Jumaat, 7 Februari 2014

Perang Azmin Khalid semakin hebat...

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini mengecam tindakan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) yang disifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab berhubung pemecatan 23 kakitangannya. Sambil mendesak PHSB membatalkan surat pemecatan itu, Azmin mendakwa tindakan yang diarahkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang pekerjaan tetapi tidak berperikemanusiaan. "Ia benar-benar bercanggah dengan prinsip yang didukung kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat bahawa semua pekerja perlu dilayan dengan penuh maruah dan belas kasihan. Walaupun pemecatan secara tiba-tiba itu keras dan akan menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada pekerja, gaji pemberhentian dua bulan hanya menambah penghinaan kepada apa yang terjadi," katanya dalam satu kenyataan. Azmin juga menuntut Abdul Khalid supaya berhenti daripada menggunakan PKNS sebagai senjata peribadi terhadap saingan politiknya. Sebelum itu, pada 5 Feb, 23 kakitangan PHSB diberhentikan tanpa amaran berkuat kuasa serta merta dan diberikan pampasan dua bulan gaji. Berikutan itu, pengurus besar PHSB Noor Hisham Mohd Ghouth dilaporkan meletak jawatan sebagai tanda bantahan. Walaupun, pada mulanya Abdul Khalid mendakwa beliau tidak bertanggungjawab atas keputusan itu, beliau kemudiannya mengesahkan pemberhentian itu merupakan langkah korporat bagi menstrukur semula pengurusan PKNS dan mengurangkan kos operasi yang didakwanya boleh dijimatkan sehingga RM7 juta setahun. Sebelum ini, PKNS menjadi perhatian ketika pentadbiran memutuskan tidak meneruskan perkhidmatan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah. Ini mencetuskan lagi khabar angin bahawa persaingan yang berterusan antara Azmin dan Abdul Khalid tidak akan tamat dalam masa terdekat. Ia juga menyatakan bahawa disebabkan isu ini, bekas pengurus besar PKNS Datuk Othman Omar dan setiausaha eksekutif Norita Abdul Sidek dipindahkan ke jabatan lain dengan serta merta sebagai satu bentuk tindakan disiplin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan