Selasa, 25 November 2014

Jurucakap perbasahan jangan terlalu emosi-Hishammuddin

Semua perwakilan yang dilantik menjadi jurucakap dalam perbahasan sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 diingatkan tidak terlalu emosi kerana bimbang ia disalah tafsir, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Sekalipun tiada sebarang sekatan ucapan dikenakan, namun ucapan mereka perlulah realistik serta tidak menyentuh isu sensitif, kata Hishammuddin. "Kalau nak berbahas biarlah bersandarkan kepada fakta, tidak beremosi dan rasional. "Perlu diingat bahawa forum kita ini tidak berkisar kepada perwakilan sahaja, tapi ramai di luar sana daripada pelbagai lapisan kaum dan agama sedang memerhatikan perbahasan Umno," kata Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap Perhimpunan Agung Umno 2014. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Taklimat Khas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin Bersama Jurucakap Usul Majlis Tertinggi (MT) dan sayap di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. "Dengan perkembangan teknologi termasuk media sosial ketika ini kita tak boleh nak sekat ucapan...jadi lebih baik kita realistik dan buat perancangan," katanya. Taklimat yang berlangsung selama satu setengah jam itu dihadiri kira-kira 60 orang termasuk 42 jurucakap MT dan sayap. Hishammuddin berkata perhimpunan serta perbahasan Umno yang diikuti secara dekat oleh banyak pihak merupakan bukti bahawa parti itu mampu memperjuangkan nasib rakyat dan bukannya hanya kaum Melayu sahaja. "Saya gembira orang ramai masih berminat kepada perhimpunan Agung Umno ini. Kalau orang tak kisah bahawa perhimpunan kita mempunyai makna dan nilai, ia petanda yang cukup buruk kepada parti. "Kita nak semangat baharu daripada perwakilan untuk gerakkan Umno mengikut landskap politik hari ini dan diterima lapisan masyarakat pada masa akan datang," katanya. Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari ini sehingga Sabtu dihadiri 5,739 perwakilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan