Khamis, 9 Julai 2015

Angkasa sedia skim potongan gaji bayaran balik PTPTN

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sedia menawarkan perkhidmatan pemotongan gaji untuk kakitangan awam bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata tawaran itu bertujuan memudahkan lagi urusan tersebut memandangkan Angkasa sudah mempunyai pangkalan data maklumat peribadi kira-kira 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara ketika ini. "Angkasa sudah berpengalaman sejak tahun 1971 dalam menguruskan pelbagai transaksi kewangan dan ketika ini kita menguruskan sebanyak 3.2 juta akaun dengan nilai transaksi sebulan lebih RM1.1 bilion. "Jadi, kita harap tawaran ini akan diterima Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama PTPTN agar lebih banyak pinjaman dapat dikutip seterusnya dimanfaatkan semula untuk kemajuan pendidikan pelajar yang lain," katanya kepada pemberita di sini. Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal berkata semua penjawat awam diwajibkan membuat potongan gaji bagi membayar balik pinjaman (PTPTN) dan tiada alasan untuk mengelak dari berbuat demikian. Mengulas lanjut Abdul Fattah berkata pihaknya juga bersedia melakukan pemotongan gaji bagi kakitangan swasta yang berhutang dengan PTPTN sekiranya mendapat permintaan daripada agensi itu. "Kita juga ada data maklumat kod potongan gaji yang melibatkan syarikat-syarikat korporat serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu, jadi ini memudahkan kita mengenal pasti peminjam-peminjam tersebut. "Sistem potongan gaji ini diuruskan oleh Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA)," katanya.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan