Selasa, 12 April 2016

VETERAN UMNO GESA TUN M DIKENAKAN TINDAKAN UNDANG UNDANG

Veteran UMNO meminta kerajaan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap Tun Dr Mahathir kerana perbuatannya yang cuba mendapatkan campur tangan kuasa asing dalam hal pentadbiran negara. Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata tindakan bekas Perdana Menteri itu telah melampaui batas dan jelas menunjukkan beliau dalam keadaan terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Veteran UMNO tidak mahu kerajaan berkompromi dalam hal kestabilan negara dan tidak sewajarnya membenarkan mana-mana rakyat negara ini mensabotaj negara sendiri. "Tidak harus ada pertimbangan dan tolak ansur demi maruah negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Dalam temu bual dengan akhbar Australia, The Weekend Australian, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa harapan Najib untuk berundur adalah tipis sekiranya tidak mendapat tekanan pihak luar. Mustapha berkata sikap Dr Mahathir membuktikan beliau sedang berhadapan dengan satu keadaan pertentangan jiwa di antara rasional dan emosional. "Tun Mahathir sanggup menjilat ludahnya sendiri dan membelakangi prinsipnya yang suatu masa dahulu amat membenci campur tangan asing dalam hal pentadbiran negara ini. "Jelas Tun Mahathir bersikap 'double standard'. Beliau tidak mahu kuasa asing campur tangan semasa pemerintahannya, tetapi beliau sendiri yang berusaha mendapatkan pengaruh kuasa asing untuk menjatuhkan Najib," katanya.BERNAMA

SPR MESYUARAT KHAMIS TENTUKAN TARIKH PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK

Berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, 14 April, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri ke-11. Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mesyuarat akan diadakan di Dewan Muhibbah, Hotel Merdeka Palace di sini pada pukul 9.30 pagi dan akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah. Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh bagi hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya itu, katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata pengerusi SPR akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat itu. Pilihan raya negeri harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri. Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 itu akan menawarkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas. Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar berkata Sarawak kini di bawah kerajaan sementara mengikut Perlembagaan Negeri apabila terbubarnya DUN Sarawak hari ini. "Kerajaan sementara akan meneruskan urusan dan berfungsi seperti kerajaan negeri. Tidak banyak beza. "Namun begitu, kerajaan sementara tidak boleh meluluskan apa-apa projek," katanya kepada Bernama dan RTM di pejabatnya di sini. Mengikut Artikel 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, Asfia berkata dewan akan bersidang dalam tempoh 120 hari bermula dari hari ini. Dalam tempoh ini, beliau berkata kedudukan ketua menteri dan Jemaah Menteri kekal sehingga kerajaan baharu dibentuk atas perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

ISU JATUHKAN MB JOHOR, HALIMAH SADIQUE NAFI TERBABIT

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique hari ini menafikan beliau antara timbalan menteri dari Johor yang didakwa terbabit dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Halimah berkata beliau tidak faham bagaimana timbulnya 'cerita-cerita' tidak betul itu sekali gus menyifatkan ia sebagai tindakan yang sengaja mahu mengelirukan rakyat Johor. "Saya hendak jelaskan, cerita tentang gerakan mahu menjatuhkan Mohamed Khaled adalah cerita tidak betul. "Kami timbalan-timbalan menteri yang bekerja di Kuala Lumpur membawa mandat rakyat Johor kepada Kerajaan Persekutuan. "Kami setia kepada Sultan Johor dan negeri Johor. Kenapa timbul langau-langau yang hendak mengelirukan rakyat dan sengaja mencetuskan perbalahan," katanya. Anggota Parlimen Tenggara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran skim perumahan mampu milik swasta (MyHome) Bandar Dato' Onn, di sini hari ini. Laporan baru-baru ini menyebut terdapat gerakan diketuai seorang individu untuk menukar Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar. Halimah berkata kepimpinan Mohamed Khaled di Johor dapat dinilai menerusi pelbagai perubahan dan kemajuan yang dicapai negeri ini. Katanya, segala pembangunan yang dirancang kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamed Khaled merupakan agenda rakyat dan memahami aspirasi rakyat. "Jadi, kepada rakyat Johor, janganlah percaya cerita-cerita fitnah ini yang sengaja digerakkan untuk memecah-belahkan perpaduan bangsa Johor," katanya.BERNAMA

Khamis, 7 April 2016

KES 1MDB PENGAJARAN KEPADA KERAJAAN- SALLEH

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) harus menjadi pengajaran kepada kerajaan. Beliau berkata kerajaan memerlukan pengurus yang profesional, kompeten dan berpengalaman apabila menguruskan wang pembayar cukai. "Telah banyak kali kita menyaksikan kerugian akibat kelemahan keputusan. Untuk mendepani cabaran, kita perlu menyerahkan tugas itu kepada orang yang berkelayakan. Dan ini harus menjadi strategi yang diamalkan," kata beliau menerusi catatan dalam blog terbaharunya (sskeruak.blogspot.my) di sini, Khamis malam. Hari ini, siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat pelaburan itu "kurang memuaskan" menyebabkan kelemahan tadbir urus korporat. Bagaimanapun, dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC berkata kerajaan telah mengambil langkah segera untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat pelaburan strategik itu yang timbul pada November 2014. Salleh berkata PAC tidak berkhidmat dengan kerajaan tetapi ia mewakili Parlimen dan anggotanya terdiri daripada kerajaan dan pembangkang. Beliau menjelaskan laporan itu tidak boleh dikeluarkan kecuali terdapat konsenses daripada semua anggota PAC dengan sebulat suara mencapai kesepakatan bahawa dapatan laporan itu adalah faktual dan tidak boleh dipersoalkan. Sementara itu, beliau berkata tidak ada bukti mengenai apa-apa aktiviti jenayah, wang RM42 bilion wang 1MDB tidak hilang dan RM2.6 bilion daripada wang 1MDB tidak dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Apa yang disebut hanyalah dakwaan pengurusan yang tidak cekap dan andaian bahawa pasti Perdana Menteri sedar tentang perkara ini, dan walaupun jika tidak sedar, beliau juga harus bertanggungjawab," katanya. Salleh berkata memikul bertanggungjawab bagi pengurusan yang tidak cekap atau kelemahan keputusan perniagaan adalah jauh menyimpang daripada dakwaan mencuri berbilion-bilion wang pembayar cukai untuk kegunaan peribadi. "Perwaja, Proton, kerugian Forex RM30 bilion, Maminco, dan banyak lagi, semuanya ialah kes sama ada kelemahan pengurusan atau keputusan perniagaan yang tidak bijak. Tetapi tiada siapa yang diminta dipenjarakan kerana mencuri melibatkan wang pembayar cukai wang," katanya. Beliau berkata Najib telah "dibicarakan" dalam media dan disabitkan oleh mahkamah pendapat umum. Salleh berkata di bawah Najib, perbahasan dan kebebasan bersuara dibenarkan dengan lebih meluas daripada masa lalu dan meminta rakyat Malaysia membezakan antara kebebasan bersuara dan fitnah.BERNAMA

VETERAN UMNO MINTA PM NAJIB JANGAN LAYAN TUDUHAN KAITKAN 1MDB

Veteran Umno Malaysia (Veteran) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak lagi melayan sebarang tuduhan yang mengaitkan beliau dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata laporan yang dibentang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen hari ini jelas mendapati perdana menteri tidak terlibat dalam isu membabitkan syarikat berkenaan, termasuk dakwaan bertanggungjawab dengan kehilangan wang RM42 bilion dan tuduhan menggunakan wang 1MDB untuk tujuan peribadi. Mustapha berkata pihaknya sememangnya menunggu laporan dan pengesahan PAC yang diketuai Datuk Hassan Arifin itu. "Veteran yakin, laporan PAC yang keanggotaannya terdiri dari wakil-wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pembangkang adalah telus dan tidak boleh dibeli atau disogok. Oleh itu, tidak ada sebab keputusan itu harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang rasional, kecuali mereka yang tidak mahu mengalah dan mahu menegak benang basah serta berniat jahat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis. Sehubungan itu, katanya pihaknya menggesa perdana menteri untuk tidak lagi membazir masa melayan kerenah mereka yang memang berniat jahat dan cuba menjatuhkan beliau dengan secara tidak sah dan tidak mengikut lunas saluran demokrasi. "Sekiranya selepas laporan PAC ini masih ada pihak yang masih menuduh Najib terlibat dengan kehilangan wang 1MDB dan penyaluran RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya, Veteran mahu supaya Najib mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka," katanya. Mustapha berkata pihaknya juga mahu laporan PAC itu diperjelaskan kepada rakyat dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua pihak termasuk media. Justeru, katanya, pihak terlibat termasuk menteri-menteri, ketua jabatan dan pemimpin BN perlu turun padang untuk memperjelaskan keputusan PAC itu. "Tindakan ini perlu dilakukan bukan untuk membersihkan nama Najib tetapi untuk membersihkan nama kerajaan yang tercemar dengan tuduhan dan fitnah liar oleh pembangkang dan mereka yang mahu Najib dijatuhkan sebagai ketua kerajaan," katanya.

WANITA UMNO JOHOR TOLAK DAKWAAN ADA USAHA JATUHKAN MB

Pergerakan Wanita Umno Johor pada Khamis menolak sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan adanya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Ketua Wanita Umno Negeri Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata seluruh kepimpinan Wanita Umno Johor berdiri teguh di belakang kepimpinan Menteri Besar. Menurutnya, Mohamed Khaled bukan sahaja dilihat sebagai Menteri Besar yang berjaya membawa perubahan dan kemajuan dalam pentadbiran tetapi juga kepada pengurusan kerajaan negeri yang merangkumi pelbagai aspek untuk kepentingan rakyat dan bangsa Johor. "Menteri Besar Johor juga telah berjaya membawa perpaduan dan permuafakatan di kalangan pimpinan Umno pelbagai lapisan dan peringkat. (Jadi) tidak perlulah kita melayan isu-isu yang boleh melemahkan jentera dan parti. Saya menyeru seluruh ahli Wanita Umno pelbagai peringkat terus bekerja keras membantu Menteri Besar Johor dalam menangani permasalahan dan menjaga kebajikan rakyat seterusnya memastikan pengukuhan parti dipertahankan demi mencapai kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-14," kata beliau dalam satu kenyataan di sini Khamis. Sharifah Azizah berkata Johor dengan cara dan acuan tersendiri pastinya memerlukan lebih banyak sentuhan ajaib daripada Menteri Besar Johor bagi melakar kejayaan bangsa Johor kini dan masa hadapan. "Rekod cemerlang ditunjukkan Mohamed Khaled selama ini menjadikan tiada sebab untuk beliau digantikan dengan orang lain. Wanita Umno berharap rakyat menolak dengan sekeras-kerasnya adu domba yang cuba dikaitkan di antara Mohamed Khaled dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata beliau. Wanita UMNO Johor yakin jalinan persahabatan dan keakraban Mohamed Khaled dan Najib amat erat malahan hala tuju kepimpinan Menteri Besar Johor hari ini seiring dengan pendekatan yang dibuat oleh kerajaan pusat. Sementara itu, Ketua Pemuda Johor Hahasrin Hashim pula menyifatkan dakwaan itu sebagai 'pukat terlabuh, ikan tak dapat'. "Kami dari Pergerakan Pemuda Umno Johor ingin menegaskan bahawa sebarang gerakan bagi menukar Menteri Besar Johor adalah satu perkara yang mengarut dan membazir masa," katanya dalam satu kenyataan berasingan. Menurut Hahasrin, di bawah pentadbiran Mohamed Khaled negeri Johor terus maju dan menghasilkan pendapatan ekonomi negeri progresif dan hasilnya menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar(KDNK) Johor mencatatkan pertumbuhan pada kadar 6.5 peratus dengan nilai RM93.7 billion pada tahun 2014 sahaja. "Selain itu, banyak perkara yang mensejahterakan dan mengutamakan rakyat telah banyak dijalankan. Ini dapat dilihat menerusi Pelan Suara Hati Johor, Pelan Pertumbuhan Ekonomi Johor dan bajet tahunan yang dibentangkan dan terbukti mengikut kehendak dan keperluan rakyat," kata Hahasrin sambil menambah Pergerakan Pemuda Umno Johor tetap teguh bersama-sama Menteri Besar Johor. Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Md Jais Sarday pula berkata barisan kepimpinan kerajaan Negeri Johor dan Umno Johor akan terus mendokong kepimpinan Mohamed Khaled dalam menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan. "Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan semua sahabat, rakan serta seluruh rakyat Johor yang berdiri teguh bersama Menteri Besar kita," katanya menerusi akaun Facebook rasminya. Semalam, sebuah portal melaporkan adanya gerakan untuk menggantikan Mohamed Khaled.

KENYATAAN PENGERUSI PAC MENGENAI ISU 1MDB

Kenyataan Media YB Dato’ Hasan bin Arifin, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen
1) Hari ini, PAC membentangkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan ini dipersetujui sebulat suara serta konsensus ketika mesyuarat penyediaan laporan pada Isnin lalu. 2) PAC yang dianggotai 14 Ahli Parlimen sembilan ahli daripada parti Barisan Nasional (BN) dan lima daripada parti pembangkang dalam menyiapkan laporan ini secara kolektif dengan mengemukakan rumusan serta cadangan kepada Kerajaan berhubung kawalan pengurusan tadbir urus syarikat 1MDB yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) 3) PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016 dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat 1MDB termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan Juruaudit 1MDB. 4) PAC ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara (JAN) kerana membentangkan Laporan Pengauditan 1MDB kepada PAC pada 4 dan 7 Mac lalu. 5) Jawatankuasa ini bersandarkan maklumat daripada laporan yang disediakan JAN selaras dengan keputusan Kabinet yang mengarahkan Laporan Audit 1MDB dibentangkan kepada PAC untuk menjalankan siasatan, menyiapkan serta merumuskan Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB. 6) PAC mengakui bahawa syarikat 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urus yang dijelaskan dengan terperinci dalam laporan ini. 7) PAC juga mendapati bahawa struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang. 8) PAC juga berpuas hati dengan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pelan rasionalisasi syarikat 1MDB dan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam tempoh singkat bagi memulihkan syarikat ini 9)Atas sebab itu, PAC menyarankan supaya pihak penguatkuasa perlu mengkaji dengan teliti laporan ini dan membuat siasatan lanjut. Jika didapati wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil. Dato’ Hasan bin Arifin Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Merangkap Ahli Parlimen Rompin