Rabu, 12 November 2014

1MDB: Tidak ada surat jaminan jelas selain untuk RM5.8 bilion- Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menegaskan bahawa surat jaminan jelas kerajaan hanyalah untuk RM5.8 bilion dan bukan US$3 bilion seperti didakwa pembangkang baru-baru ini. Katanya beliau memahami bahawa terdapat satu surat sokongan yang dikeluarkan kerajaan untuk bon berjumlah US$3 bilion (RM9.6 bilion), bagaimanapun ia bukan jaminan jelas kerajaan. Katanya kenyataan beliau pada 6 November lepas berhubung surat sokongan sebenarnya tidak membawa maksud bahawa tiada surat sokongan lain yang memberi jaminan jelas kerajaan selain terhadap jumlah sebanyak RM5.8 bilion. "Saya masih berpegang bahawa kenyataan saya sebagai benar dan tidak bertujuan mengelirukan Dewan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini Rabu. Beliau berkata demikian mengulas mengenai usul anggota Parlimen (Pandan-PKR) Rafizi Ramli untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan. Katanya surat tersebut hanya membawa maksud sekiranya 1MDB tidak mampu membayar pinjaman, syarikat tersebut perlu menstruktur semula asetnya yang berjumlah RM51 bilion bagi membayar hutang tersebut. "Saya yakin 1MDB mampu menjelaskan hutang sejumlah itu memandangkan kumpulan tersebut memiliki aset berkualiti tinggi disokong oleh tunai kukuh dan rizab dalam dan luar negara yang nilainya jauh melebihi nilai hutang RM9.6 bilion," katanya. Ahmad berkata mengikut rekod, setakat ini 1MDB tidak pernah gagal dalam menjelaskan hutang kumpulan tersebut mengikut jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan dan kerajaan akan membantu sekiranya terdapat lagi tanggungan yang perlu dijelaskan selepas semua langkah penstrukturan diambil. Beliau juga berkata ia suatu tuduhan tidak berasas berhubung dakwaan cadangan untuk mengeluarkan tawaran permulaan awal (IPO) bagi sebuah syarikat bernama 'Vertis Energy' bertujuan menyelamatkan 1MDB. Katanya tidak ada syarikat bernama Vertis Energy dan ia cuma nama kod bagi 1MDB Energy.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan