Rabu, 12 November 2014

Kos rawatan kesihatan warga asing dinaikkan 100 peratus

Kabinet bersetuju untuk menaikkan bayaran kos perkhidmatan bagi warga asing yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan kepada 100 peratus mulai Januari tahun depan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kenaikan itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh tiga tahun. "Ia meliputi bayaran penuh yang mana bayaran sedia ada akan naik 30 peratus tahun depan, 30 peratus lagi pada 2016 dan 40 peratus pada 2017. "Bermakna sehingga hujung 2017 mereka akan bayar 100 peratus dan ini penambahan dua kali ganda dari kadar sedia ada," katanya. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini. Menurut laporan, pada masa ini, warga asing termasuk pekerja dan pelajar yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan menikmati subsidi perubatan 30 hingga 40 peratus. Sebelum ini, kerajaan dilapor bercadang mengenakan bayaran kos perubatan sebenar kepada warga asing yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan. Langkah itu disifatkan mampu membantu kerajaan berjimat sehingga RM100 juta yang boleh disalur kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan negara. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan