Khamis, 9 Julai 2015
Angkasa sedia skim potongan gaji bayaran balik PTPTN
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sedia menawarkan perkhidmatan pemotongan gaji untuk kakitangan awam bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata tawaran itu bertujuan memudahkan lagi urusan tersebut memandangkan Angkasa sudah mempunyai pangkalan data maklumat peribadi kira-kira 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara ketika ini.
"Angkasa sudah berpengalaman sejak tahun 1971 dalam menguruskan pelbagai transaksi kewangan dan ketika ini kita menguruskan sebanyak 3.2 juta akaun dengan nilai transaksi sebulan lebih RM1.1 bilion.
"Jadi, kita harap tawaran ini akan diterima Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama PTPTN agar lebih banyak pinjaman dapat dikutip seterusnya dimanfaatkan semula untuk kemajuan pendidikan pelajar yang lain," katanya kepada pemberita di sini.
Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal berkata semua penjawat awam diwajibkan membuat potongan gaji bagi membayar balik pinjaman (PTPTN) dan tiada alasan untuk mengelak dari berbuat demikian.
Mengulas lanjut Abdul Fattah berkata pihaknya juga bersedia melakukan pemotongan gaji bagi kakitangan swasta yang berhutang dengan PTPTN sekiranya mendapat permintaan daripada agensi itu.
"Kita juga ada data maklumat kod potongan gaji yang melibatkan syarikat-syarikat korporat serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu, jadi ini memudahkan kita mengenal pasti peminjam-peminjam tersebut.
"Sistem potongan gaji ini diuruskan oleh Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA)," katanya.BERNAMA
1MDB beri kerjasama penuh siasatan PDRM
Syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memaklumkan bahawa mereka memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan berhubung pendedahan Wall Street Journal (WSJ) Jumaat lepas.
Semalam, satu pasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir ke pejabat 1MDB di Jalan Sultan Ismail untuk menjalankan siasatan dan mendapatkan dokumen berkaitan kes berkenaan.
“Kami mengesahkan bahawa beberapa orang pegawai daripada Pasukan Khas yang sedang menjalankan siasatan terhadap 1MDB, telah hadir ke pejabat kami.
“Mereka dibekalkan dengan beberapa dokumen dan barangan untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan,” menurut 1MDB dalam satu kenyataan media.
Syarikat itu berkata mereka memberikan sepenuhnya kerjasama kepada Pasukan Petugas Khas dan semua pihak berkuasa yang berkenaan.
9Julai15Siasatan_3
Pasukan polis membawa keluar bahan siasatan dari syarikat 1MDB di ibu negara semalam.
“Kami menekankan kedudukan kami sebelum ini bahawa jika terdapat sebarang salah laku, tindakan harus diambil oleh pihak berkuasa yang berkenaan, mengikut proses yang wajar dan mengikut undang-undang negara,” katanya.
Mengikut beberapa laporan media semalam yang melaporkan pejabat 1MDB diserbu dan digeledah adalah kurang tepat kerana pasukan berkenaan hanya hadir untuk melakukan siasatan yang diamanahkan sahaja.
Perkataan diserbu dan geledah seakan membawa maksud seakan-akan 1MDB sudah dipersalahkan dalam kes berkenaan.
Akhbar WSJ pada kes ini telah mengeluarkan laporan bahawa ada dana 1MDB didakwa disalurkan kepada akaun AmBank yang dikatakan milik peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Wang yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib itu bernilai AS$700 juta atau RM2.6 bilion.
Audit Negara serah laporan 1MDB kepada PAC hari ini
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini membentangkan laporan awal mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bangunan Parlimen.
Laporan yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak itu dibentangkan di hadapan PAC yang diketuai Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed kira-kira 10.30 pagi dan dijangka selesai sekitar 4 petang ini.
Media dibenarkan mengambil visual sebelum sesi itu dimulakan.
Pada 4 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan ketua audit negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.
PAC sebelum ini dilaporkan memulakan prosiding siasatan pada 19 Mei berhubung isu yang dihadapi syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.
PAC mengambil keputusan memulakan siasatan terhadap 1MDB susulan mesyuarat khas pada 30 April lepas.
Rabu, 8 Julai 2015
Beberapa dokumen dipejabat 1MDB dirampas
Pasukan Petugas Khas berhubung dakwaan dana 1Malaysia Development Bhd disalurkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri mengunjungi pejabat 1MDB di Jalan Sultan Ismail di sini Rabu dan mengambil beberapa dokumen.
Beberapa orang pegawai pasukan itu tiba pada 10.30 pagi dan masih berada di pejabat itu ketika berita ini ditulis pada 4.20 petang. Mereka tiba dalam dua buah kereta dan sebuah van polis.
Menurut seorang pengawal keselamatan di Menara IMC, hanya tingkat lapan yang menempatkan pejabat utama 1MDB ditutup kepada orang luar manakala pejabat-pejabat lain di bangunan itu beroperasi seperti biasa.
Katanya pengawal-pengawal diarahkan untuk tidak membenarkan mana-mana wartawan memasuki bangunan itu.
Sebelum itu, 1MDB mengesahkan beberapa pegawai pasukan petugas khas mengunjungi pejabatnya.
"Mereka diberikan beberapa dokumen dan bahan untuk membantu dalam siasatan yang kini sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jumaat lepas, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Hari ini, Perdana Menteri mengambil langkah pertama tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal berkaitan dakwaan itu.
Bertindak bagi pihaknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menghantar surat kepada Dow Jones, penerbit WSJ, meminta pengesahan tentang pendiriannya berkaitan dakwaan dalam artikel-artikel yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai.BERNAMA
PM Najib arah peguam teliti artikal WSJ
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak untuk meneliti artikel yang diterbitkan The Wall Street Journal bertajuk " Malaysia Leader's Accounts Probed".
Bertindak bagi pihak firma berkenaan, Wan Azmir Wan Majid, dalam satu kenyataan berkata artikel bertarikh 2 Julai itu, dicemari pelbagai tuduhan terhadap Najib yang melibatkan beberapa syarikat dan transaksi.
Beliau berkata dengan meneliti artikel berkenaan, mereka (para peguam) membuat kesimpulan bahawa bahasa yang digunakan, dengan sengaja atau sebaliknya, merujuk kepada beberapa fakta dan syarikat yang diterangkan secara samar-samar.
Katanya artikel oleh WSJ dikeluarkan, diterbit dan disebarkan melalui laman portal WSJ iaitu www.wsj.com.
"Pertamanya, kami telah diarahkan untuk mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kepengarangan, pengedaran dan penerbitan artikel tersebut, bagi tujuan menamakan pihak-pihak yang sewajarnya dalam apa-apa tindakan yang akan dilakukan. Ini memerlukan perbincangan dan penyelidikan memandangkan artikel itu tidak menggambarkan maklumat yang luas untuk perkhidmatan sebarang surat undang-undang atau dokumen mahkamah".
"Kedua, satu lagi isu yang menjadi perhatian ialah bidang kuasa memandangkan penerbitan berasal dari Amerika Syarikat dan boleh diakses di seluruh dunia. Kami juga telah diarahkan supaya wakil tempatan WSJ hadir dan kami juga meneruskan usaha mendapatkan penjelasan lanjut dan terperinci mengenai perkara ini," katanya.
Wan Azmir berkata memandangkan artikel itu melibatkan beberapa pihak, para peguam juga telah diarahkan untuk mempertimbangkan tindakan bersama atau tindakan ke atas, jika bukti menunjukkan wujud konspirasi terhadap pelanggan mereka.
"Sila ambil perhatian bahawa syarikat dinamakan sebagai konspirator dengan pelanggan kami, dalam artikel ini adalah, International Petroleum Investment Co, Tanore Finance Corp, SRC International Sdn Bhd and Ihsan Perdana Sdn Bhd," katanya.
Peguam itu seterusnya menyatakan bahawa beberapa nama-nama syarikat dan organisasi hanya dirujuk sebagai syarikat berkaitan atau syarikat-syarikat yang dimiliki oleh organisasi-organisasi tertentu atau syarikat-syarikat.
Beliau berkata sumber atau destinasi atau transaksi yang didakwa tidak pernah didedahkan.
"Ini, sama ada secara sengaja atau sebaliknya, telah menyebabkan wujud keperluan untuk identifikasi fakta. Apabila dia telah mengenal pasti pihak-pihak tertentu, bidang kuasa dan penglibatan konspirator atau pihak-pihak yang juga telah secara tidak bersalah dikaitkan dalam artikel ini, kami boleh meneruskan untuk menangani isu ketiga," jelas Wan Azmir.
Beliau juga berkata, isu yang ketiga adalah untuk menangani semua kemungkinan atau remedi undang-undang munasabah untuk pelanggan mereka.
Katanya ini termasuk tetapi tidak terhad kepada tindakan fitnah, tindakan selanjutnya yang berliku-liku dan remedi termasuk sebarang pelanggaran mengikut undang-undang oleh WSJ dan syarikat-syarikat berkaitan dan (jika ada) yang berkomplot.
Peguam itu berkata bahawa ini bukan satu tindakan undang-undang yang berterus terang disebabkan oleh dakwaan-dakwaan di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Kami telah diarahkan untuk mengenal pasti fakta dan memberikan fakta-fakta penuh sebelum pelanggan kami dapat meneruskannya dengan arahan selanjutnya," katanya.
Wan Azmir berkata tujuan penjelasan ini adalah untuk mengelakkan bantahan yang tidak perlu oleh WSJ berhubung dakwaan-dakwaan yang dibuat.
"Apabila pelanggan kami telah mendapat semua fakta yang diperlukan dan kedudukan WSJ ditentukan, kita mempunyai arahan-arahan tegas untuk segera menggunakan semua saluran undang-undang dan remedi," katanya.BERNAMA
Selasa, 7 Julai 2015
Pembangkang cuba menangguk di air keruh-Ahmad Zahid
Tindakan pembangkang mengadakan pertemuan tergempar dengan semua ahli Parlimen kononnya untuk membincangkan isu semasa adalah bertujuan menangguk di air yang keruh dan mengganggu kestabilan politik negara.
Ahmad Zahid
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu hanya berhasrat mengeruhkan lagi keadaan di sebalik pelbagai tuduhan oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, Ahli Parlimen BN tetap akan bersama-sama Perdana Menteri untuk menerajui negara ketika beliau ditohmah dengan pelbagai tuduhan palsu.
“Dari segi perundangan, memang ada asas untuk memanggil pertemuan itu tetapi bagi saya tidak ada keperluan berbuat demikian,” katanya kepada laman portal BNBBC.my hari ini.
Beliau mengulas hasrat Wan Azizah yang juga Presiden PKR untuk mengadakan pertemuan tergempar di bangunan Parlimen esok bagi membincangkan hala tuju politik negara termasuk dakwaan WSJ terhadap Perdana Menteri.
Dalam pada itu, mengulas mengenai ura-ura pakatan pembangkang yang baharu ekoran krisis antara Pas dengan DAP, Ahmad Zahid berkata, kerjasama pakatan pembangkang selama ini sememangnya telah dijangka bakal terlerai.
“Pakatan tidak berasaskan ideologi, jauh sekali falsafah politik. Itu hanya cubaan seperti dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan pakatan pembangkang. Ia hanya cubaan yang akan berakhir dengan kehancuran,” katanya.
Baru-baru ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu memberitahu, sebuah pakatan baharu akan wujud dalam kalangan parti pembangkang ekoran terputusnya kerjasama politik antara DAP dengan Pas.
Langgan:
Ulasan (Atom)





