Sabtu, 14 Jun 2014
MH370-Urusan pencarian tetap diteruskan-Hishammuddin
Usaha pencarian penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan bantuan negara-negara seperti China dan Australia, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, menerusi hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan dua negara terbabit serta negara Asean lain, operasi pencarian menjadi lebih mudah.
"Kita bagi jaminan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), China, Australia dan negara-negara Asean lain kepada anggota keluarga (penumpang dan kru MH370), kita bersama-sama mereka dalam usaha pencarian ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam masa yang sama Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata hubungan kukuh antara negara yang terlibat dalam pencarian amat penting bagi menangkis dakwaan konspirasi geopolitik yang mahu melaga-lagakan Malaysia, China dan Australia.
Pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang termasuk 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pada 24 Mac, Najib mengumumkan berdasarkan analisis data satelit, penerbangan itu dipercayai "berakhir" di selatan Lautan Hindi
PM Najib tunai janji rakyat Teluk Intan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan beberapa inisiatif bagi pembangunan Teluk Intan termasuk pembinaan 5,000 unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan penubuhan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sebagai memenuhi manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, beliau juga mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi projek pembangunan kawasan berkenaan.
"BN adalah sebuah parti yang berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa BN menetapi janji dan membawa harapan kepada penduduk kawasan ini," kata Najib ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat dan pelancaran PR1MA Teluk Intan.
Bagi projek PR1MA, Perdana Menteri berkata sebagai permulaan, sebanyak 1,000 unit rumah akan dibina di kawasan Parlimen berkenaan.
Projek PR1MA Teluk Intan secara keseluruhan melibatkan kawasan seluas 202 hektar.
Projek PR1MA di Teluk Intan melibatkan kerjasama antara Perbadanan PR1MA Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Bhd (MOCCIS).
Bagi penubuhan cawangan UPSI pula, Najib berkata kampus berkenaan akan menempatkan 1,000 guru yang akan dilatih dalam bidang vokasional dan teknikal.
"Kawasan Teluk Intan akan mendapat kesan begitu baik. Pembinaan cawangan UPSI)itu akan cuba siap tiga hingga empat tahun akan datang," kata Perdana Menteri.
Selain peruntukan RM5 juta itu, beliau berkata sebagai bakal menteri, Anggota Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong akan menerima peruntukan khas yang dapat digunakan untuk kepentingan penduduk kawasan berkenaan.
Najib berkata semua peruntukan yang disalurkan adalah untuk memenuhi permintaan penduduk Teluk Intan.
Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada pengundi Teluk Intan kerana menyokong BN sehingga membawa kepada kemenangan Mah pada PRK Parlimen itu, 31 Mei lepas selepas menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.
"Saya datang untuk memastikan janji-janji (BN) ditunaikan. Saya nak ucap setinggi-tinggi perhargaan kepada pengundi yang menyokong BN.
"Saya tidak sedap duduk kalau saya tidak turun hari ini untuk berjumpa rakyat Teluk Intan," katanya yang juga Pengerusi BN.
Beliau berkata kemenangan itu membuktikan pengundi yakin BN adalah parti yang menepati janji dan membawa harapan baharu kepada penduduk kawasan itu.
"Kita menang kerana kebolehpercayaan rakyat terhadap BN meningkat. Ramai yang merasakan bahawa jika BN diberi peluang akan berlaku perubahan persekitaran daripada segi pembangunan sosio-ekonomi," katanya.
Akta Hasutan masih diperlukan
Akta Hasutan 1948 masih diperlukan untuk mencegah insiden yang mengancam keselamatan negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional Datuk Ibrahim Ali.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan tidak sekali-kali tunduk kepada desakan pihak tertentu supaya Akta itu dimansuhkan.
"Kalau kita nak keselamatan negara terus kekal, kita tak boleh bebas seratus peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis Dialog Awam dan Isu- Isu Perpaduan Nasional Keempat di sini pada Sabtu.
Majlis dialog itu yang dihadiri kira-kira 200 orang mewakili 50 badan bukan kerajaan (NGO) diadakan dalam siri jelajah seluruh negara dan dijadual berakhir di Kota Kinabalu, Sabah, Ahad ini.
Ibrahim berkata pihaknya turut meragui aspek keselamatan negara yang kian terancam ekoran pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa September 2011.
"Jadi kita cadangkan supaya ada instrumen yang betul-betul berkesan demi keselamatan negara. Jika tidak, keadaan negara seolah-olah 'api dalam sekam' yang kalau silap bertindak, negara boleh hancur...ia umpama 'telur di hujung tanduk," katanya.
Kedah bakal ada lapangan terbang ke tiga..
Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kedah dijangka dapat menampung keperluan penumpang dan perkhidmatan kargo semakin meningkat bagi negeri-negeri di utara Semenanjung, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Beliau berkata pihaknya mendapati kemudahan di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang semakin terhad untuk menampung keperluan pertambahan kargo dan penumpang masa depan.
Beliau sebelum ini berkata kerajaan negeri Kedah bercadang membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di atas sebidang tanah seluas kira-kira 6,000 hektar di Kulim.
Cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.
Mukhriz pada Sabtu merasmikan Pesta Kedah 2014 di ibu negara sehingga Ahad anjuran Persatuan Wanita Kedah di Kuala Lumpur dan Selangor.
Ia mempromosi keunikan budaya dan tradisi negeri Kedah serta kawasan pelancongan selain bagi mengumpul dana untuk penubuhan Rumah Kedah di ibu negara.
Sementara itu di Pulau Pinang, Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) membidas kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina lapangan terbang antarabangsa di Kulim itu.
Presiden KMPP, Rahmad Isahak berkata kenapa beliau (Guan Eng) harus ego, sombong dan tamak dan memandang rendah terhadap cadangan kerajaan negeri Kedah yang tidak sepatutnya dijadikan isu sebaliknya beliau harus menyokong dan bukan mengugut.
"Kongsilah sama hasil pendapatan ekonomi dan jangan hendak bolot atas kapasiti politik semata-mata," katanya dalam kenyataan di Pulau Pinang, Sabtu.
Guan Eng dilapor sebagai berkata Jumat cadangan tersebut adalah tidak sesuai daripada segi ekonomi ataupun mempunyai justifikasi.
Beliau berkata lokasi di Kulim menimbulkan banyak persoalan memandangkan ia begitu hampir dengan Pulau Pinang, tambahan pula Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu di Langkawi dan Alor Setar.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga dilapor sebagai berkata Pulau Pinang merupakan penerima terbesar pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia sementara kedudukan Kedah begitu jauh daripada segi memperoleh FDI.
Guan Eng berkata Pulau Pinang mempunyai hubungan dan rangkaian antarabangsa.
Mukhriz sebelum ini berkata kerajaan negeri mendapati terdapat permintaan bagi pengangkutan udara disebabkan kemudahan di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang semakin terhad manakala keperluan kargo dan penumpang di masa depan pula bertambah.
Jumaat, 13 Jun 2014
Kerajaan timbang pengecualian cukai pengunaan petrrol RON95 dan diesel
Kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengecualikan rakyat daripada membayar cukai penggunaan petrol RON95 dan diesel apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini adalah kerana buat masa ini, dua komoditi bahan api itu dikecualikan daripada cukai jualan dengan kadar 58.62 sen seliter dan 40 sen seliter, masing-masing.
Katanya, pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan merupakan satu jumlah tanggungan besar kepada kerajaan.
“Namun, kerajaan masih belum memutuskan untuk mengenakan GST ke atas petrol dan diesel.
“Kerajaan ingin lihat setakat mana penjimatan (boleh dilakukan) daripada usaha ini sebelum membuat rasionalisasi subsidi,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2014 di peringkat jawatankuasa di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
GST akan diperkenalkan pada April 2015 pada kadar enam peratus menggantikan cukai jualan danperkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus.
Ahmad berkata pada masa ini, harga RON95 adalah RM2.10 seliter iaitu 71 sen disubsidikan kerajaan, dan harga diesel iaitu RM2 selepas kerajaan menanggung subsidi sebanyak 74 sen.
Beliau juga menerangkan jumlah subsidi petroleum yang terdiri daripada petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), dengan nisbah 50 peratus untuk petrol, diesel (40 peratus) dan LPG (10 peratus) dari tahun 2000 sehingga tahun ini.
Katanya, kerajaan memberikan jumlah subsidi petroleum sebanyak RM3.425 bilion pada tahun 2000, RM2.398 bilion (2001), RM917 juta (2002), RM1.823 bilion (2003), RM4.788 bilion (2004), RM8.164 (2005), RM7.281 bilion (2006), dan RM8.770 bilion (2007).
“RM15.378 bilion (2008 – peningkatan harga minyak di pasaran dunia), RM5.593 bilion (2009), RM9.065 bilion (2010), RM20.275 bilion (2011), RM24.726 bilion (2012), RM23.458 bilion (2013) dan anggaran tahun ini ialah RM22.24 bilion. Pemberian subsidi yang menjadi cabaran kerajaan,” katanya.
Rafizi Ramli (Pandan-PKR) mencelah dan meminta kerajaan untuk memberitahu kenaikan harga barang akibat pelaksanaan GST lebih awal, dan jangan hanya membiarkan rakyat dan masyarakat peniaga terkejut dengan perkara itu.
Kepada cadangan itu, Ahmad berkata kerajaan akan mengeluarkan buku panduan pembeli) yang mengandungi 1,000 jenis barang, tiga bulan sebelum GST dilaksanakan tahun depan.
Beliau berkata buku panduan itu bertujuan bagi mengelak pengguna ditipu peniaga yang mungkin bertindak menaikkan harga barang sesuka hati.
“GST dilaksanakan untuk tujuan menambah hasil negara, secara telus, efektif dan cekap untuk meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga lebih ketat menjelang Ramadan
Kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat terutamanya menjelang Ramadan dan Syawal, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba dan disusuli pula dengan Syawal, kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat," kata Perdana Menteri dalam laman Facebook beliau hari ini.
Najib turut berkongsi berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertajuk "Kerajaan Laksana Pelbagai Program Bantu Rakyat Tangani Kenaikan Kos Sara Hidup - Muhyiddin" di laman Facebook dan Twitternya.
Menurut berita itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Sambil menempelak tuduhan pembangkang kononnya kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu rakyat, Muhyiddin berkata kerajaan telah banyak melakukan pelbagai program bagi meringankan beban rakyat termasuk melaksanakan Akta Kawalan Harga sebagai satu undang-undang yang melindungi kepentingan pengguna.
"Hanya Malaysia sahaja yang mempunyai undang-undang mengawal harga barangan keperluan dan makanan ini, terutama menjelang musim-musim kritikal seperti waktu perayaan," kata Muhyiddin selepas merasmikan Program Jom Bertani di Kampung Nyior Tujuh, Jerteh, Terengganu, semalam.
Sementara itu, hasrat Malaysia untuk menjamin daya saing global, Najib berkata kerajaan perlu bersungguh-sungguh mempertimbangkan dan melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat masyarakat supaya lebih tepat mencerminkan kesejahteraan sebenar negara.
"Malaysia menduduki ranking ke-56 daripada 156 negara dalam Indeks Kebahagian Dunia 2013 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kemajuan mapan sesebuah negara dalam dunia global dan berdaya saing hari ini tidak boleh diukur semata-mata dengan prestasi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sahaja," katanya.
Perdana Menteri berkata pertumbuhan pesat Malaysia ke arah mencapai status negara maju mestilah selari dengan status kesejahteraan rakyat.
"Dalam penjelmaan intipati 1Malaysia, kita secara kolektif mesti memastikan semua rakyat Malaysia dapat maju bersama-sama dalam masyarakat yang saksama," katanya.
Trafik penumpang MAHB menunjukkan peningkatan
Trafik penumpang Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) naik sebanyak 2.1 peratus kepada 6.72 juta pada Mei 2014 berbanding 6.58 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
MAHB dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah penumpang antarabangsa meningkat empat peratus dan sektor domestik mencatatkan pertumbuhan 0.5 peratus dalam tempoh yang sama pada 2013.
Pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat sebanyak satu peratus pada Mei 2014 berbanding bulan yang sama pada 2013, katanya.
"Trafik penumpang antarabangsa bertambah 4.5 peratus dan penumpang domestik susut 6.6 peratus," katanya.
Trafik terminal bangunan utama KLIA berkurangan 7.9 peratus manakala trafik klia2/LCCT naik sebanyak 11.1 peratus, katanya.
Sehingga Mei 2014, MAHB telah mengendalikan seramai 34.1 juta pergerakan penumpang yang mencatatkan pertumbuhan 13.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2013.
KLIA pula, mencatatkan 20.3 juta penumpang dengan pertumbuhan 11.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun 2013, katanya.
Menurut MAHB, pergerakan domestik yang berkurangan pada tahun ini sebahagiannya disebabkan pada 2013, peratus penumpang melonjak berikutan adanya pergerakan pilihan raya umum.
Mengenai masa hadapan, ia berkata Bank Dunia telah mengurangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dunia daripada 3.2 peratus kepada 2.8 peratus.
"Ini mungkin mempunyai kesan ke atas perjalanan udara," katanya.
Langgan:
Ulasan (Atom)






