Jumaat, 13 Jun 2014

Kerajaan timbang pengecualian cukai pengunaan petrrol RON95 dan diesel

Kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengecualikan rakyat daripada membayar cukai penggunaan petrol RON95 dan diesel apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April tahun depan. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini adalah kerana buat masa ini, dua komoditi bahan api itu dikecualikan daripada cukai jualan dengan kadar 58.62 sen seliter dan 40 sen seliter, masing-masing. Katanya, pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan merupakan satu jumlah tanggungan besar kepada kerajaan. “Namun, kerajaan masih belum memutuskan untuk mengenakan GST ke atas petrol dan diesel. “Kerajaan ingin lihat setakat mana penjimatan (boleh dilakukan) daripada usaha ini sebelum membuat rasionalisasi subsidi,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2014 di peringkat jawatankuasa di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. GST akan diperkenalkan pada April 2015 pada kadar enam peratus menggantikan cukai jualan danperkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus. Ahmad berkata pada masa ini, harga RON95 adalah RM2.10 seliter iaitu 71 sen disubsidikan kerajaan, dan harga diesel iaitu RM2 selepas kerajaan menanggung subsidi sebanyak 74 sen. Beliau juga menerangkan jumlah subsidi petroleum yang terdiri daripada petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), dengan nisbah 50 peratus untuk petrol, diesel (40 peratus) dan LPG (10 peratus) dari tahun 2000 sehingga tahun ini. Katanya, kerajaan memberikan jumlah subsidi petroleum sebanyak RM3.425 bilion pada tahun 2000, RM2.398 bilion (2001), RM917 juta (2002), RM1.823 bilion (2003), RM4.788 bilion (2004), RM8.164 (2005), RM7.281 bilion (2006), dan RM8.770 bilion (2007). “RM15.378 bilion (2008 – peningkatan harga minyak di pasaran dunia), RM5.593 bilion (2009), RM9.065 bilion (2010), RM20.275 bilion (2011), RM24.726 bilion (2012), RM23.458 bilion (2013) dan anggaran tahun ini ialah RM22.24 bilion. Pemberian subsidi yang menjadi cabaran kerajaan,” katanya. Rafizi Ramli (Pandan-PKR) mencelah dan meminta kerajaan untuk memberitahu kenaikan harga barang akibat pelaksanaan GST lebih awal, dan jangan hanya membiarkan rakyat dan masyarakat peniaga terkejut dengan perkara itu. Kepada cadangan itu, Ahmad berkata kerajaan akan mengeluarkan buku panduan pembeli) yang mengandungi 1,000 jenis barang, tiga bulan sebelum GST dilaksanakan tahun depan. Beliau berkata buku panduan itu bertujuan bagi mengelak pengguna ditipu peniaga yang mungkin bertindak menaikkan harga barang sesuka hati. “GST dilaksanakan untuk tujuan menambah hasil negara, secara telus, efektif dan cekap untuk meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan