Selasa, 28 Oktober 2014

Program Transformasi SPRM menuju arah yang betul

International Review Panel (IRP) hari ini merumuskan Program Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuju arah betul dari segi penguatkuasaan dan pendakwaan rasuah. Anggota IRP Daniel Li Ming Chak, bekas Timbalan Pesuruhjaya Akademi Pencegahan Rasuah Antarabaangsa Hong Kong (IACA), berkata SPRM mencatat penambahbaikan dari segi sikap terhadap penyiasatan, pencegahan dan mendidik orang ramai mengenai rasuah. "SPRM berusaha dengan agak tekun secara dalaman dan luaran, semata-mata untuk menjadikan suruhanjaya itu sebuah agensi profesional dalam membanteras rasuah," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini. Li dilantik IRP sebagai anggota panel untuk mengkaji dasar pencegahan rasuah, prosedur kerja dan amalan terbaik SPRM bersama penyelaras program dan aktiviti IACA Prof. Alan Doig dan bekas peguam cara Hong Kong serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (ICAC) Hong Kong Bertrand de Speville. Ditanya tentang syor IRP kepada SPRM, Li berkata berdasarkan beban tugas dan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakannya, SPRM memerlukan lebih banyak tenaga kerja untuk mengekalkan keberkesanannya. Sementara itu, de Speville berkata persepsi orang ramai SPRM hanya menangani aduan kecil perlu diperbetulkan kerana sebenarnya ia diberi mandat untuk menerajui usaha pencegahan rasuah di negara ini dan suruhanjaya itu berada pada landasan betul untuk berbuat demikian. "Yang penting, SPRM mempunyai dasar ia akan menyiasat setiap dakwaan yang dikemukakan kepadanya. "Sama ada SPRM mengendalikan 'ikan kecil' atau 'ikan besar' adalah tidak penting, tetapi yang penting ialah badan pencegahan rasuah ini perlu bertindak terhadap setiap aduan yang dikemukakan. Berdasarkan kepada carta aliran, kes kecil lebih banyak daripada kes besar," katanya. Beliau berkata mengubah persepsi orang ramai dan mendapatkan keyakinan mereka bukan perkara mudah, tetapi perkara itu tidak sepatutnya menjadi halangan bagi SPRM untuk mencapai hasil yang dihasratkan dalam memerangi rasuah. Program Transformasi SPRM, yang dilaksanakan sejak 2011, memberi fokus terhadap tiga aspek iaitu operasi, modal insan dan langkah pencegahan rasuah. – Bernama - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/program-transformasi-sprm-tuju-arah-betul#sthash.wtVO3YO9.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan