Ahad, 23 November 2014

Mahasiswa perlu siapkan diri dengan kemahiran kesalinghubungan digital-Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati mahasiswa Malaysia dalam dan luar negara melengkapkan diri dengan kemahiran aplikasi 'hyperconnectivity' atau kesalinghubungan digital, dalam usaha untuk membangunkan negara. Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata mahasiswa selaku bakal pemimpin masa depan perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kemajuan dan pembangunan dalam bidang teknologi serta komunikasi maklumat bagi menghadapi cabaran semakin sukar. "Kepimpinan pada masa depan akan lebih mencabar. Maka, saudara saudari (mahasiswa) akan berdepan dengan manusia yang bermaklumat dan tahu hak mereka. "Selain itu, 'hyperconnectivity' juga perlu untuk membina generasi bijak pandai yang terarah kepada 'thinker global' dan bukannya yang biasa-biasa sahaja," kata Muhyiddin ketika berucap merasmi penutupan Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, Ahad malam. Persidangan dua hari itu yang bermula Sabtu dihadiri 240 mahasiswa dari universiti tempatan dan luar negara. Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Menceritakan pengalaman sewaktu aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO pada suatu ketika dahulu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata pada ketika itu, berkomunikasi agak sukar kerana kekangan capaian maklumat termasuk ketiadaan alat komunikasi yang canggih. "Ledakan ilmu belum berlaku secara luas ketika itu. Ledakan teknologi belum sampai ke tahap seperti hari ini di mana dengan adanya ledakan media sosial sebarang maklumat dari seantero dunia boleh diperoleh mengikut 'real time' (tepat masa)," katanya. Mengulas penganjuran persidangan PEMANAS, Muhyiddin berkata ia merupakan satu platform interaktif amat baik kerana memberi ruang mahasiswa menyuarakan pelbagai pandangan dan pendapat mengenai UMNO dan kerajaan. Malah, katanya persidangan itu menjadi medan untuk memilih wakil mahasiswa yang akan berucap dan berbahas dalam Perhimpunan Agung 2014 pada 25 hingga 29 Nov ini. "Harap semasa perhimpunan (wakil) mahasiswa dapat menyampaikan usul yang bermutu. Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Majlis Tertinggi akan beri perhatian terhadap usul saudara saudari," katanya. Muhyiddin berkata hanya UMNO sahaja parti yang memberi ruang kepada mahasiswa berucap di hadapan barisan kepimpinan dan berkongsi idea demi kemajuan serta kemakmuran negara. "Tiada negara atau pertubuhan politik yang menawarkan ruang begitu baik sekali di mana pemimpin muda mahasiwa di letak sebaris dalam forum yang sama dengan para pemimpin. "Ini buktikan kita iktiraf keupayaan dan kebijaksanaan golongan muda untuk ambil tempat yang penting suarakan idea," katanya. Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan Anugerah Kelab UMNO Terbaik kepada Kelab UMNO Medan, Indonesia; Kelab UMNO London, Britain; Kelab UMNO Korea; Kelab UMNO Mansura, Mesir; Kelab UMNO Auckland, New Zealand dan Kelab UMNO New York-East Coast, Amerika Syarikat. Muhyiddin juga menyampaikan beberapa Anugerah Biro Pendidikan UMNO kepada Ahmad Zulfadli Jusoh dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia yang menerima Anugerah Tokoh Pentadbir Universiti 2014, Prof Madya Dr Mohd Yahya Mohd Ariffin dari Universiti Sains Islam Malaysia menerima Anugerah Tokoh Pensyarah Universiti 2014 dan Persatuan Aumni Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara yang menerima Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Mahasiswa Terbaik 2014. Nuramalina Mat Yusoff dari Universiti Teknologi Mara pula menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswi 2014, Nor Mohd Afif Osman dari Universiti Teknologi Malaysia menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa 2014 dan Muhamad Nur Aizat Noor Azam dari Universiti Teknologi Malaysia menerima Anugerah Khas Biro Pendidikan UMNO Malaysia.-MahBERNAMA

KU Li sokong kerajaan mansuh subsidi Petrol Ron 95

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah menyokong langkah kerajaan memansuhkan subsidi minyak dan membuat penetapan harga runcit untuk Petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember ini. Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata, langkah kerajaan itu diharapkan dapat membantu rakyat menangani bebanan ekonomi berikutan kenaikan harga barangan. Katanya, dengan pemansuhan subsidi itu kerajaan dapat mengambil langkah mengawal keadaan ekonomi negara. "Ini adalah masa terbaik kerajaan untuk memansuhkan subsidi minyak kerana harga pasaran minyak mentah dunia juga jatuh ke paras AS$80 (RM268.40) setong," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan dengan Peneroka di Dewan Orang Ramai di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di Gua Musang, Ahad. Tengku Razaleigh berkata, kerajaan sebenarnya telah menunjukkan sikap prihatin terhadap rakyat dengan pemansuhan subsidi itu yang boleh digunakan untuk keperluan rakyat. Sehubungan itu beliau menasihatkan rakyat negara ini berjimat cermat dalam perbelanjaan harian kerana banyak lagi dugaan akan dihadapi terutama tekanan ekonomi dunia yang tidak menentu. "Kita boleh mengambil ingatan juga terhadap bahan komuniti yang kita usahakan setiap hari termasuk sawit dan getah yang harganya jatuh begitu rendah sekarang ini hingga boleh menyebabkan tekanan perbelanjaan kepada mereka. "Ini semua bukan salah kerajaan kita, tetapi ia sebenarnya ada kaitan dengan pengurangan permintaan bahan itu daripada negara luar termasuk Amerika Syarikat yang mengambil sikap mengurangkan import minyak sawit dari Malaysia," katanya.BERNAMA

Tunjuk kemampuan kewangan dahulu sebelum cadang mahu selamatkan MAS- Datuk Johari

SEORANG Ahli Parlimen Umno meminta sebuah syarikat yang hanya baru berusia tiga bulan yang mahu menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS) "menunjukkan terlebih dahulu wang mereka dan siapa penyokong kewangan mereka' sebelum cadangan tersebut boleh diambil kira dengan serius. Datuk Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa, yang meragui cadangan dibuat oleh Jentayu Danaraksa itu, juga membangkitkan persoalan lain tentang status tidak lengkap pelan Jentayu yang diketahui setakat ini yang nampaknya tidak jelas dengan pelan 12 perkara yang diumumkan Khazanah Nasional untuk menyusun semula dan memulihkan MAS. "Anda nak dapatkan duit itu dari mana? Tunjukkan wang anda. Jika anda kata anda ada penyokong, siapa penyokong anda," katanya kepada Bernama. Johari berkata beliau menentang cadangan Jentayu itu yang mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri untuk memanfaatkan perniagaan pajakan pesawat dan mengambil alih perniagaan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) MAS yang mengaut keuntungan serta syarikat sekutunya, Firefly. Pengarah Urusan Jentayu Feriz Omar berkata cadangan itu adalah untuk melengkapkan pelan Khazanah dan syarikat itu bersedia melabur "lebih banyak" daripada peruntukan RM6 bilion oleh Khazanah, yang memiliki MAS. "Sekiranya MAS boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang boleh menyediakan kertas kerja, saya bimbang masalah yang dihadapi MAS semasa ia diswastakan kepada seorang tokoh korporat akan berulang. Kita tidak akan mengulangi kesilapan yang sama," katanya yang menyebut tentang kegagalan penswastaan pada 1994. Johari, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, adalah satu tindakan yang salah bagi sesiapa sahaja untuk hanya memilih unit MAS yang meraih keuntungan kerana mengendalikan syarikat penerbangan itu merupakan satu portfolio kendiri. Keunikan MAS adalah ia memiliki segalanya dan pengurusannya perlu melihat keadaan secara keseluruhan, dan "usahawan yang tiba-tiba sahaja muncul" tidak boleh semudah itu memilih hanya yang menguntungkan dan tidak mengambil kira komponen lain. "Ini tidak boleh dilakukan. Anda boleh dapatkan kemudahan dengan syarat anda ada banyak pilihan. Tetapi sekiranya tiada pilihan, anda tidak melakukannya dan anda harus mengekalkannya," kata Johari, yang juga seorang tokoh korporat terkenal. Beliau berkata sebuah syarikat penerbangan seperti MAS harus mengekalkan unit MRO kerana ia penting bagi latihan dan latihan semula untuk meningkatkan kemahiran pekerja, sambil menambah MAS tidak boleh melupuskan MRO kerana ia adalah sebuah organisasi pemangkin. Menjelas lebih lanjut mengenai pelan Jentayu, beliau berkata: "Sesiapa sahaja boleh kemukakan tawaran. MAS harus menulis surat kepada mereka dan menanyakan siapa penyokong kewangan anda dan bagaimana anda mendapatkan wang anda, apa pelan dan konsep perniagaan anda dan bagaimana anda menangani kejatuhan saham pasaran. "Cadangan ini nampak baik di atas kertas tetapi saya tidak melihat sesiapa di antara mereka yang boleh dipercayai untuk mengumpulkan wang sebanyak itu. "Apabila saya baca laporan akhbar mereka mahu mendapatkan wang daripada orang asing, kita tidak akan serahkan syarikat penerbangan ini kepada orang asing. Matlamatnya adalah untuk mengekalkannya dalam Malaysia dan sebuah syarikat yang dikuasai orang Malaysia," katanya. - Bernama

UMNO tidak perlu apologetik dalam mempertahan isu isu tertentu-Hishammuddin

Umno tidak perlu apologetik dalam mempertahankan perkara-perkara yang menyentuh tentang agama, bangsa dan kedaulatan raja-raja, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata, perkara-perkara membabitkan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja itu disifatkan sebagai "tiang seri" yang mendukung kewujudan Umno. "Umno tidak perlu apologetik dalam mempertahankan 'tiang serinya' itu, kerana perkara-perkara membabitkan agama, bangsa dan raja-raja juga termaktub di dalam perlembagaannya (Umno)," katanya pada majlis diskusi bersama kira-kira 100 peguam muda Melayu yang menganggotai Bona Fide Friends of Umno, anjuran Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. Bona Fide Friends of Umno, yang diwujudkan di bawah biro itu, adalah satu kumpulan pengamal undang-undang yang mesra Umno dan menjadi platform alternatif untuk golongan itu menyuarakan pandangan mereka. Turut hadir pengerusi biro itu Datuk Razali Ibrahim, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno 2014, berkata persoalan sama ada Akta Hasutan 1948 akan dipinda, dihapuskan atau menggubal akta baharu seperti Akta Keharmonian Nasional tidak timbul. "Sama ada Akta Hasutan dipinda atau satu akta baharu digubal, ia akan tetap mempertahankan ketiga-tiga perkara membabitkan raja-raja, agama Islam dan bangsa Melayu," katanya. - Bernama

Kemunculan media sosial antara cabaran baru bagi UMNO

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyifatkan kemunculan media sosial, teknologi baharu, generasi Y dan sokongan kaum Cina selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 merupakan antara perkara paling mencabar parti itu masa ini. Dalam wawacara khas dengan akhbar Mingguan Malaysia yang disiarkan, Ahad, beliau berkata UMNO terpaksa berdepan pertambahan media baharu susulan munculnya laman web yang mempunyai agenda politik, penyebaran pembohongan dan putar belit yang mempunyai motif tersusun serta sistematik. "Seperti peranan Red Bean Army dan sebagainya sehinggakan cerita yang tak masuk akal pun orang boleh terima seperti 40,000 pengundi Bangladesh yang kononnya kita bawa masuk sebagai pengundi. "Apabila reka cerita, peringkat ini orang tidak pandai menapis, membezakan antara mana yang hak, mana yang batil. Yang mana separuh benar, separuh tidak benar," katanya dalam wawancara itu sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 bermula Selasa ini. Dalam laporan itu, Perdana Menteri berkata keadaan masa kini berbeza dengan keadaan masa dahulu di mana masyarakat ketika itu banyak bergantung kepada maklumat daripada akhbar dan televisyen. Beliau berkata anggota-anggota UMNO belum dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu itu apabila peranan mereka dalam media sosial sering terkebelakang berbanding pembangkang. Najib berkata UMNO bagaimanapun ada sedikit kelebihan di beberapa media sosial seperti Twitter dan Facebook. "Tetapi, ada yang kita masih terkebelakang seperti YouTube. Yang kedua, populariti laman web tertentu. Sebab mereka ini, macam mana kita buat pun, disebabkan dianggap sebagai media alternatif dan mengkritik kerajaan, banyak orang akses laman web ini," katanya dalam laporan itu. Justeru itu, beliau berkata sebarang perkara yang dilakukan walaupun oleh pemimpin di peringkat bahagian, boleh diuar-uarkan melalui media sosial supaya mereka dapat mengetahui tahap daripada segi jangkaan dan harapan rakyat. Dalam laporan wawancara itu, Najib berkata beliau sendiri berperanan dengan lebih meluas dalam bidang media sosial dan mempunyai pengikut Twitter yang mencecah 2.2 juta orang. "Jadi, kita kena lebih kreatif dan gigih lagi, menggalakkan orang kita muat naik lebih banyak cerita yang lebih mudah diakses," katanya.BERNAMA

ATM komited bantu benteras kegiatan PATI dan pembukaan tanah haram di Cameron Highland

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited membantu agensi-agensi kerajaan dalam usaha membanteras kegiatan pembukaan tanah-tanah haram di Cameron Highlands, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Ahad. Beliau berkata, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin telah diarahkan supaya terlibat secara langsung dalam operasi di pusat peranginan itu. "Peranan kita (ATM) banyak bergantung kepada pemantauan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (di Cameron Highlands) esok. Kita memberi komitmen akan membantu kerana ia sememangnya sesuatu yang tidak dapat kita benarkan daripada menular," katanya. Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis diskusi bersama 'Bona Fide Friends of Umno' anjuran Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Bagaimanapun katanya, operasi besar-besaran pelbagai agensi kerajaan untuk membanteras kegiatan pembukaan tanah-tanah secara haram di Cameron Highlands tidak sepatutnya menganiaya mereka yang tidak berdosa. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia dan ATM menggerakkan anggota mereka ke Cameron Highlands untuk menggempur kegiatan haram di situ.

UMNO Wilayah Persekutuan wujud kluster politik ekonomi agama pendidikan dan perumahan

UMNO Wilayah Persekutuan akan mewujudkan kluster politik, ekonomi, agama, pendidikan dan perumahan serta sosial bagi mencari jalan menyelesaikan masalah orang Melayu di Kuala Lumpur dalam empat bidang berkenaan. Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kluster itu akan ditubuhkan pada Januari depan dan akan dianggotai ahli jawatankuasa yang dilantik oleh badan perhubungan itu. "Mereka (anggota kluster) akan berbincang dengan kepimpinan UMNO kawasan atau bahagian di Wilayah Persekutuan untuk melihat apa yang patut dilakukan dalam masalah perumahan, agama, pendidikan dan ekonomi orang Melayu bandar. "Kita boleh mengutarakan masalah (yang dihadapi oleh orang Melayu bandar), tetapi kita juga mesti tahu untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya dalam sidang media selepas menutup Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan di ibu negara, Ahad. Tengku Adnan berkata, UMNO Wilayah Persekutuan akan memperhebatkan program penerangan kepada penduduk bandar terutama orang Melayu tentang bantuan yang telah disediakan kerajaan untuk mereka. Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata walaupun banyak bantuan telah disediakan, namun masih ramai penduduk bandar tidak mengetahuinya dan mereka ketinggalan daripada mendapat bantuan itu. "Kadang-kadang kita hairan apabila kita turun ke bawah ada antara mereka tidak faham ada bantuan seperti Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan bantuan persekolahan, tapi orang bandar sendiri tidak tahu," katanya. Beliau berkata, UMNO Wilayah Persekutuan akan mencari jalan dan memain peranan sebaik mungkin dalam membantu Melayu bandar dan berusaha mengubah persepsi bahawa orang Melayu di Kuala Lumpur tidak menyokong parti itu. Konvensyen itu yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dihadiri oleh 524 perwakilan selain disertai oleh wakil beberapa badan bukan kerajaan. Sebanyak 25 kertas kerja dibentangkan berkaitan cadangan menambah baik perkhidmatan UMNO Wilayah Persekutuan atau penyelesaian masalah orang Melayu bandar, merangkumi bidang ekonomi, perumahan, sosial dan pendidikan.BERNAMA