Rabu, 12 Februari 2014
Adenan Satem ganti Taib Mahmud
Tan Sri Adenan Satem yang dicadangkan sebagai Ketua Menteri Sarawak baharu menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud disifatkan sebagai keputusan yang baik dengan pengalamannya yang luas dalam bidang pentadbiran, baik di peringkat negeri mahupun pusat.
Pemimpin-pemimpin parti Barisan Nasional (BN) turut menyifatkan Adenan mampu merapatkan lagi hubungan antara Sarawak dengan kerajaan pusat.
Bagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau yakin Adenan dapat menggunakan segala pengalamannya berkhidmat dengan kerajaan negeri dan persekutuan bagi tugas baharu itu nanti.
Adenan, Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak dan baru menyambut hari lahirnya yang ke-70 pada 27 Jan lepas, merupakan seorang pemimpin dengan latar belakang yang berwarna-warni.
Beliau yang pernah bertugas sebagai seorang wartawan, guru dan juga penasihat perundangan, pernah dilantik sebagai menteri kabinet Persekutuan pada 2004 iaitu sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Dr Mahathir turut menasihati calon-calon yang tidak terpilih mengisi jawatan itu supaya terus setia kepada Ketua Menteri yang baharu.
"Jangan sesama mereka berkelahi dan berpecah. Nanti akan jadi lemah. Yang menang lemah, yang kalah pun lemah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Forum Buku Perdana di sini, Rabu.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas pengumuman Abdul Taib yang akan berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb ini, dan menamakan Adenan sebagai pengganti.
Ditanya desas-desus pengunduran Taib adalah untuk mengambil alih jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Mahathir berkata: "Tiada yang lebih layak daripada Taib."
Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengucapkan tahniah kepada Adenan dan melahirkan keyakinannya bahawa dengan pengalaman luas Adenan, Sarawak akan terus maju dan makmur dan membawa pembangunan berterusan kepada negeri itu.
Dalam kenyataannya, Musa berkata di bawah Adenan, kepimpinan Barisan Nasional negeri akan terus kukuh dan mengekalkan kestabnilan politik dan ekonomi di Sarawak.
Beliau juga memuji Taib kerana menjadi pemimpin berwawasan dan membawa pembangunan di Sarawak sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai ketua menteri.
Taib benar-benar seorang negarawan, yang mendedikasikan hampir keseluruhan hidupnya berkhidmat kepada rakyat dan membawa pembangunan sosio ekonomi kepada negeri. Saya berdoa moga beliau sentiasa sihat dan semua yang terbaik dalam kehidupan beliau seterusnya, kata Musa.
Di JOHOR BAHARU, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Adenan adalah orang yang tepat sebagai ketua menteri Sarawak yang baharu, untuk terus mengukuhkan hubungan di antara Sarawak dan kerajaan persekutuan dengan pengalamannya yang luas di peringkat negeri dan persekutuan.
Setiausaha Agung MIC A.Prakash Rao pula berkata peralihan kepimpinan itu diharap akan membuka lembaran baharu kepada rakyat Sarawak khususnya dari aspek pembangunan infrastrukur dan kemajuan ekonomi.
"Kebiasaannya apabila seseorang pemimpin baharu mengambil alih, dia selalunya akan mempunyai idea dan perancangan baharu untuk dilaksanakan. Begitu juga dengan Adenan yang pastinya mempunyai idea baharu untuk mentadbir urus Sarawak.
"Kalau ada kelemahan atau kekurangan sebelum ini dalam pentadbiran, sekarang ini masalah itu akan menjadi tanggungjawab Adenan dan saya percaya dengan pengalamannya dia akan dapat menjadikan Sarawak lebih maju," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sambil mengucapkan tahniah dan syabas kepada Adenan di atas pemilihan itu, Prakash Rao berkata pemimpin berpengalaman seperti Adenan pastinya akan mempunyai formula untuk mengukuhkan lagi kedudukan Barisan Nasional di Sarawak.
--BERNAMA
Bila Yusuf Qaradawi puji PM Najib..
Ilmuan Islam terkemuka Prof Dr Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi mengutuskan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pelbagai sumbangan dan tindakan penting beliau untuk masyarakat Islam di seluruh dunia.
Ini termasuk lawatan Najib ke Gaza, pertemuannya dengan penduduk Palestin, pendirian beliau dalam isu Syria dan Mesir serta usaha perdana menteri untuk membantu umat Islam di Filipina dan Thailand.
Penghargaan presiden Kesatuan Ilmuan Islam Antarabangsa (IUMS) itu disampaikan kepada Najib oleh wakil khasnya Dr Ahmad Amer Ali, yang juga anggota jawatankuasa IUMS, pada pertemuan mereka di pejabat perdana menteri di sini Rabu.
Dr Ahmad tiba di bangunan Perdana Putra pada pukul 2.45 petang dengan diiringi bekas Timbalan Presiden PAS Dr Nasharuddin Mat Isa bagi menyerahkan surat al-Qaradawi kepada Najib.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Dr Ahmad berkata al-Qaradawi memuji kunjungan Najib ke Gaza untuk menunjukkan sokongan beliau kepada rakyat Palestin dan menyuarakan keyakinannya bahawa perdana menteri mampu memainkan peranan penting dalam menyatupadukan umat Islam di Asia Tenggara.
Dr Ahmad berkata al-Qaradawi juga memuji pendekatan Wasatiyah yang menjadi amalan Malaysia dan penubuhan Institut Wasatiyah Malaysia.
Katanya ulama Mesir itu masih ingat layanan baik yang beliau terima ketika berkunjung ke Malaysia untuk menerima anugerah “Tokoh Maal Hijrah 2009″.
Dr Ahmad berkata al-Qaradawi berharap dapat berkunjung ke negara ini sekali lagi dalam tempoh terdekat, mungkin bulan depan.
Sementara itu, Nasharuddin berkata beliau difahamkan Dr Ahmad, yang merupakan sahabatnya, menyampaikan sendiri surat yang diutus al-Qaradawi kepada perdana menteri dalam pertemuan itu.
Kata Nasharuddin beliau difahamkan antara kandungan surat yang dibawa Dr Ahmad itu ialah keyakinan al-Qaradawi terhadap kemampuan perdana menteri dan parti pemerintah dalam mewujudkan penyatuan dan perpaduan ummah di Malaysia serta di seluruh dunia Islam.
“Saya difahamkan, secara spesifik, al-Qaradawi juga memuji lawatan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia baru-baru ini yang menyaksikan banyak kerjasama dan persefahaman dalam pelbagai isu dicapai.
“Al-Qaradawi ada menyebut bahawa Malaysia dan Turki sebenarnya adalah model negara Islam yang sederhana, yang sepatutnya menjadi contoh kepada dunia Islam keseluruhannya,” kata beliau.
Nasharuddin berkata beliau berpendapat kenyataan al-Qaradawi berhubung penyatuan dan perpaduan ummah di negara ini serta di peringkat antarabangsa, adalah saranan yang bernas dan perlu mendapat respons semua pihak
Ahad, 9 Februari 2014
Abang Johari pilihan rakyat Serawak...
Keputusan kaukus Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) memberi kuasa penuh kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menamakan penggantinya adalah tidak relevan, kata seorang pemerhati politik.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir berkata ini kerana Taib yang juga Presiden PBB sewajarnya memilih pemimpin paling kanan dalam parti sebagai pengganti.
"Berdasarkan kekananan dalam parti, Timbalan Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (gambar) paling layak untuk memimpin negeri," kata Jeniri dalam temu bual dengan Bernama, di Kuching hari ini.
Jeniri berkata jika Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan atau bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Effendi Norwawi dipilih, keputusan itu akan melukakan hati pemimpin kanan parti dan boleh mencetuskan rasa tidak puas hati serta mungkin perpecahan dalam PBB.
Berdasarkan keadaan itu juga adalah bijak bagi Taib menamakan Abang Johari sebagai penggantinya bagi mengelakkan perpecahan dalam parti dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri, katanya.
Jeniri berkata selain mempunyai rekod cemerlang sebagai menteri di Sarawak dan timbalan presiden PBB, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Perumahan negeri, merupakan pilihan rakyat kerana beliau dianggap kawan semua kaum.
Beliau juga membuktikan popularitinya apabila menewaskan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak dan Ketua Penerangan PBB Datuk Seri Adenan Satem bagi jawatan timbalan presiden dalam satu pemilihan parti.
Mengenai Adenan sebagai ketua menteri yang baharu, Jeniri berkata pemimpin itu merupakan sekutu yang dipercayai oleh Abdul Taib.
"Adenan pemimpin yang bijak tetapi negeri dan parti memerlukan pemimpin yang sihat. Saya bukan menentang Adenan sebagai ketua menteri, tetapi kesihatannya tidak mengizinkan beliau memegang jawatan itu," katanya.
Jeniri juga percaya Taib akan bersara pada hujung bulan ini memandangkan ramai berpandangan beliau sudah terlalu lama memegang jawatan itu.
Jeniri juga tidak menyokong idea Taib melantik sama ada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu atau Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sebagai pemangku ketua menteri.
"Langkah itu agak janggal. Beliau sepatutnya memberi ruang secukupnya kepada ketua menteri yang baharu bersedia menghadapi pilihan raya negeri pada 2016," katanya.
Taib, 78, mengumumkan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak semalam ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBB namun semasa mesyuarat parti komponen BN negeri hari ini beliau tidak menyatakan tarikh untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Awang Tengah, seorang daripada tiga nama yang disebut oleh Taib, masih dianggap oleh rakyat sebagai "junior" untuk memegang jawatan tersebut manakala Jabu pula dikatakan sudah terkeluar daripada senarai.
Seorang bekas anggota MT PBB berkata perkara itu mungkin disebabkan Jabu daripada sayap Pesaka, namun ada kemungkinan Taib menamakan beliau selaku "individu berkecuali" untuk memangku jawatan ketua menteri ketika Taib bercuti selama tiga bulan.
Sebagai pemangku ketua menteri, Jabu akan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong agar Taib dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri yang baharu apabila penggal perkhidmatan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng tamat pada 28 Februari ini, katanya.
"Susulan itu pilihan raya kecil untuk kerusi Balingian perlu diadakan kerana Taib mesti melepaskan kerusi dewan undangan negeri tersebut jika mahu dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu.
"Effendi pula perlu bertanding di kerusi itu kerana ketika ini beliau bukan anggota dewan undangan negeri (Adun) jika Taib mahu beliau jadi ketua menteri yang baharu," kata bekas anggota MT PBB itu lagi.
Effendi yang bersara daripada politik pada 2008 merupakan Adun di Sarawak dari 1991 hingga 1999, anggota parlimen Rejang (1999-2006) dan senator (2006-2012). - Bernama,
Nasib Anwar sebagai MB Selangor masih kabur...
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hari ini pihaknya masih dalam peringkat perbincangan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung status Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa bakal menggantikannya.
Abdul Khalid berkata perbincangan lanjut juga akan diteruskan bersama pucuk pimpinan Pakatan Rakyat bagi mencapai kesepakatan sebelum perkara tersebut diputuskan.
“(Perkara) itu tidak mengapa…kami masih membincangkan isu ini dan perkara ini juga memerlukan perbincangan (kepimpinan) Pakatan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina di Pasaraya Giant, Bukit Tinggi di sini.
Abdul Khalid diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar dalam satu temu bual bersama ‘Australia’s Newsline’ baru-baru ini bahawa beliau sedang berunding untuk mengambil alih tugas Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
Anwar juga dilaporkan berkata beliau akan menggunakan Selangor sebagai model bagi membuktikan kepimpinannya.
Sementara itu, mengulas mengenai gesaan Anwar yang mahu beliau menghentikan perbalahan dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berhubung isu penamatan kontrak kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB), Abdul Khalid berkata perbalahan mengenai itu tidak berlaku.
“We are not (Kami tidak (berbalah). You must understand the enacment (Anda perlu faham enakmen)…Apa-apa pun orang lain nak campur, hal itu mesti melalui exco (kerajaan) negeri,” tambahnya.
Selasa lepas, PHSB yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilapor menamatkan perkhidmatan 22 kakitangannya dengan notis 24 jam berkuat kuasa sehari sebelum itu.
Berikutan itu, Azmin secara terbuka mengecam tindakan tersebut dan mendakwa Abdul Khalid menggunakan PKNS sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh politiknya.
Jumaat, 7 Februari 2014
Perang Azmin Khalid semakin hebat...
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini mengecam tindakan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) yang disifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab berhubung pemecatan 23 kakitangannya.
Sambil mendesak PHSB membatalkan surat pemecatan itu, Azmin mendakwa tindakan yang diarahkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang pekerjaan tetapi tidak berperikemanusiaan.
"Ia benar-benar bercanggah dengan prinsip yang didukung kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat bahawa semua pekerja perlu dilayan dengan penuh maruah dan belas kasihan.
Walaupun pemecatan secara tiba-tiba itu keras dan akan menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada pekerja, gaji pemberhentian dua bulan hanya menambah penghinaan kepada apa yang terjadi," katanya dalam satu kenyataan.
Azmin juga menuntut Abdul Khalid supaya berhenti daripada menggunakan PKNS sebagai senjata peribadi terhadap saingan politiknya.
Sebelum itu, pada 5 Feb, 23 kakitangan PHSB diberhentikan tanpa amaran berkuat kuasa serta merta dan diberikan pampasan dua bulan gaji.
Berikutan itu, pengurus besar PHSB Noor Hisham Mohd Ghouth dilaporkan meletak jawatan sebagai tanda bantahan.
Walaupun, pada mulanya Abdul Khalid mendakwa beliau tidak bertanggungjawab atas keputusan itu, beliau kemudiannya mengesahkan pemberhentian itu merupakan langkah korporat bagi menstrukur semula pengurusan PKNS dan mengurangkan kos operasi yang didakwanya boleh dijimatkan sehingga RM7 juta setahun.
Sebelum ini, PKNS menjadi perhatian ketika pentadbiran memutuskan tidak meneruskan perkhidmatan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah.
Ini mencetuskan lagi khabar angin bahawa persaingan yang berterusan antara Azmin dan Abdul Khalid tidak akan tamat dalam masa terdekat.
Ia juga menyatakan bahawa disebabkan isu ini, bekas pengurus besar PKNS Datuk Othman Omar dan setiausaha eksekutif Norita Abdul Sidek dipindahkan ke jabatan lain dengan serta merta sebagai satu bentuk tindakan disiplin.
Selasa, 4 Februari 2014
Pecat lagi di Selangor...
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB), Selasa memecat 30 kakitangannya, tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa Isnin (semalam).
Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan pagi Selasa selepas hadir bekerja seperti biasa. Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.
Wakil pekerja terbabit, Dr Alif Aiman berkata mereka berasa amat terkejut dengan pemecatan itu berikutan tiada sebarang perbincangan diadakan sebelum ini dan menganggap pemberhentian serta-merta itu menganiaya mereka.
"Kejutan yang kami terima semasa hadir bekerja hari ini ibarat penganiayaan malah tiada alasan kukuh. Pemberhentian ini betul-betul menyusahkan kami yang rata-rata pencari nafkah utama keluarga.
"Apa yang kami amat kesalkan adalah sehingga saat ini, kami semua masih tidak tahu mengapa kami diberhentikan sedangkan kami tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap syarikat malah kami sanggup berkorban masa dan tenaga demi membangunkan PHSB," katanya kepada pemberita di Shah Alam.
Alif, yang juga Pengurus Kanan Pemasaran PKNS, berkata menerusi surat berkenaan mereka hanya dimaklumkan mengenai pemberhentian dibuat selaras dengan perubahan dan hala tuju PKNS dalam menyusun semula organisasi dan sumber manusia termasuk PHSB.
Katanya, alasan pihak pengurusan syarikat itu dilihat tidak dinyatakan secara terperinci terutama proses penyusunan semula itu sedangkan prestasi PKNS berada dalam kedudukan yang baik malah mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit.
"Apa salah kami sehingga diberhentikan serta-merta dan jika ada salah, mengapa tidak diberikan surat tunjuk sebab ataupun adakan siasatan dalaman. Jika kami hilang punca pendapatan begini, bagaimana pula nasib keluarga yang kami tanggung.
"Antara objektif kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat dan kami bekerja keras membantu PKNS menjana pendapatan demi bantu rakyat lain, tapi ini balasan yang PKNS bagi pada kami dan adakah ini negeri berkebajikan yang dicanang kerajaan Selangor," katanya.
Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan pemecatan itu dan berharap pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dapat menyatakan sebab pemecatan dan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.
Isnin, 3 Februari 2014
Apa sudah jadi Jabatan Peguam Negara?...
Panel Penasihat Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bimbang mengenai spekulasi dalam media berhubung dua bekas pegawai seorang menteri Kabinet yang belum didakwa di mahkamah seperti diumumkan minggu lepas.
"Sebagai sebuah panel bebas, kami berasa bimbang tentang perkembangan ini kerana ia boleh menimbulkan spekulasi atau tanggapan mengenai campur tangan luar," kata pengerusinya Datuk Johan Jaaffar.
Dalam kenyataan kepada Bernama Isnin, panel itu menarik perhatian bahawa ia dengan tegas berpendapat bahawa untuk menampakkan ketelusan, Jabatan Peguam Negara perlu memberi penjelasan.
Menurut panel itu, ia kesal terhadap spekulasi bertiup kencang mengenai campur tangan politik atau pendakwaan terpilih berhubung dengan perkara itu tetapi menambah ia percaya perkara seumpama itu tidak benar sama sekali.
Panel 11 anggota itu seterusnya berkata ia membantah keras sebarang campur tangan politik atau sebaliknya terhadap usaha SPRM untuk memerangi rasuah kerana ini boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap SPRM, Jabatan Peguam Negara dan kerajaan sendiri.
SPRM, dalam kenyataan sebelum ini berkata seorang bekas setiausaha politik bergelar Datuk, dan pengarah sebuah daripada yayasan yang diketuai oleh Datuk berkenaan, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Kanun Keseksaan atas tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1.1 juta dan satu lagi tuduhan menipu membabitkan RM1 juta.
Panel itu berkata ia akan meminta penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara tentang mengapa kedua-dua mereka, seorang daripadanya ialah bekas setiausaha politik, belum didakwa di mahkamah seperti diumumkan oleh SPRM, Isnin lepas.
Menurut Johan, apabila anggota-anggota panel menerima surat pelantikan semula untuk satu lagi penggal daripada Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, perdana menteri mengulangi komitmennya bahawa walaupun SPRM menunjukkan penambahbaikan dalam usaha memerangi rasuah, ia seharusnya meningkatkan lagi usaha ke arah itu selaras dengan aspirasi rakyat bagi menghapuskan rasuah.
Kedua-dua mereka ditangkap oleh SPRM dan dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 seorang. Ia berkata ketiga-tiga yayasan itu ditubuhkan antara 1980-an dan 2011 tetapi tidak didaftarkan sebagai pertubuhan kebajikan atau persatuan. Sebaliknya ia beroperasi sebagai syarikat.
SPRM berkata kedua-dua mereka memegang jawatan sebagai pengarah dan anggota Lembaga Pemegang Amanah ketiga-tiga yayasan berkenaan, dan dana yayasan itu juga dikeluarkan dan ini bertentangan dengan objektif penubuhan ketiga-tiga badan itu.
Langgan:
Ulasan (Atom)






