Jumaat, 2 Mei 2014

PRK BUkit Gelugor- MCA senarai pendek tiga nama

MCA menyenarai pendek tiga nama calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei depan. Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata nama calon-calon berkenaan akan diserahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga perdana menteri untuk dipertimbangkan. Beliau berkata kesemua calon adalah orang tempatan. "Kita tidak akan bincangkan calon-calon kita di media massa kerana saya perlu menghormati perdana menteri yang juga pengerusi BN. Kita akan bincangkannya di peringkat dalaman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog bersama barisan pimpinan MCA negeri di sini Jumaat. Ditanya sama ada dengan penyenaraian nama calon itu membayangkan BN akan bertanding pada PRK itu, beliau berkata: "Ini kita juga akan bincangkan dalam Barisan Nasional. Saya tidak akan berkata lebih dari itu. Ini kerusi MCA dan kita daripada hari pertama telah membuat persiapan sepanjang masa, sebelum dan selepas pilihan raya. "Kita juga tidak melepaskan tanggungjawab untuk menjaga kawasan kita walaupun kalah di Bukit Gelugor pada pilihan raya lepas, kita masih terus berkhidmat." Kekosongan kerusi Bukit Gelugor berlaku selepas kematian penyandangnya Karpal Singh dalam nahas berhampiran Gua Tempurung, Kampar, Perak pada 17 April lepas. Penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei. Karpal memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi. Dalam perkembangan lain, Liow menafikan dakwaan bahawa MCA mahu menukar kerusi kawasan tersebut dengan Gerakan bagi membolehkan ia bertanding di kawasan Parlimen Teluk Intan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser semalam. Liow sebaliknya berkata MCA akan menyokong Gerakan jika mereka mahu meletakkan calon pada PRK Teluk Intan nanti. "Itu tidak benar, kerusi Bukit Gelugor adalah kerusi MCA dan kerusi Teluk Intan adalah kerusi Gerakan. Kita akan teruskan dari segi kedudukan kerusi ini dan kita akan membuat persiapan. "Apa-apa cadangan (untuk pertukaran kerusi) memerlukan persetujuan daripada semua pihak dalam BN," katanya. -- BERNAMA

MH370- Kenyataan Pemangkau Menteri Pengangkutan pada hari ke 56

Berikut adalah kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang beliau baca dalam sidang akhbar di Hotel Royale Chulan di sini Jumaat "Hari ini adalah hari ke-56 MH370 hilang. Hakikat bahawa MH370 masih belum dijumpai setelah lebih tujuh minggu usaha mencari dilakukan di darat, udara dan laut membuktikan betapa sukarnya keseluruhan misi ini. Bagaimanapun, kami tetap teguh dengan komitmen kami untuk mencari MH370 dan akan terus mempergiat usaha mencarinya. Seperti yang dijanjikan Perdana Menteri minggu lepas, kami mengeluarkan Laporan Awal seperti yang dihantar kepada ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) berserta maklumat tambahan. Ini konsisten dengan pendirian kami bahawa demi keterbukaan dan ketelusan, semua maklumat yang tidak menjejaskan penyiasatan atau operasi mencari, akan didedah kepada umum. Perlu ditegaskan bahawa laporan yang disiar kepada umum semalam adalah suatu laporan awal. Namun begitu seperti yang saya tegaskan sejak awal lagi, kami tidak menyembunyikan apa-apa. PERJUMPAAN DENGAN ANGUS HOUSTON DAN JEAN PAUL TROADEC Awal hari ini, saya mengadakan perjumpaan dengan Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston, yang mengetuai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perth dan menyelaras usaha mencari MH370 di selatan Lautan Hindi, serta Jean Paul Troadec iaitu Ketua Pasukan Penyiasat Perancis bagi pesawat Air France 447 merangkap bekas Ketua Biro Penyiasatan Nahas Udara. Kedatangan dua individu ini ke Kuala Lumpur adalah untuk berbincang tentang fasa baharu dalam operasi mencari. Perjumpaan ini menjadi bukti keterangkuman Malaysia dalam menyelaras fasa berikutnya bagi usaha mencari 'yang tidak pernah dilakukan sebelum ini' serta mengesahkan sekali lagi komitmen padu kami dan masyarakat antarabangsa untuk mencari MH370. KEMAJUAN JAWATANKUASA KECIL Tiga jawatankuasa kecil yang diketuai tiga timbalan menteri telah mengadakan mesyuarat dan usaha sedang dipergiat bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi fasa berikutnya. Izinkan saya memberi maklumat terkini berkaitan kemajuan yang mereka capai. i) Jawatankuasa Teknikal Pasukan Penyiasat Antarabangsa, yang diketuai Dato Kok Soo Chon iaitu bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan bekas Wakil Tetap di Majlis ICAO di Montreal, telahpun memulakan siasatan berkaitan insiden itu seperti disyaratkan dalam Terma Rujukan ICAO. Pasukan ini telah bermesyuarat sebanyak lima kali dan kemajuan siasatan akan dilaporkan apabila tiba masanya. ii) Jawatankuasa Waris Semalam, Malaysia Airlines mengumumkan ia akan membayar pampasan pendahuluan secepat mungkin kepada waris yang berhak. Pakej pampasan ini bertujuan memenuhi keperluan segera keluarga terbabit dari segi kewangan. Saya ingin menegaskan sekali lagi pendirian kerajaan seperti yang diumum semalam oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, yang mengetuai Jawatankuasa Kecil Waris, bahawa kami yakin dengan komitmen Malaysia Airlines untuk membantu dan menyokong keluarga mereka yang menaiki pesawat MH370. Seiring dengan itu, saya juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan China atas sokongan kuat mereka dalam perkara ini. Saya dengan sesungguh hati ingin menggesa Malaysia Airlines agar terus berhubung dengan keluarga penumpang terbabit apabila kami memasuki fasa baharu ini. Amat penting bagi MAS untuk memelihara dan menambah baik platform serta saluran komunikasi yang wujud antara syarikat penerbangan itu dan keluarga terbabit sejak lapan minggu lepas. Anggota keluarga penumpang terbabit, di mana sahaja mereka berada, perlu sentiasa dimaklumkan dengan segera berkaitan perkembangan penting usaha mencari pesawat berkenaan. Kami bertanggungjawab memaklumkan mereka tentang perkembangan yang berlaku dan menyiasat hingga ke akar umbi insiden ini. iii) Jawatankuasa Penggunaan Aset Mengenai penggunaan aset, kami telah berbincang secara mendalam dengan beberapa syarikat Malaysia iaitu Petronas, Deftech, Boustead dan Sapura Kencana beberapa hari lepas berkaitan penggunaan aset khusus. Sistem dalam air dan platform khusus ini termasuk Kenderaan Autonomi Tanpa Kendalian Manusia (AUV), alat dikenali sebagai 'Deep Water Towed Side Scan Sonar', Kenderaan Kendalian Jarak Jauh (ROV) dan kapal sokongan, akan digerak bagi menyertai fasa baharu misi pencarian ini. Semua entiti Malaysia yang terlibat dalam usaha ini perlu bekerja sebagai sebuah pasukan yang membawa panji-panji Malaysia untuk mencari MH370. PERJALANAN KE CANBERRA Minggu depan, saya akan mengetuai satu delegasi ke Canberra bagi menghadiri Mesyuarat Tiga Hala Peringkat Menteri, yang akan dihoskan rakan sejawatan kami dari Australia pada 5 Mei 2014. Mesyuarat ini akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Infrastruktur dan Industri Australia. Saya akan diiringi ketua tiga jawatankuasa kecil terbabit iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Luar serta Dato Azharuddin Abdul Rahman daripada DCA, Ahmad Jauhari daripada MAS dan wakil kementerian berkenaan. Delegasi China juga akan menyertai kami dalam mesyuarat itu, yang diketuai Menteri Pengangkutan Yang Chuantang diiringi Naib Menteri Pengangkutan He Jianzhong dan Naib Menteri Luar Xie Hangsheng serta pegawai kanan kerajaan. DAKWAAN BERKAITAN TELUK BENGGALA Mengenai dakwaan berkaitan Teluk Benggala, kami bersetuju dengan kenyataan Angus Houston bahawa ia adalah amat mustahil. Banyak petunjuk sebelum ini terbukti negatif dan keadaan ini adalah sama seperti apa yang kami alami sebelum ini. Walaupun tiada maklumat baharu, kami tetap meminta negara pesisir agar mengesahkan dakwaan itu. Ketika ini, tiga kapal Bangladesh termasuk sebuah kapal peninjau berada di kawasan pencarian itu. Setakat ini, tiada apa yang ditemui. Dalam memasuki fasa baharu pencarian, kami mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan yang kami terima daripada masyarakat antarabangsa dan pihak berkepentingan di peringkat domestik. Kami juga terharu dengan sokongan yang diterima dari pelbagai negara yang tampil membantu walaupun mereka tidak menyertai fasa awal operasi SAR. Kami akan berusaha mengatasi cabaran dalam operasi mencari fasa baharu itu nanti, yang memerlukan aset dalam air yang mahal, canggih dan kompleks. Seperti biasa, ingatan dan doa kami tetap bersama mereka yang menaiki pesawat berkenaan serta keluarga mereka, dan usaha mencari akan diteruskan. -- BERNAMA

MH370-Kerajaan amal prinsip keterbukaan dan ketulusan- Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata laporan awal berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 diumumkan berasaskan kepada prinsip keterbukaan dan ketelusan. Seiring dengan usaha pencarian yang dipertingkatkan, Najib berkata beliau turut melantik sepasukan pakar dalaman untuk menyemak semula segala maklumat yang diperoleh berkaitan pesawat Boeing 777-200ER yang hilang itu. "Saya menetapkan, sebagai satu pegangan, peraturan bahawa selagi pendedahan maklumat itu tidak menghalang penyiasatan atau operasi pencarian, atas nama keterbukaan dan ketelusan," katanya menerusi posting terkini Facebook beliau. Laporan awal MH370, yang turut mengandungi rakaman audio perbualan antara kokpit dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur serta senarai kargo, dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan semalam. Laporan itu turut memuatkan peta laluan penerbangan, pelan tempat duduk penumpang selain dokumen tambahan yang memberi maklumat lanjut berkaitan tindakan yang diambil antara 1.38 pagi dan 6.14 pagi pada 8 Mac, hari MH370 dilaporkan hilang. Najib, ketika diwawancara oleh pakar penerbangan stesen penyiaran CNN, Richard Quest, berkata Malaysia bersedia mengeluarkan laporan awal MH370 minggu ini. Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada paparan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Antara penumpangnya adalah tiga warga Amerika. Operasi pencarian pesawat Boeing 777-200ER melibatkan pelbagai negara di perairan Perth, Australia, melibatkan penggunaan kenderaan Dalam Air Autonomi Bluefin-21, dilengkapi sonar, daripada Tentera Laut Amerika.

Pencarian MH370- Kerajaan bincang dengan pihak swasta

Kerajaan sedang mengadakan perbincangan terperinci dengan empat syarikat Malaysia berhubung penggunaan aset khusus dalam pencarian pesawat MH370. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perbincangan diadakan dengan SapuraKencana Petroleum, Petronas, Boustead Holding Berhad dan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DefTech) bagi penggunaan aset mereka. Aset itu termasuk kendearaan tanpa kendalian autonomi (AUV), sonar saringan bertunda air dalam, kenderaan yang digerak secara kawalan (ROV) dan kenderaan sokongan, katanya pada sidang media di sini hari ini. Beliau berkata: "Adalah penting semua entiti Malaysia terlibat dalam usaha ini untuk bersama bekerja sebagai satu pasukan, mengibar bendera Malaysia untuk mencari MH370." Mengenai pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Kok Soo Chon, beliau berkata pasukan itu memulakan siasatan mereka di bawah terma rujukan yang digariskan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). "Pasukan siasatan telah melakukan lima kali siasatan setakat ini dan kemajuannya akan dilaporkan tidak lama lagi," katanya. Pasukan siasatan terdiri daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain dan Jabatan Siasatan Pesawat China. Anggota lain terdiri daripada Biro Siasatan Kemalangan Pengangkutan Darat Perancis, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, pengeluar pesawat Boeing dan syarikat komunikasi satelit British, Inmarsat. Pada 23 April, Malaysia mengumumkan pembentukan pasukan penyiasat yang tujuan utamanya ialah bagi menilai, menyiasat dan menentukan punca sebenar kehilangan pesawat bagi memastikan ia tidak berulang di masa depan. Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac hilang dari radar skrin kira-kira sejam selepas berlepas ketika berada di atas Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Usaha pencarian antarabangsa dilancarkan, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dilapor berakhir di situ.

Khamis, 1 Mei 2014

KLIA2 cipta sejarah, selamat indah dan tercanggih sebagai terminal tambang murah...

Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), terminal tambang murah terbesar dunia, memulakan operasi secara rasmi dengan ketibaan pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu, Sabah, pada 12.05 tengah malam ini. Pesawat pertama dijadual berlepas daripada lapangan terbang tersebut adalah pesawat Cebu Pacific Airways 5J502 ke Manila, Filipina, pada kira-kira 3.15 pagi ini. Sebanyak 110 penumpang tiba dengan penerbangan Malindo Air manakala 147 penumpang akan berlepas dengan penerbangan Cebu Pacific Airways.
Terminal klia2, yang mempunyai kapasiti mengendalikan 45 juta penumpang setahun, akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT). Peristiwa yang membuka lembaran baharu dalam sejarah pengangkutan udara negara itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah. Turut hadir Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharudin Abdul Rahman. Abdul Aziz turut menyambut ketibaan dan pelepasan penumpang serta mengagihkan beg cenderahati kepada setiap penumpang. Terdahulu, pada pukul 10.20 malam, proses pendaftaran masuk penumpang bermula dengan lancar tanpa sebarang masalah. Penumpang pertama yang mendaftar masuk pada hari pertama operasi klia2 ialah seorang pembantu rumah warga Filipina, Gemma Camarinta, 39, yang mahu pulang ke kampungnya di Bohol, Filipina. Katanya beliau teruja untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu. Gemma, yang sering menggunakan LCCT untuk balik ke kampungnya, berkata klia2 lebih selesa dan mudah untuk sampai dengan menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL) terus ke terminal. Seorang lagi penumpang, Ace Perez, 30 berkata klia2 adalah jauh lebih baik dari segi ruang, keselesaan dan bersih berbanding terminal LCCT. "Saya suka laluan ke klia2 kerana lebih senang sampai daripada lebuh raya. Saya gembira dengan bangunan baharu ini kerana di LCCT, saya terpaksa berjalan jauh untuk menaiki pesawat," katanya. Sementara itu, dalam sidang media selepas ketibaan pesawat pertama itu, Abdul Aziz berkata pembukaan terminal itu berjalan lancar seperti dirancang. "Kami telah membuktikan semua berjalan mengikut jadual seperti diumumkan sebelum ini. Kami bangga terminal ini menjadi ikon terbaru negara," katanya. Beliau berkata kos pembinaan klia2 dalam lingkungan RM4 bilion seperti diperuntukkan sebelum ini dan sejumlah 22 juta penumpang dijangka menggunakan terminal ini pada tahun ini. Abdul Aziz berkata kerajaan optimis lebih banyak syarikat penerbangan akan menubuhkan operasi masing-masing di sini pada masa depan. Sementara itu, MAHB dalam kenyataan berkata syarikat penerbangan yang memulakan operasi dari klia2 hari ini ialah Malindo Air, Cebu Pacific Airways, Lion Air dan TigerAir manakala AirAsia akan berpindah ke sini sebelum 9 Mei ini. Menurutnya, pada peringkat permulaan operasi, sejumlah 7,000 penumpang akan menggunakan klia2 setiap hari dan akan mencecah 50,000 penumpang selepas 9 Mei ini. MAHB berkata LCCT akan menghentikan operasi selepas 9 Mei dan bagi keselesaan penumpang, perkhidmatan bas ulang-alik antara klia2 dan LCCT akan disediakan secara percuma mulai 1 hingga 15 Mei ini dengan kekerapan perjalanan setiap 15 hingga 20 minit. Kaunter imigresen, keselamatan dan kastam di LCCT akan meneruskan perkhidmatan masing-masing sehingga 9 Mei ini dan penumpang dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mengesahkan butiran penerbangan bagi mengelak sebarang kesulitan.

Kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan mengenai kehilangan MH370

Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di sini hari ini. 1. Pengeluaran maklumat berkaitan MH370 "Minggu lepas, Perdana Menteri telah melantik satu pasukan dalaman terdiri daripada pakar untuk meneliti semua maklumat yang diperolehi Kerajaan Malaysia berkaitan MH370, bertujuan untuk mengeluarkan sebanyak maklumat yang mungkin kepada orang awam. Perdana Menteri telah menetapkan, sebagai prinsip garis panduan, peraturannya bahawa selagi pengeluaran sebarang maklumat tertentu tidak menjejaskan penyiasatan atau operasi pencarian, demi kepentingan keterbukaan dan ketelusan, maklumat patut diumumkan. Pasukan dalaman telah merumuskan penelitiannya. Hasilnya, berikut dikeluarkan maklumat berkaitan MH370: a. Rakaman audio perbualan antara kokpit MH370 dengan kawalan trafik udara Kuala Lumpur b. Laporan awal berkaitan MH370, bertarikh 9 April. c. Dokumen tambahan, yang memberikan maklumat lanjut berhubung tindakan-tindakan yang telah diambil antara jam 01:38 dan 06:14 pada Sabtu 8 Mac. d. Peta menunjukkan laluan penerbangan MH370. e. Senarai kargo MH370. f. Pelan tempat duduk MH370. 2. Pengesanan pihak tentera berkaitan MH370 Seperti dinyatakan sebelum ini, radar tentera Malaysia ada mengesan sebuah pesawat yang berpatah balik, dari arah barat, merentasi Semenanjung Malaysia pada pagi 8 Mac. Pesawat itu dikategorikan sebagai tidak membahayakan oleh operator radar dan dengan itu tiada tindakan diambil pada ketika itu. Rakaman data radar itu disemak semula pada kira-kira jam 08:30 8 Mac. Maklumat itu telah dihantar ke bilik operasi Tentera Udara pada kira-kira jam 09:00. Susulan perbincangan lanjut setelah dirujuk kepada pegawai tertinggi, pihak tentera memaklumkannya kepada Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada kira-kira jam 10:30 tentang kemungkinan pesawat itu berpatah balik. Menteri kemudian memaklumkannya kepada Perdana Menteri, yang segera mengarahkan supaya operasi mencari dan menyelamat dijalankan di Selat Melaka, berserta operasi di Laut China Selatan yang bermula lebih awal pada hari sama. Pada masa sama, KD Mahameru, kapal pemusnah periuk api dan KD Laksamana Muhamad Amin, Kapal Corvette Tentera Laut Diraja Malaysia sudahpun berada di Selat Melaka bagi menjalankan tugas rondaan. Kedua-dua kapal segera ditugaskan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Sebuah pesawat tentera kemudian dihantar untuk menyertai kedua-dua kapal di Selat Melaka pada jam 10:54 untuk mencari MH370.BERNAMA

Kuala Lumpur anjur dialog pakar berkaitan penerbangan

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) akan menganjurkan dialog pakar berkaitan pemantauan masa nyata data penerbangan dari 26 hingga 27 Mei di sini. ITU dalam siaran akhbar yang disiarkan menerusi laman sesawangnya, www.itu.int berkata dialog itu diadakan berikutan gesaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semasa Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia di Dubai bulan lepas. Pada persidangan itu, Ahmad Shabery menggesa ITU membangunkan sistem tercanggih untuk mempermudahkan penghantaran data penerbangan dalam masa nyata terutama dalam kes seperti insiden kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines (MAS). Menurut siaran akhbar itu, faktor yang mendorong acara itu dianjurkan adalah penyiasatan yang rumit terhadap kehilangan Penerbangan MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8 Mac. "Kesukaran yang dihadapi dalam operasi mencari MH370 telah menunjukkan tentang perlunya untuk menambah baik kaedah identifikasi dan pengesanan pesawat komersial semasa dalam penerbangan," menurut siaran akhbar itu. Siaran akhbar itu juga memetik Ahmad Shabery sebagai berkata Malaysia ingin memberi sumbangan kepada usaha antarabangsa untuk mencari jalan bagi mengesan pesawat komersial dalam masa nyata. "Kami yakin bahawa ia akhirnya akan menghasilkan keputusan positif. Kami masih meneruskan usaha menjejaki MH370 lebih tujuh minggu selepas kehilangan pesawat. "Ini mungkin tidak membantu kami untuk mencari pesawat atau kotak hitam. Tetapi kami berharap dengan langkah ini, tiada lagi negara, rakyat atau keluarga akan melalui apa yang kami tanggung," kata Ahmad Shabery. Setiausaha Agung ITU, Hamadoun I Toure berkata ketika operasi pelbagai negara untuk mencari pesawat diteruskan, langkah segera perlu diambil di peringkat antarabangsa untuk meningkatkan keberkesanan pemantauan pesawat. "Ingatan dan doa kami sentiasa bersama anggota keluarga penumpang yang bersedih ekoran kehilangan penerbangan MH370. Acara ini (dialog) akan berfungsi bagi mempercepatkan usaha sekarang untuk mencapai kesepakatan berhubung pelaksanaan sistem pemantauan masa nyata bagi industri penerbangan," kata Toure. Penerbangan MH370 membawa 239 orang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Operasi mencari yang disertai pelbagai negara dikerah untuk menjejaki pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi, apabila disahkan MH370 telah melencong daripada laluan asal penerbangan. Siaran akhbar itu menyebut ICT memainkan peranan penting untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan operasi berpuluh-puluh ribu penerbangan setiap hari. "Sistem teknologi moden boleh membantu dalam pemantauan lokasi pesawat dan dengan itu menambah baik keberkesanan operasi penyelamat yang dilancarkan oleh pihak berkuasa dalam situasi kecemasan," jelas siaran akhbar itu. Mesyuarat pertama pakar dijangka merangka jadual yang akan menggariskan hala tuju dalam konteks penyelarasan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mencari jalan keluar dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi pemantauan masa nyata data penerbangan. Siaran akhbar itu menyebut perbincangan yang sedang dijalankan di pelbagai peringkat dan platform, sedang mengkaji kemungkinan menyeragamkan data penerbangan dari pesawat ke daratan dalam masa nyata. Perkara yang disentuh semasa perbincangan termasuk liputan geografi sistem pemantauan yang dicadangkan, jenis data yang hendak dihantar ke stesen bumi dan kadar transmisi yang perlu, keselamatan data, pemilikan data penerbangan, dan kos dan perubahan pada model yang diperlukan bagi melaksanakan sistem seperti itu secara global. Mesyuarat itu bersifat undangan dan pihak yang diundang termasuk wakil dari syarikat penerbangan, pertubuhan antarabangsa, syarikat satelit dan avionik serta kerajaan. -- BERNAMA