Rabu, 8 Julai 2015

Beberapa dokumen dipejabat 1MDB dirampas

Pasukan Petugas Khas berhubung dakwaan dana 1Malaysia Development Bhd disalurkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri mengunjungi pejabat 1MDB di Jalan Sultan Ismail di sini Rabu dan mengambil beberapa dokumen. Beberapa orang pegawai pasukan itu tiba pada 10.30 pagi dan masih berada di pejabat itu ketika berita ini ditulis pada 4.20 petang. Mereka tiba dalam dua buah kereta dan sebuah van polis. Menurut seorang pengawal keselamatan di Menara IMC, hanya tingkat lapan yang menempatkan pejabat utama 1MDB ditutup kepada orang luar manakala pejabat-pejabat lain di bangunan itu beroperasi seperti biasa. Katanya pengawal-pengawal diarahkan untuk tidak membenarkan mana-mana wartawan memasuki bangunan itu. Sebelum itu, 1MDB mengesahkan beberapa pegawai pasukan petugas khas mengunjungi pejabatnya. "Mereka diberikan beberapa dokumen dan bahan untuk membantu dalam siasatan yang kini sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Jumaat lepas, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. Hari ini, Perdana Menteri mengambil langkah pertama tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal berkaitan dakwaan itu. Bertindak bagi pihaknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menghantar surat kepada Dow Jones, penerbit WSJ, meminta pengesahan tentang pendiriannya berkaitan dakwaan dalam artikel-artikel yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan