Rabu, 7 Mei 2014
Hudud-MCA timbang semula kedudukan dalam BN
Parti komponen BN, MCA perlu membincangkan semula kedudukannya dalam parti andai Umno setuju dengan pelaksanaan hukum hudud, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Dr Maszlee Malik pada Wacana Sinar Harian siri ke-27 bertajuk 'Hudud: Bersediakah Kita?" di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.
Maszlee bertanya kemungkinan MCA keluar dari BN andai Umno menyuarakan persetujuan terhadap pelaksanaan hudud.
"Kalau berlaku, sudah sampai masa kita bincang kedudukan kita dengan rakan sekutu," katanya.
Sebelum itu, moderator membangkitkan soal keputusan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamir Khir yang merupakan ahli Umno telah membenarkan mana-mana negeri membentang draf hudud di Parlimen.
"Saya tidak setuju (dengan Jamil Khir). Tak kira siapa yang bawa dan disokong oleh siapa termasuk Umno. Asas kita nak laksana ikut perlembagaan.
"Jamil Khir tidak wakili BN. Bukan satu persetujuan yang diwakili BN," katanya.
Wacana kali ini turut menampilkan bekas Mufti Perlis, Prof. Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dr Mushaddad Hasbullah.
Perbincangan projek keretapi laju KL-Singapura masih berjalan
Perbincangan antara Malaysia dan Singapura berhubung projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura masih berjalan, kata Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azmi Abdul Aziz.
Katanya, projek itu memerlukan perancangan yang sangat teliti memandangkan tidak banyak projek kereta api berkelajuan tinggi merentasi negara yang boleh dijadikan sebagai rujukan.
"Projek kereta api berkelajuan tinggi yang merentasi negara tak banyak dan yang terkenal seperti London - Paris pun sudah 20 tahun.
"Jadi pihak Malaysia dan Singapura sedang berunding bagaimana kita hendak melakukan perancangan untuk mencapai sasaran projek itu siap menjelang 2020," katanya kepada Bernama pada Pameran Penyelesaian Kereta Api Asia 2014, di sini hari Rabu.
Cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi sepanjang 330 kilometer dari Kuala Lumpur ke Singapura, bernilai US$12 bilion (RM40 bilion) itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong pada Februari tahun lepas.
Projek yang dijangka siap pada 2020 akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua ibu negara itu kepada hanya 90 minit.
Nazri promosi TMM 2014 di Timur Tengah
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengetuai delegasi Malaysia ke Timur Tengah untuk mempromosikan program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
Destinasi pertama beliau ialah Arabian Travel Market (ATM), pameran pelancongan dan perjalanan terbesar Timur Tengah selama empat hari di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata kenyataan Tourism Malaysia yang dikeluarkan di sini hari Rabu.
Pada Isnin, Mohamad Nazri merasmikan Malaysia Pavilion dan dijadual mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Pelancongan Abu Dhabi, pengerusi Sharjah Commerce dan Jabatan Pelancongan serta para pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan terkemuka di Timur Tengah.
Pameran yang berakhir pada Khamis itu menawarkan kepada Malaysia platform yang amat berkesan untuk memasarkan dan meningkatkan kesedaran tentang TMM 2014 dalam kalangan penggiat industri pelancongan di Timur Tengah.
"Sebanyak 150 penjual daripada 84 organisasi di Malaysia, terdiri daripada hotel dan resort, ejen perjalanan, pemilik produk pelancongan dan wakil kerajaan negeri, menyertai ATM tahun ini," kata kenyataan itu.
Menurutnya, pada pameran tersebut, kerajaan pulau Pinang melancarkan buku panduan untuk pelancongan beragama Islam bertajuk "Experience Penang - A Muslim Travel Guide 2014", yang mengandungi panduan lengkap tentang tempat tarikan pelancong, restoran yang menghidangkan makanan halal dan tempat penginapan yang mempunyai kemudahan dapur yang disahkan halal di negeri itu.
Selepas ATM, Tourism Malaysia akan meneruskan usaha promosinya dengan mengadakan misi jualan di Qatar (10-12 Mei) dan Jordan (12-15 Mei).
Programnya di dua destinasi itu termasuk melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Pelancongan Qatar dan Menteri Pelancongan dan Warisan Purba Jordan.
Pada 2013, 324,437 pelancong Timur Tengah melawat Malaysia, 19,830 daripada mereka dari UAE, 7,264 dari Qatar dan 6,278 dari Jordan.
Jumlah itu menunjukkan penurunan daripada 370,535 pada 2012 dan 358,994 pada 2011.BERNAMA
KLIA2 sedia terima Air Asia dalam fasa kedua perpindahan 8 Mei ini
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, ia sudah bersedia menerima AirAsia dan beberapa syarikat penerbangannya dalam fasa kedua pemindahan ke klia2.
Dalam satu kenyataan hari Rabu, pengendali lapangan terbang itu berkata, ia bekerjasama rapat dengan AirAsia bagi membantu mereka dalam pemindahan ke terminal tambang rendah baharu itu di mana beberapa mesyuarat dan ujian simulasi telah dijalankan bagi tujuan berkenaan.
AirAsia akan memindahkan operasi semua syarikat penerbangannya dari LCCT ke klia2 pada 9 Mei.
"Syarikat penerbangan lain telah berjaya memindahkan operasi mereka dengan lancar dari LCCT dan KLIA ke klia2. Oleh itu kami menjangka AirAsia akan mampu berbuat demikian walaupun jumlah pesawat dan operasinya lebih besar," MAHB.
Menurut MAHB, AirAsia mungkin menghadapi sedikit masalah semasa pemindahan, tetapi MAHB komited sepenuhnya untuk membantu sedaya mungkin.
"Kami telah menjalankan ujian Ketersediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang membabitkan semua pihak yang berkepentingan sejak Februari 2014 dan kini klia2 beroperasi dengan lancar," katanya.
Operasi klia2 yang memasuki hari keenam hari ini dengan Malindo Airways, Lion Air, Tiger Airways International dan Cebu Pacific Airways mengendalikan 33,000 ketibaan dan perlepasan dan hampir 300 pergerakan pesawat sejak dibuka pada 2 Mei lalu, kata MAHB.
Selasa, 6 Mei 2014
Tiga kumpulan penguatkuasa pantau PRK Bukit Gelugor- SPR
Tiga pasukan penguat kuasa yang turut dianggotai wakil parti yang bertanding akan membantu memantau kelancaran proses pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dijadualkan 25 Mei ini.
Pemangku Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang Azizal Ahmad berkata pasukan itu akan turut dianggotai seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas dan wakil Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Beliau berkata setiap pasukan akan ditempatkan di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Paya Terubung, Ayer Itam dan Seri Delima.
"Tugas mereka bermula selepas hari penamaan calon. Mereka akan memantau bahan-bahan kempen, ceramah...mereka akan mengambil tindakan sekiranya parti yang bertanding tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan SPR," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau menasihatkan parti-parti politik yang bertanding agar mendapatkan pas masuk daripada pengurus pilihan raya bagi membolehkan penyokong mereka menyertai proses penamaan calon Isnin ini (12 Mei).
Azizal berkata pihaknya menyediakan tiga khemah untuk penyokong parti di perkarangan Dewan Sri Pinang, di sini dan setiap calon yang berhasrat untuk bertanding hanya dibenar membawa masuk 100 penyokong ke perkarangan dewan.
Beliau berkata sebanyak 1,095 orang akan ditugaskan sepanjang pilihan raya kecil itu meliputi pegawai pengurus sehinggalah pemandu.
Sebanyak 17 pusat daerah mengundi akan dibuka pada pilihan raya kecil itu dengan 139 saluran untuk undi biasa dan empat saluran untuk undi awal, katanya.
Beliau berkata orang ramai yang ingin mendapatkan buku Daftar Pemilih bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor kini boleh membelinya di pejabat SPR negeri dengan harga RM331.80.
Tinjauan Bernama di pejabat SPR negeri semalam mendapati para petugas sibuk menyiapkan peralatan peti undi dan membuat persiapan untuk proses penamaan calon Isnin ini.
Kawasan Parlimen Bukit Gelugor mempunyai keluasan 28km persegi dengan jumlah pengundi berdaftar sehingga 17 April lepas ialah 82,431 orang.
Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.
Pengerusi DAP itu memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas dengan majoriti 42,706 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.BERNAMA
HUDUD- Jawatankuasa tenikal perlu membabitkan ulama bebas-Tun M
Jawatankuasa teknikal pusat berhubung pelaksanaan hukum Hudud atau undang-undang jenayah Syariah harus terdiri daripada para ulama bebas dan sesuai yang tidak terbabit dalam politik, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata ini bagi mengelakkan pandangan yang prejudis terhadap jawatankuasa itu dan bagi memastikan pelaksanaan hukum tidak memberi manfaat kepada pihak-pihak tertentu.
"Perkara utama ialah untuk mempunyai para ulama yang sesuai yang tidak terbabit dalam politik untuk mengkaji perkara ini dan memberi fatwa mereka. Bukan orang-orang yang jelas menggunakan hudud untuk meraih undi," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas memerhatikan prosiding Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari Selasa terhadap bekas ahli politik dan aktivis sosial Dr Kassim Ahmad atas dakwaan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.
Pada 2 Mei, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebuah jawatankuasa teknikal pusat akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi mengkaji pelaksanaan undang-undang jenayah syariah atau hukum Hudud di Kelantan.
Jamil Khir berkata penubuhan jawatankuasa itu membabitkan kerajaan persekutuan, kerajaan Kelantan dan PAS.
Selain mengkaji pelbagai aspek pelaksanaan undang-undang itu, jawatankuasa itu juga akan menjelaskan perkara itu di semua peringkat termasuk parti-parti politik.
Sementara itu, Dr Mahathir juga berharap kontroverisi dalam pelaksanaan hudud akan membantu orang ramai memahami apa itu hudud dan bagaimana ia digunakan dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Berhubung tindakan MCA menolak hukum itu dan sama ada ia boleh memecahbelahkan Barisan Nasional (BN), Dr Mahathir berkata beliau tidak fikir ia boleh menjejaskan parti itu.
"Umno percaya hudud sebagai sesuatu yang terdapat dalam al-Quran dan Hadis, namun apabila ia digunakan oleh sebuah parti politik (PAS) mereka akan menterjemahkannya secara berat sebelah," katanya.
Teresa Kok didakwa terhadap tuduhan menerbitkan klip video menghasut
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerbitkan satu klip video menghasut bertajuk 'Teresa Kok "Onederful" Malaysia CNY 2014' , yang disiarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina tiga bulan lalu.
Teresa yang berbaju kurung merah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Norsharidah Awang.
Berdasarkan pertuduhan, Teresa, 50, didakwa menerbitkan klip video itu di laman web YouTube yang mana transkrip terjemahaan dalam Bahasa Malaysia mengandungi ayat menghasut.
Kesalahan didakwa dilakukan di alamat 90-02- 07 Aparmen Putra Ria Jalan Bangsar, kira-kira jam 9 pagi, 1 Februari 2014.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah bahawa kes berkenaan termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun menurutnya bergantung kepada budi biacara mahkamah untuk membenarkan jaminan terhadap tertuduh dengan jumlah yang munasabah.
Bagaimanapun Peguam Teresa, Datuk C Param memohon mahkamah memberikan bon jaminan peribadi atas kapasiti anak guamnya sebagai pemimpin masyarakat yang tidak mungkin akan melarikan diri, selain memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Mahkamah membenarkan Teresa diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan kes.
Mahkamah turut menetapkan empat hari bermula bermula 2 September depan untuk perbicaraan kes itu.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil antara 10 hingga 15 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.
Turut hadir sebagai peguam bela peguam Sankara Nair, Gobind Singh Deo.
Dalam klip video berdurasi 11 minit itu, Teresa bertindak sebagai hos dalam bual bicara pengamal feng shui yang bertanya secara berjenaka, mengenai pelbagai isu termasuk sistem pendidikan, kenaikan harga barang dan isu keselamatan di Sabah.Petikan SInar Harian
Langgan:
Ulasan (Atom)






