Rabu, 29 Oktober 2014

Kerajaan tidak tanggung hutang 1MDB-PM Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak menanggung sebarang hutang atau bayaran faedah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya syarikat itu jatuh bankrap. Perdana menteri berkata, hanya pinjaman bernilai RM5.8 bilion sahaja yang menerima 'jaminan jelas' kerajaan Malaysia. "1MDB tidak menerima jaminan dari kerajaan bagi pinjaman lain. "Sepertimana syarikat lain yang tertakluk di bawah Akta Syarikat, 1MDB juga mempunyai liabiliti terhad dan selain daripada pinjaman atau bon yang menerima jaminan kerajaan, hal kewangan 1MDB tidak termasuk dalam kiraan kontinjen liabiliti kerajaan. Keadaan kewangan syarikat adalah tanggungan syarikat itu sendiri," katanya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu sama ada kerajaan terpaksa menanggung beban hutang RM38 bilion 1MDB jika syarikat itu muflis. Najib menjelaskan hutang 1MDB pada tahun berakhir 31 Mac 2013 adalah sebanyak RM36.25 bilion. Perdana menteri berkata, 1MDB mempunyai rangka kerja tadbir urus yang kukuh dan membolehkannya mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi bon yang diterbitkan. Selain itu katanya, syarikat itu sentiasa melakukan 'due dilligence' kewangan dan teknikal yang sepenuhnya sebelum membuat keputusan bagi melabur dalam sesuatu projek. "Setakat ini, 1MDB tidak pernah terlepas daripada memenuhi obligasi jadual pembiayaan kewangannya. Kedudukan kewangan 1MDB tetap kukuh disokong oleh aset strategik yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti di samping mempunyai peluang pertumbuhan yang utuh," kata Najib. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan