lain, sedangkan ia sepatutnya disiapkan oleh mereka," katanya. Menurutnya, sesebuah syarikat yang mahu mendapatkan projek kerajaan sepatutnya bersikap profesional dan tidak mengambil sesuatu projek yang tidak layak atau tidak mampu dilaksanakan oleh mereka. Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata projek empangan itu sepatutnya sudah siap namun disebabkan masalah itu, pembinaannya kini hanya 83 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya April tahun depan. Syarikat itu kini didenda atas sebab lewat menyiapkan projek dengan jumlah RM50,000 bagi setiap hari yang lewat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan