Selasa, 25 November 2014

Keadaan di Sabah jauh lebih selamat berbanding tahun lepas- Dr Ahmad Zahid Hamidi

Keadaan di Sabah, terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), kini lebih selamat berbanding setahun lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata kementerian dengan kerjasama pentadbiran Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan kerajaan Sabah mengambil pelbagai langkah meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan. "Saya bersetuju dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, (sekiranya) enam bulan atau setahun lalu. Keadaan jauh berbeza sekarang kerana ESSComm diketuai seorang pegawai kanan polis dan saya, selaku menteri, telah gazetkan perintah berkurung pada waktu-waktu tertentu," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Korporat sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. Ahmad Zahid berkata keadaan di Esszone kini bertambah selamat dan pelancong asing, terutamanya dari China, semakin ramai mengunjungi Sabah dan lebih yakin dengan pentadbiran ESSComm. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Nazri di Dewan Rakyat bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan enggan mengambil risiko mempromosi Sabah selagi kes penculikkan melibatkan pelancong asing di Negeri di Bawah Bayu itu belum selesai. Dalam hal berkaitan, Ahmad Zahid berterima kasih kepada Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang bekerjasama dengan pentadbiran ESSComm untuk terus promosikan kawasan pelancongan di ESSZone. Menyentuh desakan pelbagai pihak agar Akta Hasutan 1948 dikekalkan, Ahmad Zahid berkata mereka tidak perlu khuatir kerana Akta Keharmonian Nasional yang dicadang bagi menggantikannya adalah satu transformasi politik kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak komited untuk melaksanakannya. "Datuk Seri Najib telah beri jaminan bahawa perkara-perkara sensitif yang termaktub dalam Akta Hasutan akan terus dipertahankan terutama mengenai kedudukan agama Islam, Raja-raja, hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu. "Ertinya walaupun Akta Hasutan mungkin dihapuskan tetapi rohnya bagi menjaga keharmonian pelbagai kaum tetap ada dan saya yakin hal berkenaan dikekalkan," katanya. Berhubung cadangan seorang perwakilan Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 supaya satu sayap baharu iaitu sayap mahasiswa diwujudkan Umno, Naib Presiden itu tidak menolak ia boleh dipertimbangkan. "Namun ia harus diperincikan. Secara peribadi cadangan itu adalah manifestasi keterlibatan dan komitmen Gen X dan Y dalam Umno dan tentunya ia boleh dikembangkan," katanya.

Najib mahu Wanita UMNO teruskan peranan sebagai barisan memperkasa semangat parti

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Wanita Umno perlu terus melaksanakan peranan mereka sebagai barisan memperkasa semangat sejati parti itu. Perdana Menteri berkata komitmen dan perjuangan Wanita Umno mendekati rakyat selama ini telah menjadi benteng dan perisai parti itu untuk terus kekal berkuasa. "Walaupun kita berada di zaman serba canggih, walaupun hari ini dunia ada di hujung jari, tetapi tidak ada yang lebih tinggi nilainya daripada khidmat dan perjuangan kita atas rasa sayang dan cinta terhadap parti kita," katanya ketika berucap pada pelancaran buku 'Serikandi Negara' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa. Buku setebal 127 muka surat itu diterbitkan Pergerakan Wanita Umno memaparkan perubahan dan pembaharuan pergerakan itu yang menjadi teras serta tulang belakang Umno. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Najib berkata Wanita Umno telah terbukti melaksanakan peranan penting dalam membantu parti Umno sejak kemerdekaan negara hingga kini. Justeru katanya penerbitan buku berkenaan dapat menunjukkan suka duka yang dilalui pergerakan itu untuk dirakamkan dalam lipatan sejarah negara. Sementara itu, Shahrizat berkata pergerakan itu akan menjadi serikandi dalam mempertahankan Presiden dan Timbalan Presiden Umno daripada diganggu-gugat pihak tertentu. "Jangan ada sesiapa yang datang nak gugat wira-wira kita...jangan ada gunting dalam lipatan kerana kita akan jadi benteng utama," katanya. Beliau berkata Wanita juga akan berusaha membangkit semula semangat perjuangan anggota Umno bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

Jurucakap perbasahan jangan terlalu emosi-Hishammuddin

Semua perwakilan yang dilantik menjadi jurucakap dalam perbahasan sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 diingatkan tidak terlalu emosi kerana bimbang ia disalah tafsir, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Sekalipun tiada sebarang sekatan ucapan dikenakan, namun ucapan mereka perlulah realistik serta tidak menyentuh isu sensitif, kata Hishammuddin. "Kalau nak berbahas biarlah bersandarkan kepada fakta, tidak beremosi dan rasional. "Perlu diingat bahawa forum kita ini tidak berkisar kepada perwakilan sahaja, tapi ramai di luar sana daripada pelbagai lapisan kaum dan agama sedang memerhatikan perbahasan Umno," kata Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap Perhimpunan Agung Umno 2014. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Taklimat Khas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin Bersama Jurucakap Usul Majlis Tertinggi (MT) dan sayap di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. "Dengan perkembangan teknologi termasuk media sosial ketika ini kita tak boleh nak sekat ucapan...jadi lebih baik kita realistik dan buat perancangan," katanya. Taklimat yang berlangsung selama satu setengah jam itu dihadiri kira-kira 60 orang termasuk 42 jurucakap MT dan sayap. Hishammuddin berkata perhimpunan serta perbahasan Umno yang diikuti secara dekat oleh banyak pihak merupakan bukti bahawa parti itu mampu memperjuangkan nasib rakyat dan bukannya hanya kaum Melayu sahaja. "Saya gembira orang ramai masih berminat kepada perhimpunan Agung Umno ini. Kalau orang tak kisah bahawa perhimpunan kita mempunyai makna dan nilai, ia petanda yang cukup buruk kepada parti. "Kita nak semangat baharu daripada perwakilan untuk gerakkan Umno mengikut landskap politik hari ini dan diterima lapisan masyarakat pada masa akan datang," katanya. Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari ini sehingga Sabtu dihadiri 5,739 perwakilan.

Puteri UMNO buat rombakan selepas Perhimpunan Agung

Pergerakan Puteri Umno akan menyusun semula 23 bironya untuk memantapkan kedudukannya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Katanya, jumlah biro juga akan dikecilkan menjadi 15 biro sahaja dengan lebih memberi tumpuan kepada biro-biro berkaitan kepentingan anak muda seperti latihan, penerangan, media baharu dan menarik keanggotaan baharu. "Antara biro yang akan diberi penekanan selepas ini adalah keanggotaan dan daftar pemilih, penerangan dan pemidato, latihan dan pengkaderan, media sosial dan digital, ekonomi dan keusahawanan serta sukan, kebudayaan dan warisan. "Kita akan buat rombakan selepas tamat perhimpunan agung ini dan akan memulakan gerak kerja yang dipecahkan kepada tiga fasa bermula pada tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pergerakan itu di sini, hari ini. Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari ini hingga Sabtu dimulakan dengan perhimpunan tiga sayap parti itu - Wanita, Puteri dan Pemuda. Beliau berkata, pergerakan itu menyasar sebanyak 130,000 anggota baharu dalam tempoh tiga tahun ini dan Ketua Puteri Umno di setiap negeri diberi tanggungjawab khusus bagi merealisasikan hasrat berkenaan. "Sehingga tiga hari lepas, kita mempunyai seramai 375,356 anggota dan usaha berterusan perlu dijalankan dengan berterusan bagi menambah keanggotaan kepada 500,000 orang menjelang 2018. Saya akan tukar mana-mana Ketua Puteri Umno negeri yang gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Selain itu, kita turut melatih kira-kira 1,000 pemimpin Puteri di peringkat akar umbi untuk menjadi pemidato dan mereka juga ditugaskan untuk menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pembangkang terhadap polisi serta dasar kerajaan," katanya. Mengulas mengenai perhimpunan itu, Mas Ermieyati berkata sebanyak 15 pembahas terdiri daripada seorang wakil mahasiswa dan seorang orang kelainan upaya (OKU) akan membahaskan ucapan dasar Ketua Puteri Umno pada esok yang meliputi usul agama, politik, sosial, ekonomi dan pendidikan. Selain itu, Puteri Umno juga akan membahaskan tiga ucapan anggota Majlis Tertinggi Umno iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Dr. Mohd Puad Zarkashi.

Pemimpin kerajaan perlu sesuai diri dengan persekitaran berita masa

Pemimpin kerajaan perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran berita masa nyata memandangkan kitaran berita hari ini memerlukan mereka memberi respons masa nyata kepada mana-mana isu, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Khairy, penceramah terakhir Forum Antarabangsa Umno pada Selasa, berkata pemimpin terbabit perlu menyesuaikan diri dengan perubahan baharu yang menyaksikan media sosial bergerak sebagai akses pantas dan kesalinghubungan tanpa had. Suasana forum yang agak serius bertukar rentak apabila Khairy menonjolkan cabaran utama dihadapi pemimpin kerajaan dalam dunia kesalinghubungan. Beliau berkata penggunaan media sosial yang sebegitu kerap sebenarnya mewujudkan satu lagi sumber autoriti memandangkan orang ramai memilih untuk mempercayai apa yang mereka baca dalam media sosial berbanding media konvensional. "Kita tidak boleh menafikan bahawa media sosial merupakan medium paling berpengaruh dan hari ini, kitaran berita telah berubah menjadi berita masa nyata dan oleh itu, para pemimpin perlu memberikan respons dalam masa nyata. "Orang ramai lebih suka ahli politik yang boleh memberi maklum balas yang pantas melalui Twitter atau Facebook tanpa perlu membaca kenyataan yang disediakan. Mereka mahu melihat maklum balas spontan," katanya. Khairy juga berkata pemimpin hari ini perlu melibatkan diri dalam isu yang lebih telus dan konsisten memandangkan trend dalam rangkaian sosial berkembang menjadi satu dimensi baharu. "Orang ramai bukan lagi penerima pasif, mereka kini aktif dalam media sosial dan trend itu bukan sahaja untuk berkongsi atau menyebarkan maklumat, tetapi juga berkongsi pendapat dan menjadikannya viral," katanya. Kebolehan Khairy membentangkan fakta yang menarik mengagumkan bekas Menteri Sukan Belia dan Maghribi Moncef Belkhayat. Bercakap kepada Bernama selepas itu, Belkhayat berkata Khairy memberi nasihat yang baik dan munasabah kepada pemimpin berkaitan cara mendekati orang ramai melalui media sosial. "Ini antara penyampaian terbaik yang pernah saya saksikan tentang bagaimana menggunakan media sosial dengan betul untuk mana-mana ahli politik. Beliau (Khairy) telah memberi tujuh nasihat penting kepada kita untuk menggunakan media sosial," katanya. Belkhayat turut mengalu-alukan Khairy melawat Maghribi bagi mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara belia di Malaysia dan negara itu. Forum bertema Dunia Kesalinghubungan: Cabaran Dalam Pembinaan Negara diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Forum dua hari yang bermula semalam disertai 127 perwakilan asing dari 34 parti mewakili 22 negara dan kor diplomatik dari hampir 70 negara.BERNAMA

UMNO tubuh kelab pidato-Ahmad Maslan

UMNO menubuhkan ‘Kelab Pidato’ bagi melatih anggotanya berpidato dan membantu menerangkan dasar kerajaan kepada rakyat secara mudah dan lebih jelas. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata kelab itu ditubuhkan di kesemua 191 UMNO bahagian di seluruh negara. Inisiatif penubuhan kelab itu adalah ekoran perkembangan positif pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO yang julung kali dianjurkan sempena Perhimpunan Agung UMNO, tahun ini. “Kelab ini akan mengumpulkan penceramah di peringkat bahagian dan parlimen dan mereka akan mengadakan ceramah bukan ketika parlimen sudah dibubarkan. “Mereka akan adakan ceramah setiap masa apabila timbul isu-isu yang tertentu misalnya isu pelaksanaan GST,” katanya selepas program Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. DSC_7247_editSLIDERAhmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata anggota kelab akan dilengkapi ilmu pengetahuan yang mencukupi termasuk menerima taklimat khusus mengenai sesuatu isu sebelum menyampaikan ceramah itu kepada rakyat. Mengenai program hari ini, Ahmad berkata 12 peserta terbaik dari 10 UMNO bahagian Semenanjung dan dua peserta dari Sabah bertanding dalam pertandingan itu. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu, petang ini.

Isnin, 24 November 2014

Sistem pemilihan UMNO akan ditambahbaik-Hishammmuddin

Naib Presiden UMNO, Datuk Hishammuddin Hussein berkata, usaha penambahbaikan pemilihan UMNO akan dilakukan demi untuk memastikan sistem dan perlembagaan pemilihan UMNO yang baru akan lebih mantap dan efisyen pada masa yang akan datang. Menurut beliau yang merupakan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan, penambahbaikan ini dilakukan berdasarkan cadangan serta pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO diperingkat akar umbi yang dilihat mampu untuk menjadikan sistem pemilihan baru ini dapat dilaksanakan lebih baik dari perlaksaan awal ianya diperkenalkan. “Seperti biasalah, untuk pertama kali kita melaksanakan sesuatu yang baru, mesti ada perkara yang perlu diperkemaskan dari masa ke semasa. Semasa kita membuat pindaan perlembagaan dulu, kita menambah jumlah perwakilan dalam usaha untuk memastikan UMNO pemilihan kepimpinan UMNO akan lebih terbuka. Diskusi Bersama Bonafide Friends Of UMNO“Namun kita juga ada menerima beberapa cadangan di peringkat akar umbi yang mana kita melihat cadangan ini adalah baik. Maka biro perlembagaan dan perundangan hari ini berbincang untuk melihat beberapa pindaan terhadap perlembagaan pemilihan UMNO yang perlu dilihat semula dan ditambah baik berdasarkan cadangan-cadangan yang kita terima daripada suara akar umbi,” jelas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini. Selain itu kata beliau lagi, biro yang dipengerusikan oleh beliau ini juga diberikan tanggungjawab untuk melihat perkara ini dari sudut perundangan khususnya isu akta hasutan yang dijadikan polemik oleh pihak pembangkang hari ini. “Kita bimbang prinsip dan perjuangan UMNO yang menegakkan syiar Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja yang merupakan teras kepada perjuangan parti ini dimanipulasikan. Ini berdasarkan polemik yang dicetuskan oleh pihak tertentu hari ini yang cuba menjadikan akta hasutan ini sebagai satu subjek yang boleh memecah belahkan kita,” jelasnya. Kata Hishammuddin lagi, biro ini turut diberi tanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat khususnya orang Melayu itu sendiri agar jangan bimbang, kerana apa saja pindaan perlembagaan yang berlaku di dalam UMNO atau negara tidak akan menjejaskan atau mengenepikan perjuangan demi Islam, kedudukan bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja yang menjadi teras perjuangan UMNO selama ini.-MediaUMNO