Rabu, 29 Oktober 2014
Kerajaan tidak tanggung hutang 1MDB-PM Najib
Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak menanggung sebarang hutang atau bayaran faedah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya syarikat itu jatuh bankrap.
Perdana menteri berkata, hanya pinjaman bernilai RM5.8 bilion sahaja yang menerima 'jaminan jelas' kerajaan Malaysia.
"1MDB tidak menerima jaminan dari kerajaan bagi pinjaman lain.
"Sepertimana syarikat lain yang tertakluk di bawah Akta Syarikat, 1MDB juga mempunyai liabiliti terhad dan selain daripada pinjaman atau bon yang menerima jaminan kerajaan, hal kewangan 1MDB tidak termasuk dalam kiraan kontinjen liabiliti kerajaan. Keadaan kewangan syarikat adalah tanggungan syarikat itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu sama ada kerajaan terpaksa menanggung beban hutang RM38 bilion 1MDB jika syarikat itu muflis.
Najib menjelaskan hutang 1MDB pada tahun berakhir 31 Mac 2013 adalah sebanyak RM36.25 bilion.
Perdana menteri berkata, 1MDB mempunyai rangka kerja tadbir urus yang kukuh dan membolehkannya mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi bon yang diterbitkan.
Selain itu katanya, syarikat itu sentiasa melakukan 'due dilligence' kewangan dan teknikal yang sepenuhnya sebelum membuat keputusan bagi melabur dalam sesuatu projek.
"Setakat ini, 1MDB tidak pernah terlepas daripada memenuhi obligasi jadual pembiayaan kewangannya. Kedudukan kewangan 1MDB tetap kukuh disokong oleh aset strategik yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti di samping mempunyai peluang pertumbuhan yang utuh," kata Najib. – Bernama
Perlantikan Gopal Sri Ram bertentangan dengan Majls Peguam
Badan Peguam Malaysia perlu menjelaskan mengapa Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram dibenarkan mewakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rayuan kes sodominya.
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata perkara itu bertentangan dengan usul badan peguam itu pada mesyuarat agung tahunannya awal tahun ini.
Mesyuarat 15 Mac badan itu menerima usul bahawa hakim-hakim mahkamah lebih tinggi yang bersara dilarang dari mewakili anak guam di mahkamah.
Menurut Tan, jika amalan sedemikian dibenarkan ia mungkin memberi kesan ‘intimidasi’ terhadap hakim mahkamah, dan lebih buruk lagi, ia memberi persepsi bahawa hakim bersara/peguam berkenaan dan anak guamnya memiliki kelebihan ke atas peguam lain.
“Pemuda Gerakan menggesa badan peguam itu menjelaskan sama ada dalam hal ini terdapat pengecualian istimewa buat Anwar,” katanya.
Bagaimanapun, pada September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seseorang hakim Mahkamah Tinggi yang bersara boleh bertindak sebagai peguam dalam kes sivil.
Panel lima hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rauf Sharif memutuskan bahawa ini selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak (seseorang) meraih sumber pendapatan.
Konvensyen UMNO Selangor Sabtu ini
UMNO Selangor akan menganjurkan satu konvensyen di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Sabtu ini untuk membincangkan isu berkaitan situasi politik di negeri ini.
Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata tiga kertas kerja akan dibentangkan pada konvensyen bertema ‘Bersama Melaksanakan Transformasi’ itu
termasuk mengenai isu memenangi hati pengundi serta isu dan cabaran menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau juga akan menyampaikan ucapan dasar bertajuk “Menawan Selangor pada PRU 14, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Konvensyen itu adalah kemuncak kepada program dan aktiviti UMNO Selangor sepanjang tahun ini seperti yang dituntut oleh perlembagaan parti.
Noh, yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang, berkata UMNO Selangor mengundang Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merasmikan konvensyen itu.
“Seramai 1,500 peserta terdiri daripada kepimpinan UMNO peringkat bahagian, anggota Kelab Veteran UMNO dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Selangor (Mubarak) dijangka menghadiri konvensyen ini,” katanya.
Tindakan tegas terhadap pelajar langgar undang undang
Pergerakan Puteri UMNO menggesa pengurusan Universiti Malaya (UM) mengambil tindakan tegas dan adil ke atas pelajar yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang universiti tersebut.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tanpa tindakan seumpama itu dibimbangi kepimpinan universiti tersebut dilihat atau dianggap lemah oleh masyarakat dan pelajar universiti berkenaan.
“Perkara yang menyalahi undang-undang dalam kalangan pelajar tidak seharusnya berlaku kerana mereka hanya pelajar yang pastinya menjunjung peraturan demi masa depan mereka sebagai pelajar.
“Kerana itu, kejadian yang berlaku di UM malam Isnin lalu perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu pada isu disiplin pelajar supaya keputusan yang bakal dibuat telus dan adil,” katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) menganjurkan Program Pidato Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari Universiti Malaya ke Penjara di Dataran Dewan Tunku Canselor, UM Isnin lalu.
Katanya, isu pelajar dalam politik di universiti sehingga melanggar peraturan amat tidak wajar berlaku, sekiranya ditangani lebih awal imej universiti berkenaan tidak mungkin tercalar seperti hari ini.
“Lebih memburukkan keadaan apabila penganjur program membawa masuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam universiti itu yang jelas bertujuan membantu mencapai matlamat agenda peribadi pemimpin tersebut.
“Program malam itu telah disalahguna apabila lebih dilihat sebagai platform menghasut dan cuba mengeksploitasi pelajar ke jalanan untuk menyokong politik peribadi ketua pembangkang itu.
“Ia juga membuktikan Anwar tidak peduli kesusahan orang awam lain yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan itu,” katanya.
wpid-img_24328543535808Tambahnya, insiden yang berlaku melibatkan segelintir pelajar UM itu sekaligus memalukan seluruh warga universiti termasuk ALUMNI yang pernah menimba ilmu di institusi berkenaan.
Puteri UMNO amat kesal sekiranya kebebasan berpolitik dalam kalangan pelajar disalaherti oleh masyakat dan disalahguna ini kerana pelajar merupakan generasi masa depan negara yang bertanggungjawab membawa negara ke arah perpaduan. – MediaUMNO
Selasa, 28 Oktober 2014
Perbicaraan kes Presiden PAS ditangguh November depan
Perbicaraan kes saman terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ditangguhkan kepada 23 November depan.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah saksi defendan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Aiffin Deraman memberi keterangan.
Sebelum itu, Tuan Guru Abdul Hadi dan Pengerusi PKR Terengganu yang juga Adun Bandar, Azan Ismail turut memberi keterangan.
Saksi pihak palintif iaitu wartawan dari akhbar Kosmo dimaklumkan tidak hadir bagi perbicaraan hari ini.
Bekas calon PKR Dun Bukit Besi pada PRU13 lalu, Mohd Shamsul Mat Amin memfailkan saman terhadap Tuan Guru Abdul Hadi susulan ceramah Presiden PAS di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang semasa kempen PRU itu.
Shamsul mendakwa ceramah itu mengaitkan beliau sebagai calon PKR dengan pil kuda.
Presiden PAS yang diwakili Tetuan Awi & Co manakala Shamsul diuruskan Tetuan Vasudevan & Co. - HARAKAHDAILY
Program Transformasi SPRM menuju arah yang betul
International Review Panel (IRP) hari ini merumuskan Program Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuju arah betul dari segi penguatkuasaan dan pendakwaan rasuah.
Anggota IRP Daniel Li Ming Chak, bekas Timbalan Pesuruhjaya Akademi Pencegahan Rasuah Antarabaangsa Hong Kong (IACA), berkata SPRM mencatat penambahbaikan dari segi sikap terhadap penyiasatan, pencegahan dan mendidik orang ramai mengenai rasuah.
"SPRM berusaha dengan agak tekun secara dalaman dan luaran, semata-mata untuk menjadikan suruhanjaya itu sebuah agensi profesional dalam membanteras rasuah," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Li dilantik IRP sebagai anggota panel untuk mengkaji dasar pencegahan rasuah, prosedur kerja dan amalan terbaik SPRM bersama penyelaras program dan aktiviti IACA Prof. Alan Doig dan bekas peguam cara Hong Kong serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (ICAC) Hong Kong Bertrand de Speville.
Ditanya tentang syor IRP kepada SPRM, Li berkata berdasarkan beban tugas dan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakannya, SPRM memerlukan lebih banyak tenaga kerja untuk mengekalkan keberkesanannya.
Sementara itu, de Speville berkata persepsi orang ramai SPRM hanya menangani aduan kecil perlu diperbetulkan kerana sebenarnya ia diberi mandat untuk menerajui usaha pencegahan rasuah di negara ini dan suruhanjaya itu berada pada landasan betul untuk berbuat demikian.
"Yang penting, SPRM mempunyai dasar ia akan menyiasat setiap dakwaan yang dikemukakan kepadanya.
"Sama ada SPRM mengendalikan 'ikan kecil' atau 'ikan besar' adalah tidak penting, tetapi yang penting ialah badan pencegahan rasuah ini perlu bertindak terhadap setiap aduan yang dikemukakan. Berdasarkan kepada carta aliran, kes kecil lebih banyak daripada kes besar," katanya.
Beliau berkata mengubah persepsi orang ramai dan mendapatkan keyakinan mereka bukan perkara mudah, tetapi perkara itu tidak sepatutnya menjadi halangan bagi SPRM untuk mencapai hasil yang dihasratkan dalam memerangi rasuah.
Program Transformasi SPRM, yang dilaksanakan sejak 2011, memberi fokus terhadap tiga aspek iaitu operasi, modal insan dan langkah pencegahan rasuah. – Bernama
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/program-transformasi-sprm-tuju-arah-betul#sthash.wtVO3YO9.dpuf
Kertas Putih mengenai ancaman keganasan sedang disiapkan
Kerajaan sedang menyediakan Kertas Putih tentang ancaman kegiatan keganasan yang melibatkan rakyat Malaysia, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) menyatakan demikian di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata mengikut statistik polis, sebanyak 167 rakyat Malaysia terlibat dengan kegiatan militan di luar negara, sejak Disember 2001 sehingga kini.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) pada persidangan dewan, Zahid berkata daripada jumlah itu, seramai 39 orang melibatkan diri dalam kumpulan Islamic State (Isis) di Iraq dan Syria.
"Bagaimanapun, saya tidak bercadang untuk mendedahkan secara terperinci maklumat penglibatan mereka kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang masih dijalankan oleh pihak polis," katanya.
Beliau berkata kerajaan menerusi Jabatan Imigresen boleh menyenaraihitam pihak yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan dengan memasukkan nama mereka ke dalam Senarai Syak jabatan itu bagi mengesan pergerakan mereka di pintu masuk utama seluruh negara.
"PDRM (Polis Diraja Malaysia) turut menjalinkan kerjasama yang rapat dengan agensi perisikan asing untuk mengekang permasalahan ini.
"Usaha jalinan ini termasuklah melalui kerjasama berterusan di samping bertukar-tukar maklumat risikan dengan agensi keselamatan luar, khususnya negara-negara Asean," katanya.
Zahid berkata PDRM juga sedang menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang disyaki boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Sekiranya terdapat bukti mereka terlibat di dalam aktiviti militan, tindakan tegas akan diambil di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, katanya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kerajaan sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk memperkukuhkan kawalan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah.
"Ancaman keselamatan oleh kumpulan militan Sulu disedari sebelum 2008 lagi dan ia dikategorikan sebagai ancaman dalam negeri.
"Maka di atas dasar itu PDRM bekerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menangani permasalahan tersebut," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Kluang).
Bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah, Hishammuddin berkata ATM menempatkan pasukan keselamatan di tempat-tempat strategik.
Ini bukan sahaja untuk menangani ancaman kumpulan militia Sulu, bahkan terhadap semua ancaman keselamatan yang mungkin ada. – Bernama
Langgan:
Ulasan (Atom)






