Rabu, 12 November 2014
Keputusan mahkamah rayuan membuka jalan membenarkan perkahwinan sejenis
Alasan penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan amat luas impikasinya termasuk membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.
Tun Abdul Hamid berkata alasan-alasan yang diberikan mahkamah itu juga menyebabkan hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah.
"Alasan penghakiman tersebut memberi implikasi apabila sesuatu hukum syarak boleh diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal seperti yang diberi oleh mahkamah di negara-negara sekular.
"Apabila hukum syarak diukur dengan nilai liberal hak asasi ala-Barat dan apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ia tidak munasabah kepada seseorang Hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi e-mel yang dihantar kepada Bernama bagi memberi pandangan berhubung keputusan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang sebulat suara membenarkan rayuan dikemukakan tiga jurumekap pengantin, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail,30, untuk mengisytiharkan Seksyen 66 adalah tidak sah di sisi perlembagaan dan undang-undang.
"Apa yang merisaukan saya ialah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar Seksyen 66 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Mereka mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap suruhan agama Islam.
"Bagi saya, jika mereka menerima bahawa kesalahan itu adalah kesalahan terhadap suruhan agama Islam (sebenarnya mereka terima kedudukan itu), maka sepatutnya mereka mengesahkan bahawa peruntukan itu sah di sisi Perlembagaan. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang itu," katanya.
Tambah beliau, sebaliknya hakim tersebut merujuk kepada peruntukan-peruntukan lain seperti penghakiman Mahkamah Agung Amerika Syarikat dan India sedangkan perlembagaan negara tersebut tidak sama seperti Malaysia.
"Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai kita. Hakim-hakim itu juga nampaknya sangat terpengaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala-Barat. Akibatnya, mereka memberi tafsiran yang sangat liberal mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan," katanya.
Abdul Hamid berkata, berdasarkan alasan penghakiman yang sama, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih daripada satu; undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat; kesalahan meminum minuman yang memabukkan; kesalahan zina dan liwat dan lain-lain juga, boleh diisytiharkan tidak sah.
"Malah penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis. Nampaknya apa yang saya khuatir akan berlaku telah mula berlaku," kata beliau.
Abdul Hamid berkata setelah membaca penghakiman ringkas dalam kes tersebut beliau mendapati bahawa peruntukan Seksyen 66 itu tidak sah bukan kerana ia 'undang-undang jenayah' yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan tetapi kerana ia melanggar Perkara 5(1)(kebebasan diri), 8(1) (kesamarataan), 8(2) (diskriminasi), 9(2) (kebebasan bergerak) dan 10(1)(a) (kebebasan bercakap dan bersuara).
Seksyen 66 enakmen itu memperuntukkan bahawa adalah suatu kesalahan apabila lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara, tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Pada 7 Nov lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 66 tersebut adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi masalah kecelaruan identiti jantina (GID).
Dalam penghakiman ringkas setebal 33 muka surat itu, Hakim Mohd Hishamudin berkata, penguatkuasaan Seksyen 66 itu akan meletakkan perayu-perayu yang mengalami GID terus hidup dalam ketidakpastian, kesengsaraan dan rasa malu.
"Seksyen 66 secara langsung menjejaskan hak perayu-perayu untuk hidup secara bermaruah seperti yang dijamin oleh Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, dengan merampas hak mereka sebagai anggota masyarakat," kata Hakim Mohd Hishamudin.
Sementara itu, Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang- Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata satu pendekatan harmoni perlu diambil bagi menangani isu pertembungan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya pertembungan dalam peruntukan-peruntukan mampu menggugat prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam konteks transgender-lelaki Islam berpakaian seperti wanita yang tercetus di Negeri Sembilan baru-baru ini, peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN), Mahkamah Syariah serta pihak berkuasa agama perlu diharmonikan dengan jaminan kebebasan asasi," katanya dalam sidang media di Persidangan Meja Bulat 'Gender Dalam Kerangka Maqasid: Isu-Isu Falsafah dan Perundangan' anjuran IKIM di sini.
Beliau berkata, kepentingan dan jaminan Perlembagaan Persekutuan terhadap kebebasan asasi tidak boleh dipersoalkan.
Namun, dalam masa yang sama Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf kedudukan DUN yang mempunyai kuasa perundangan untuk menjatuhkan hukuman terhadap perbuatan yang melanggar perintah agama Islam.
"Perintah agama Islam termasuklah juga isu-isu berkaitan akhlak dan moral bagi orang Islam. Hal berkaitan pakaian adalah antara isu penting dalam ajaran dan perintah agama Islam yang mana terdapat prinsip yang jelas dalam hadis-hadis berkaitan tatasusila pakaian Muslim. Seorang lelaki tidak boleh menyerupai wanita dan begitulah sebaliknya," katanya.
Kos rawatan kesihatan warga asing dinaikkan 100 peratus
Kabinet bersetuju untuk menaikkan bayaran kos perkhidmatan bagi warga asing yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan kepada 100 peratus mulai Januari tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kenaikan itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh tiga tahun.
"Ia meliputi bayaran penuh yang mana bayaran sedia ada akan naik 30 peratus tahun depan, 30 peratus lagi pada 2016 dan 40 peratus pada 2017.
"Bermakna sehingga hujung 2017 mereka akan bayar 100 peratus dan ini penambahan dua kali ganda dari kadar sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut laporan, pada masa ini, warga asing termasuk pekerja dan pelajar yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan menikmati subsidi perubatan 30 hingga 40 peratus.
Sebelum ini, kerajaan dilapor bercadang mengenakan bayaran kos perubatan sebenar kepada warga asing yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan.
Langkah itu disifatkan mampu membantu kerajaan berjimat sehingga RM100 juta yang boleh disalur kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan negara. - Bernama
1MDB: Tidak ada surat jaminan jelas selain untuk RM5.8 bilion- Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menegaskan bahawa surat jaminan jelas kerajaan hanyalah untuk RM5.8 bilion dan bukan US$3 bilion seperti didakwa pembangkang baru-baru ini.
Katanya beliau memahami bahawa terdapat satu surat sokongan yang dikeluarkan kerajaan untuk bon berjumlah US$3 bilion (RM9.6 bilion), bagaimanapun ia bukan jaminan jelas kerajaan.
Katanya kenyataan beliau pada 6 November lepas berhubung surat sokongan sebenarnya tidak membawa maksud bahawa tiada surat sokongan lain yang memberi jaminan jelas kerajaan selain terhadap jumlah sebanyak RM5.8 bilion.
"Saya masih berpegang bahawa kenyataan saya sebagai benar dan tidak bertujuan mengelirukan Dewan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai usul anggota Parlimen (Pandan-PKR) Rafizi Ramli untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan.
Katanya surat tersebut hanya membawa maksud sekiranya 1MDB tidak mampu membayar pinjaman, syarikat tersebut perlu menstruktur semula asetnya yang berjumlah RM51 bilion bagi membayar hutang tersebut.
"Saya yakin 1MDB mampu menjelaskan hutang sejumlah itu memandangkan kumpulan tersebut memiliki aset berkualiti tinggi disokong oleh tunai kukuh dan rizab dalam dan luar negara yang nilainya jauh melebihi nilai hutang RM9.6 bilion," katanya.
Ahmad berkata mengikut rekod, setakat ini 1MDB tidak pernah gagal dalam menjelaskan hutang kumpulan tersebut mengikut jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan dan kerajaan akan membantu sekiranya terdapat lagi tanggungan yang perlu dijelaskan selepas semua langkah penstrukturan diambil.
Beliau juga berkata ia suatu tuduhan tidak berasas berhubung dakwaan cadangan untuk mengeluarkan tawaran permulaan awal (IPO) bagi sebuah syarikat bernama 'Vertis Energy' bertujuan menyelamatkan 1MDB.
Katanya tidak ada syarikat bernama Vertis Energy dan ia cuma nama kod bagi 1MDB Energy.
Isu UMNO Selangor: Noh akan jumpa PM Najib
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Umno Selangor.
Beliau berkata pertemuan itu perlu bagi mendapatkan nasihat daripada Najib selaku presiden Umno untuk memperbaiki kelemahan selain berusaha melakukan penambahbaikan dalam parti.
"Bukan tugas yang mudah menjadi pengerusi Umno, ini bukan jawatan yang glamour ... menteri besar (Selangor) itu ya jawatan glamour.
"Buat masa ini saya belum berkesempatan bertemu dengan Datuk Seri Najib, mungkin selepas ini satu pertemuan akan diadakan dengan beliau untuk mendapatkan nasihat apa yang perlu dilakukan bagi perbaiki Umno Selangor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolokium kepimpinan 2014 di Management and Science University di sini, Rabu.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Dr Mahathir dalam satu sidang media Selasa terhadap kepimpinan Umno Selangor yang dilihat gagal melaksanakan tugas mereka.
Dr Mahathir sebelum ini turut mengkritik barisan kepimpinan Umno Selangor yang menurut beliau perlu berundur selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13.
"Mengenai itu, Datuk Seri Najib yang akan buat keputusan sama ada kepimpinan Umno Selangor perlu bubar atau tidak ... beliau juga yang melantik saya, jadi keputusan itu beliau yang tentukan," kata Noh.
Selasa, 11 November 2014
Hukuman sebat egen haram bawa masuk PATI
Kementerian Dalam Negeri mencadangkan agar hukuman sebat mandatori dikenakan ke atas ejen haram yang membawa masuk pendatang tanpa izin (Pati) ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan memberi pengajaran kepada golongan itu yang sebelum ini dilihat tidak takut dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan.
"Denda dan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah ini tidak setimpal. Oleh sebab itu, hukuman sebat secara mendatori mesti dibuat selain menambah kadar denda sedia ada bagi memastikan pesalah-pesalah ini serik melakukan kesalahan," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu undangan Program Ruang Bicara Bernama TV di sini malam tadi.
Tambah beliau, hukuman serupa juga perlu dilaksanakan ke atas pengusaha-pengusaha mesin judi haram yang didapati masih berdegil untuk beroperasi setelah diserbu beberapa kali oleh penguatkuasa.
"Dengan pelaburan dan pendapatan yang diperoleh, pengusaha-pengusaha ini tidak kisah membayar sejumlah denda kepada penguat kuasa kerana dalam sehari mereka boleh mengaut keuntungan RM100,000 hingga RM200,000.
"Itu sebab saya rasakan hukuman sebat berkesan tetapi kemudian ia juga harus diikuti unsur-unsur pencegahan seperti mengasimilasikan kesedaran dalam kalangan rakyat pelbagai kategori," katanya.
Ditanya mengenai isu Cameron Highlands yang dibanjiri Pati, Ahmad Zahid berkata, KDN akan menjejaki ejen-ejen yang membekal kumpulan Pati tersebut sehingga ke lubang cacing. - Bernama
Kerajaan belum putuskan tarikh untuk isytihar status MH370
Tiada sebarang tarikh ditetapkan dan diputuskan kerajaan untuk mengisytihar status pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang masih hilang sejak lapan bulan lepas.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata ini kerana kerajaan masih lagi menjalankan rundingan berterusan dengan kerajaan China dalam membuat pengisytiharan sama ada pesawat itu hilang dan sebagainya.
"Kerjasama erat kedua-dua kerajaan masih lagi berjalan. Malah pencarian masih dilakukan sehingga kini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.
Pengarah Komersial MAS, Hugh Dunleavy baru-baru ini dipetik sebagai berkata bahawa syarikat itu sedang menunggu bagi penerbangan MH370 diisytiharkan secara rasmi hilang supaya pampasan boleh diuruskan bagi waris penumpang.
Mengulas mengenai perkara itu, MAS dalam satu kenyataan semalam memberitahu, itu cuma luahan pendapat peribadi dan sebarang tindakan sentiasa berpandukan nasihat pasukan teknikal yang bertanggungjawab bagi operasi pencarian.
Ab Aziz berkata siasatan mengenai kehilangan misteri pesawat itu masih lagi dijalankan dan segala perkembangan akan dimaklumkan apabila penyiasat menemui sebarang petunjuk dan maklumat baru.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 malam 8 Mac.
Usaha mencari masih dijalankan di selatan Lautan Hindi.
Dalam perkembangan lain, Ab Aziz berkata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad tersalah penggunaan perkataan ketika membuat kenyataan bahawa agensi itu sasarkan 5,000 orang ramai mati menjelang 2020 di jalan raya.
"KP Pengarah salah penggunaan bahasa. Patut guna kemalangan maut dan bukannya orang mati," katanya ketika diminta jelaskan kenyataan itu yang menjadi viral di media sosial.
Ab Aziz turut mengulas mengenai ketegasan operasi penguatkuasaan JPJ terhadap cermin gelap dan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi sejak kebelakangan ini.
Beliau menegaskan operasi itu adalah supaya JPJ dan Polis Diraja Malaysia mampu mengesan pesalah undang-undang dengan lebih mudah dan efisien serta bukannya ingin menyusahkan mana-mana pihak.
Beliau turut menarik perhatian JPJ dalam proses mengkaji nombor pendaftaran kenderaan yang standard dan nasional untuk diguna pakai kesemua pihak di negara ini.
"Ini dalam peringkat kajian kerana ia akan memberi kesan kepada sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam perkara ini. Sebarang keputusan akan diumumkan kelak," katanya.
Kecelaruan identiti perlu ditangani- Tun M
Kecelaruan identiti yang berlaku dalam masyarakat kini adalah masalah semasa yang perlu ditangani secara baik oleh semua pihak, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata masalah kecelaruan identiti itu tidak terlalu menonjol dalam masyarakat dahulu namun ia semakin menular pada masa ini.
"Sebab itu kita dapati ada orang yang nampak macam wanita tapi dia sebenarnya lelaki, ada pula yang sebaliknya. Jadi, pakaian yang dia pakai ini, kita kata ini pakaian lelaki tetapi sekarang, lelaki perempuan semua pakai semacam (sama), semua pakai seluar, semua pakai jeans.
"Ini masalah semasa ... dulu tidak ada masalah. Dulu kita tahu orang perempuan macam ini, orang lelaki macam ini, tapi sekarang dah berbeza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014 di sini, pada Selasa.
Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang mengetuai panel tiga hakim membuat ketetapan itu, selepas membenarkan rayuan tiga lelaki untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.
Sidang kemuncak tiga hari itu bermula pada Selasa bertemakan 'Negara Madani dan Perspektif Islam'.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






