Jumaat, 13 Jun 2014

Trafik penumpang MAHB menunjukkan peningkatan

Trafik penumpang Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) naik sebanyak 2.1 peratus kepada 6.72 juta pada Mei 2014 berbanding 6.58 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. MAHB dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah penumpang antarabangsa meningkat empat peratus dan sektor domestik mencatatkan pertumbuhan 0.5 peratus dalam tempoh yang sama pada 2013. Pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat sebanyak satu peratus pada Mei 2014 berbanding bulan yang sama pada 2013, katanya. "Trafik penumpang antarabangsa bertambah 4.5 peratus dan penumpang domestik susut 6.6 peratus," katanya. Trafik terminal bangunan utama KLIA berkurangan 7.9 peratus manakala trafik klia2/LCCT naik sebanyak 11.1 peratus, katanya. Sehingga Mei 2014, MAHB telah mengendalikan seramai 34.1 juta pergerakan penumpang yang mencatatkan pertumbuhan 13.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2013. KLIA pula, mencatatkan 20.3 juta penumpang dengan pertumbuhan 11.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun 2013, katanya. Menurut MAHB, pergerakan domestik yang berkurangan pada tahun ini sebahagiannya disebabkan pada 2013, peratus penumpang melonjak berikutan adanya pergerakan pilihan raya umum. Mengenai masa hadapan, ia berkata Bank Dunia telah mengurangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dunia daripada 3.2 peratus kepada 2.8 peratus. "Ini mungkin mempunyai kesan ke atas perjalanan udara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan