Selasa, 25 November 2014

Pemimpin kerajaan perlu sesuai diri dengan persekitaran berita masa

Pemimpin kerajaan perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran berita masa nyata memandangkan kitaran berita hari ini memerlukan mereka memberi respons masa nyata kepada mana-mana isu, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Khairy, penceramah terakhir Forum Antarabangsa Umno pada Selasa, berkata pemimpin terbabit perlu menyesuaikan diri dengan perubahan baharu yang menyaksikan media sosial bergerak sebagai akses pantas dan kesalinghubungan tanpa had. Suasana forum yang agak serius bertukar rentak apabila Khairy menonjolkan cabaran utama dihadapi pemimpin kerajaan dalam dunia kesalinghubungan. Beliau berkata penggunaan media sosial yang sebegitu kerap sebenarnya mewujudkan satu lagi sumber autoriti memandangkan orang ramai memilih untuk mempercayai apa yang mereka baca dalam media sosial berbanding media konvensional. "Kita tidak boleh menafikan bahawa media sosial merupakan medium paling berpengaruh dan hari ini, kitaran berita telah berubah menjadi berita masa nyata dan oleh itu, para pemimpin perlu memberikan respons dalam masa nyata. "Orang ramai lebih suka ahli politik yang boleh memberi maklum balas yang pantas melalui Twitter atau Facebook tanpa perlu membaca kenyataan yang disediakan. Mereka mahu melihat maklum balas spontan," katanya. Khairy juga berkata pemimpin hari ini perlu melibatkan diri dalam isu yang lebih telus dan konsisten memandangkan trend dalam rangkaian sosial berkembang menjadi satu dimensi baharu. "Orang ramai bukan lagi penerima pasif, mereka kini aktif dalam media sosial dan trend itu bukan sahaja untuk berkongsi atau menyebarkan maklumat, tetapi juga berkongsi pendapat dan menjadikannya viral," katanya. Kebolehan Khairy membentangkan fakta yang menarik mengagumkan bekas Menteri Sukan Belia dan Maghribi Moncef Belkhayat. Bercakap kepada Bernama selepas itu, Belkhayat berkata Khairy memberi nasihat yang baik dan munasabah kepada pemimpin berkaitan cara mendekati orang ramai melalui media sosial. "Ini antara penyampaian terbaik yang pernah saya saksikan tentang bagaimana menggunakan media sosial dengan betul untuk mana-mana ahli politik. Beliau (Khairy) telah memberi tujuh nasihat penting kepada kita untuk menggunakan media sosial," katanya. Belkhayat turut mengalu-alukan Khairy melawat Maghribi bagi mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara belia di Malaysia dan negara itu. Forum bertema Dunia Kesalinghubungan: Cabaran Dalam Pembinaan Negara diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Forum dua hari yang bermula semalam disertai 127 perwakilan asing dari 34 parti mewakili 22 negara dan kor diplomatik dari hampir 70 negara.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan