Khamis, 1 Mei 2014

KLIA2 cipta sejarah, selamat indah dan tercanggih sebagai terminal tambang murah...

Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), terminal tambang murah terbesar dunia, memulakan operasi secara rasmi dengan ketibaan pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu, Sabah, pada 12.05 tengah malam ini. Pesawat pertama dijadual berlepas daripada lapangan terbang tersebut adalah pesawat Cebu Pacific Airways 5J502 ke Manila, Filipina, pada kira-kira 3.15 pagi ini. Sebanyak 110 penumpang tiba dengan penerbangan Malindo Air manakala 147 penumpang akan berlepas dengan penerbangan Cebu Pacific Airways.
Terminal klia2, yang mempunyai kapasiti mengendalikan 45 juta penumpang setahun, akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT). Peristiwa yang membuka lembaran baharu dalam sejarah pengangkutan udara negara itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah. Turut hadir Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharudin Abdul Rahman. Abdul Aziz turut menyambut ketibaan dan pelepasan penumpang serta mengagihkan beg cenderahati kepada setiap penumpang. Terdahulu, pada pukul 10.20 malam, proses pendaftaran masuk penumpang bermula dengan lancar tanpa sebarang masalah. Penumpang pertama yang mendaftar masuk pada hari pertama operasi klia2 ialah seorang pembantu rumah warga Filipina, Gemma Camarinta, 39, yang mahu pulang ke kampungnya di Bohol, Filipina. Katanya beliau teruja untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu. Gemma, yang sering menggunakan LCCT untuk balik ke kampungnya, berkata klia2 lebih selesa dan mudah untuk sampai dengan menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL) terus ke terminal. Seorang lagi penumpang, Ace Perez, 30 berkata klia2 adalah jauh lebih baik dari segi ruang, keselesaan dan bersih berbanding terminal LCCT. "Saya suka laluan ke klia2 kerana lebih senang sampai daripada lebuh raya. Saya gembira dengan bangunan baharu ini kerana di LCCT, saya terpaksa berjalan jauh untuk menaiki pesawat," katanya. Sementara itu, dalam sidang media selepas ketibaan pesawat pertama itu, Abdul Aziz berkata pembukaan terminal itu berjalan lancar seperti dirancang. "Kami telah membuktikan semua berjalan mengikut jadual seperti diumumkan sebelum ini. Kami bangga terminal ini menjadi ikon terbaru negara," katanya. Beliau berkata kos pembinaan klia2 dalam lingkungan RM4 bilion seperti diperuntukkan sebelum ini dan sejumlah 22 juta penumpang dijangka menggunakan terminal ini pada tahun ini. Abdul Aziz berkata kerajaan optimis lebih banyak syarikat penerbangan akan menubuhkan operasi masing-masing di sini pada masa depan. Sementara itu, MAHB dalam kenyataan berkata syarikat penerbangan yang memulakan operasi dari klia2 hari ini ialah Malindo Air, Cebu Pacific Airways, Lion Air dan TigerAir manakala AirAsia akan berpindah ke sini sebelum 9 Mei ini. Menurutnya, pada peringkat permulaan operasi, sejumlah 7,000 penumpang akan menggunakan klia2 setiap hari dan akan mencecah 50,000 penumpang selepas 9 Mei ini. MAHB berkata LCCT akan menghentikan operasi selepas 9 Mei dan bagi keselesaan penumpang, perkhidmatan bas ulang-alik antara klia2 dan LCCT akan disediakan secara percuma mulai 1 hingga 15 Mei ini dengan kekerapan perjalanan setiap 15 hingga 20 minit. Kaunter imigresen, keselamatan dan kastam di LCCT akan meneruskan perkhidmatan masing-masing sehingga 9 Mei ini dan penumpang dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mengesahkan butiran penerbangan bagi mengelak sebarang kesulitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan