Ahad, 2 November 2014
SPR warta kajian semula persempadanan Parlimen dan DUN hujung tahun ini
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mewartakan notis kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) penghujung tahun ini, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata sebelum mewartakan notis tersebut, SPR perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan, mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Bila notis itu diumumkan, maka bermulalah tempoh persempadanan semula dan notis itu akan dipamer selama sebulan (untuk menerima bantahan dan cadangan) daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan pengundi berdaftar, sekurang-kurangnya 100 orang dalam bahagian pilihan raya terbabit," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata laporan akhir mengenai syor kajian semua persempadanan kawasan pilihan raya itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh tidak lebih dua tahun daripada tarikh notis diumumkan, untuk dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat untuk kelulusan selaras dengan Seksyen 8, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
Laporan yang diluluskan oleh sidang Dewan Rakyat akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Aging untuk ditandatangan sebelum diwartakan dan diguna pakai.
Abdul Aziz berkata persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR di bawah Perlembagaan bagi memastikan pengundi mudah mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing apabila sesebuah kawasan pilihan raya yang luas dikecilkan atau dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada 100,000 orang.
"Kawasan mengundi yang luas perlu dikecilkan supaya jumlah pengundi yang terdapat di satu-satu kawasan pilihan raya adalah munasabah," jelasnya.
Katanya, sebagai contoh di Kuala Lumpur, keluasan kawasan Parlimen adalah kecil sahaja seperti kawasan Batu dan Segambut namun jumlah pengundinya besar, dan tanpa persempadanan semula, rakyat sukar untuk mendapat perkhidmatan yang baik daripada wakil rakyat.
" Persempadanan semula bukan untuk menentukan satu-satu parti memenangi pilihan raya," tegasnya dan menambah, prinsip yang digunakan SPR dalam membuat persempadanan semula ialah untuk menyenangkan pengundi.
Abdul Aziz berkata kajian semula persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003, dan mengikut peraturan, persempadanan semula sepatutnya dilaksanakan pada 2011.
"Pada masa itu, SPR takut ia bertembung dengan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Jadi persempadanan semula ditangguhkan, dan hasil persempadanan semula kali ini hanya boleh digunakan untuk pilihan raya umum akan datang yang selewat-lewatnya diadakan pada 2018," katanya.
Abdul Aziz berkata setelah lebih lapan tahun sudah pasti bilangan pengundi bertambah berikutan pembangunan pesat seperti pembinaan bangunan baharu oleh kerajaan yang boleh dijadikan pusat mengundi selain lebih banyak jalan raya yang dibina, yang akan memudahkan usaha SPR untuk mengecilkan bilangan pengundi.
"Sekarang ada kawasan Parlimen yang mempunyai dua pejabat daerah dan dua pihak berkuasa tempatan (PBT), dan keadaan ini menyusahkan wakil rakyat selain menyusahkan penyelarasan semasa hari mengundi dan pendaftaran pengundi," katanya.
Beliau berkata apa yang dilalukan oleh SPR dalam persempadan semula adalah untuk mendekatkan tempat mengundi untuk para pengundi demi kemudahan mereka.
Yang kedua dalam setiap kawasan mengundi itu mesti ada kemudahan pentadbiran seperti pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, majlis daerah, majlis bandaran dan bandar raya.
"Seberapa daya yang boleh, jumlah pengundi itu mesti lebih kurang sama banyak. Tapi sama banyak pun, SPR tidak boleh samakan jumlah pengundi di bandar dengan luar bandar. Kawasan bandar kepadatan penduduknya tinggi, di kawasan luar bandar kepadatan penduduknya rendah," jelasnya. – Bernama
Nasib ADUN PAS yang digantung akan dimaklumkan esok
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang digantung keahliannya selama setahun akan dimaklumkan keputusan rayuan mereka menjelang esok, kata Majlis Syura Ulama PAS.
Setiausahanya Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, semua ahli majlis sebulat suara bersetuju dengan keputusan yang dibuat namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
"Kita akan hantar surat kepada mereka dulu untuk penghormatan. Lepas tu baru saya akan (umumkan). Surat tu seboleh-bolehnya (dihantar) hari ini atau pun esok.
"Kita bersetuju dengan keputusan yang diambil. Seorang pun tak bercanggah. Semua sebulat suara bersetuju. Keputusannya, kita tengok selepas ini," katanya ketika ditemui di ibu pejabat PAS hari ini.
Majlis Syura mengadakan mesyuarat petang ini bagi menentukan keputusan rayuan Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin yang digantung keahlian bulan lepas kerana menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.
Kedua-dua Saari dan Hasnul menghantar surat rayuan masing-masing pada Isnin, sehari sebelum tarikh tamat yang dibenarkan bagi mengemukakan rayuan.
Pada 11 Oktober lalu, jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa tarikh sama.
Saari sebelum ini dilaporkan berkata surat penggantungan itu diterima melalui pos pada 13 Oktober, namun beliau menerima salinannya melalui emel pada 11 Oktober.
Kedua-dua mereka diberi peluang mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama mengikut perlembagaan parti.
Dalam perkembangan lain, Nik Zawawi diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggelarkan PAS sebagai parti ajaran sesat.
Katanya, kenyataan Tengku Adnan itu tidak berasas dan tidak perlu dipandang serius oleh PAS.
"Kita tak layan. Dia bukan orang penting dalam parti, dalam negara pun tak ada apa. Kita tak akan layan semua orang. Itu ucapan orang yang tidak berasas," katanya.
Tengku Adnan hari ini mendakwa PAS sebuah parti politik yang membawa ajaran sesat dan memesongkan akidah umat Islam.
Katanya, Umno sebaliknya parti yang memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara.
"Tidak ada parti seperti Umno, saya hendak beritahu. Kalau kata PAS itu Islam, pada saya, PAS itu parti mengajar ajaran sesat. Parti yang akan memesongkan akidah.
"Berapa surau, masjid yang PAS bangunkan? Yang mereka tahu, pecah belahkan kita. Memesongkan akidah kita.
"Dia yang mulakan sembahyang dua imam, mengatakan sembelihan orang Umno tidak boleh makan, (mengatakan) imam yang digaji Umno tidak sah menikahkan anak kita."
-
Penyiasat MH17 sedia ke lokasi nahas
Pasukan penyiasat kini sedang menunggu masa yang sesuai untuk kembali ke lokasi nahas MH17 di Ukraine bagi meneruskan usaha mencari bahan bukti mengenai insiden berkenaan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pasukan itu sedang menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa di negara itu untuk memasuki lokasi nahas.
"Kita sedang menunggu lampu hijau untuk masuk dalam tempoh seminggu dua ini dan pasukan itu akan mencari baki mayat dan juga barang-barang yang boleh dijadikan bahan bukti bagi melengkapkan siasatan," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Ke-55 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia Datuk Dr Tam Weng Wah.
Beliau berkata kerajaan akan berusaha untuk membawa balik kesemua bahan bukti termasuk rangka pesawat jika dibenarkan untuk dibawa pulang bagi tujuan penyiasatan itu.BERNAMA
Biro Agama UMNO bawa usul pinda perlembagaan parti
Biro Agama UMNO bersedia membawa usul meminda Fasal 3.3 Perlembagaan parti ke Perhimpunan Agung (PAU) 2014 bagi mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan dan mentakrifkan Islam sebagai apa yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pengerusi biro yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata usul tersebut perlu dipinda kerana terdapat banyak kekeliruan membabitkan agama Islam dalam masyarakat.
"Fasal itu perlu dipinda memandangkan banyak kekeliruan berlaku. Ada Syiah dan terbaru ajaran Milah Abraham. Mengaku Islam tetapi amalan yang dilakukan pelik," katanya.
Jamil Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Multaqa Kebangsaan Biro Agama UMNO yang dirasmikan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Multaqa yang julung kali diadakan itu bertujuan mengumpulkan idea dan pandangan mengenai isu keagamaan di peringkat akar umbi bagi menentukan hala tuju biro itu yang dihadiri lebih 300 peserta mewakili setiap biro agama seluruh negara.
Cadangan membawa usul meminda tersebut, diutarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan penangguhannya di PAU 2013, yang mencadangkan agar Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO dipinda, bagi mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan dan mentakrif Islam sebagai apa yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Fasal 3.3 sedia ada menyatakan UMNO akan 'menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama'.
Jamil Khir berkata Biro Agama UMNO akan membawa usul itu untuk perhatian dan perbincangan Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap PAU 2014.
Katanya perbincangan itu perlu untuk memutuskan sama ada pindaan itu akan dilakukan pada PAU kali ini ataupun tahun depan.
Ditanya mengenai usul agama yang akan dibentang pada PAU 2014 yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 Nov di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jamil Khir berkata pengisian usul akan berkisar mengenai soal akidah dan sumbangan agama dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Beliau berkata, antara perkara lain ialah mengenai peranan agama dalam memperkasakan institusi keluarga.
Pada majlis itu, sembilan anggota panel Pemikir Biro Agama UMNO yang terdiri daripada veteran UMNO telah dilantik antaranya Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, Datuk Noh Gadut, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, Datuk Mustapha Taib dan Datuk Dr Munir Yaakob.
Jumaat, 31 Oktober 2014
BN sedang kenalpasti calon untuk PRU 14
Barisan Nasional (BN) sedang mengenal pasti individu berbakat yang berpotensi menjadi calonnya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga pengerusi BN berkata ini adalah antara persediaan awal parti untuk menghadapi PRU14.
"Kita akan sedia calon lebih awal lagi. Kita perlu, pada peringkat awal ini, kenal pasti bakat dahulu sebelum kita tentukan calon.
"Keduanya, kita belum tentukan pembahagian kerusi lagi," kata beliau kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di sini, malam ini.
Dalam itu, Najib berkata langkah-langkah juga akan diambil untuk memastikan kerjasama antara parti komponen BN terus diperkukuh melalui program-program bersama dan persefahaman pihak kepimpinan atasan.
"Kalau pihak atasan ada kepimpinan positif, saya percaya anak buah lebih senang nak ikut," kata beliau.
Najib berkata setiap parti komponen juga perlu melihat soal dalaman parti dan memperkukuh jentera masing-masing selain perlu menunjukkan tahap komitmen tinggi dalam memastikan kelangsungan kuasa BN.
"Mesyuarat juga bersetuju untuk menjadikan kejayaan BN dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini sebagai panduan dalam membuat persediaan lebih rapi untuk menghadapi cabaran pada masa depan," katanya.
Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, perdana menteri berkata BN akan membuat persiapan sewajarnya dalam menghadapi pilihan raya itu.
Sementara itu, Najib berkata BN juga akan mempertingkat usaha penerangan kepada rakyat mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam Bajet 2015, yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi rakyat dalam pembangunan negara.
Beliau berkata ini termasuk menjelaskan kepada rakyat mengenai rasionalisasi subsidi, cukai barang dan perkhidmatan (CBP) yang akan dilaksanakan April tahun depan serta konsep ekonomi rakyat yang dukungannya yang memberi tumpuan kepada peningkatan ekonomi rakyat berbanding ekonomi kapitalis.
"Ini perlu diperjelas kepada rakyat supaya tujuan baik kerajaan dapat diterima dengan positif," katanya.
Pembalak haram; SPRM cadangan hukuman lebih berat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan agar pembalak-pembalak haram dikenakan hukuman lebih berat termasuk ‘hukuman sebat’ bagi membolehkan isu ini ditangani habis-habisan dan efektif.
"Setakat denda sahaja tidak mencukupi. Kalau hukuman penjara tidak mencukupi juga, mungkin kita boleh mengkaji hukuman sebat... bergantung kepada kesesuaian dengan kesalahan yang dilakukan," kata.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, paling penting, hukuman mesti ada elemen 'deterent'.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti dan Pelancaran Kempen Tanpa Hadiah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di sini, hari ini.
Baru-baru ini, SPRM melancarkan Ops Tukul yang membawa kepada penahanan pembalak-pembalak haram. Sembilan pembalak haram telah dituduh sejak minggu lalu.
Ops Tukul dilancarkan SPRM bermula 20 Oktober lalu bagi membanteras aktiviti rasuah yang mengakibatkan berleluasanya pembalakan haram.
Beliau berkata, Jabatan Perhutanan perlu menilai semula sistem dan prosedur yang sedia ada serta memperketatkan undang-undang.
"Kalau ada masalah kelemahan undang-undang atau kekangan prosedur, mohon atasi perkara tersebut secepat mungkin. Kalau pegawai tidak mencukupi, kita kena selesaikan isu tersebut.
"Hal ini sebab saya banyak menerima maklum balas berkenaan pelaksanaan penguatkuasaan di mana kawasan adalah luas dan pegawai tidak mencukupi.
Pihak-pihak berkenaan haruslah memperluas kuasa mereka kerana ini adalah pelaburan untuk menyelamatkan harta sendiri," katanya.
Mengulas mengenai Ops Tukul, beliau berkata, inisiatif penguatkuasaan yang dijalankan oleh SPRM telah menyelamatkan hasil khazanah kerajaan negeri Sarawak sebanyak RM100 juta akibat aktiviti pembalakan haram.
"SPRM telah mengambil tempoh sembilan bulan untuk mengumpul maklumat di Sarawak.
“Kalau Jabatan Perhutanan berdepan dengan halangan dan kekangan untuk mendapatkan bukti yang mencukupi, SPRM sedia membantu.
"Biasanya, apabila balak dibawa ke pusat pengumpulan balak atau 'log pond', memang sukar untuk mengenal pasti dari kawasan mana balak itu berasal. Untuk itu, kita boleh gunakan 'remote sensing', kepakaran forensik dan DNA untuk mengatasi kekangan itu," jelas Datuk Sri Mohd Shukri.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Zoal Azha Yusof menyambut baik kerjasama strategik bersama SPRM dalam menangani pembalakan haram dan pencurian pasir.
"Pematuhan kepada Ikrar Integriti serta kempen tanpa hadiah merupakan antara tindakan seterusnya bagi kita. Kita tidak akan berkompromi dengan gejala rasuah dalam apa-apa aspek perhutanan dan alam sekitar," tegasnya. - Bernama
SPAD kemukakan kepada kerajaan cadangan naikkan tambang bas ekspress
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) telah mengemukakan kepada kerajaan permintaan pengusaha bas ekspres untuk menaikkan tambang bas sehingga 30 peratus.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, permintaan pengusaha bas itu wajar berikutan peningkatan kos yang ditanggung dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menimbangkannya.
"Kami fikir permohonan itu munasabah oleh kerana keperluan yang mendesak. Kita sudah membuat syor kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran penjenamaan semula pakaian seragam pemandu bas ekspres Mutiara di sini, hari ini.
Syed Hamid berkata, SPAD cuma menunggu keputusan muktamad daripada kerajaan untuk mengumumkannya kepada pengusaha bas ekspres.
"Saya harap kerajaan akan membuat keputusan secepat mungkin. Saya fikir apa yang pasti diteliti kerajaan tentulah tidak membebankan rakyat selain mengelak timbul masalah lain," katanya.
Syed Hamid juga berkata pengusaha dan pengendali bas ekspres Pantai Timur yang beroperasi di Hentian Putra Kuala Lumpur sudah diarah berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan berkuat kuasa 1 Disember ini. - Bernama
Langgan:
Ulasan (Atom)






