Jumaat, 2 Mei 2014

Pencarian MH370- Kerajaan bincang dengan pihak swasta

Kerajaan sedang mengadakan perbincangan terperinci dengan empat syarikat Malaysia berhubung penggunaan aset khusus dalam pencarian pesawat MH370. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perbincangan diadakan dengan SapuraKencana Petroleum, Petronas, Boustead Holding Berhad dan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DefTech) bagi penggunaan aset mereka. Aset itu termasuk kendearaan tanpa kendalian autonomi (AUV), sonar saringan bertunda air dalam, kenderaan yang digerak secara kawalan (ROV) dan kenderaan sokongan, katanya pada sidang media di sini hari ini. Beliau berkata: "Adalah penting semua entiti Malaysia terlibat dalam usaha ini untuk bersama bekerja sebagai satu pasukan, mengibar bendera Malaysia untuk mencari MH370." Mengenai pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Kok Soo Chon, beliau berkata pasukan itu memulakan siasatan mereka di bawah terma rujukan yang digariskan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). "Pasukan siasatan telah melakukan lima kali siasatan setakat ini dan kemajuannya akan dilaporkan tidak lama lagi," katanya. Pasukan siasatan terdiri daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain dan Jabatan Siasatan Pesawat China. Anggota lain terdiri daripada Biro Siasatan Kemalangan Pengangkutan Darat Perancis, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, pengeluar pesawat Boeing dan syarikat komunikasi satelit British, Inmarsat. Pada 23 April, Malaysia mengumumkan pembentukan pasukan penyiasat yang tujuan utamanya ialah bagi menilai, menyiasat dan menentukan punca sebenar kehilangan pesawat bagi memastikan ia tidak berulang di masa depan. Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac hilang dari radar skrin kira-kira sejam selepas berlepas ketika berada di atas Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Usaha pencarian antarabangsa dilancarkan, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dilapor berakhir di situ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan