Rabu, 18 Jun 2014

MH370- Kerajaan belum putuskan untuk bentang Kertas Putih

Kerajaan belum memutuskan sama ada untuk membentangkan Kertas Putih di Parlimen berhubung tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Katanya keputusan sama ada untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ataupun Jawatankuasa Khas Parlimen susulan daripada tragedi itu juga belum dibuat. “Keputusan mengenainya akan dibuat setelah pesawat yang hilang ditemui, siasatan mengenai insiden dijalankan dan punca tragedi dikenal pasti. “Usaha mencari pesawat MAS MH370 akan diteruskan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Kluang) di persidangan Dewan Rakyat hari ini. Liew ingin tahu sama ada Kementerian Pengangkutan bercadang untuk membentangkan kertas putih berhubung tragedi MH370 di Parlimen berdasarkan Nota Kabinet yang diberikan oleh Hishammuddin pada 14 Mei lalu. Berhubung anggaran kos yang telah dibayar dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370, Hishammuddin berkata sehingga kini kerajaan masih belum menilai keseluruhan kos kerana operasi SAR ini masih berjalan. “Kos operasi SAR dilaksanakan sejajar dengan standard yang ditetapkan di bawah Lampiran 12 SAR, Konvensyen Chicago 1944 yang mana setiap negara perlu menyediakan perkhidmatan SAR di kawasan wilayah mencari dan menyelamat (SRR) yang telah ditetapkan oleh Keselamatan Penerbangan, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). “Dalam hubungan ini, kos operasi SAR adalah ditanggung oleh negara-negara yang terlibat,” katanya. Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) berhubung sebab negara hanya menumpukan carian pesawat MAS MH370 di Lautan Hindi dan tidak di Koridor Utara, Hishammuddin berkata kerajaan telah memohon kerjasama daripada 11 buah negara untuk menjalankan pencarian pesawat MAS MH370 di Koridor Utara. “Koridor Utara merentasi 11 buah negara bermula dari bahagian utara Thailand hingga ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan, manakala Koridor Selatan merentasi dua buah negara iaitu Indonesia dan Australia (bahagian selatan Lautan Hindi). “Negara-negara yang berada di koridor utara telah mengesahkan berdasarkan maklumat radar, adalah didapati pesawat MAS MH370 tidak memasuki ruang udara negara-negara tersebut,” kata Hishammuddin. Katanya Bangladesh dan Kemboja turut mengerahkan aset-aset mereka untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dalam SRR masing-masing. “Namun, hasil operasi SAR yang telah dijalankan tidak menjumpai pesawat MH370 di SRR mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan