Rabu, 12 Februari 2014

Adenan Satem ganti Taib Mahmud

Tan Sri Adenan Satem yang dicadangkan sebagai Ketua Menteri Sarawak baharu menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud disifatkan sebagai keputusan yang baik dengan pengalamannya yang luas dalam bidang pentadbiran, baik di peringkat negeri mahupun pusat. Pemimpin-pemimpin parti Barisan Nasional (BN) turut menyifatkan Adenan mampu merapatkan lagi hubungan antara Sarawak dengan kerajaan pusat. Bagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau yakin Adenan dapat menggunakan segala pengalamannya berkhidmat dengan kerajaan negeri dan persekutuan bagi tugas baharu itu nanti. Adenan, Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak dan baru menyambut hari lahirnya yang ke-70 pada 27 Jan lepas, merupakan seorang pemimpin dengan latar belakang yang berwarna-warni. Beliau yang pernah bertugas sebagai seorang wartawan, guru dan juga penasihat perundangan, pernah dilantik sebagai menteri kabinet Persekutuan pada 2004 iaitu sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Dr Mahathir turut menasihati calon-calon yang tidak terpilih mengisi jawatan itu supaya terus setia kepada Ketua Menteri yang baharu. "Jangan sesama mereka berkelahi dan berpecah. Nanti akan jadi lemah. Yang menang lemah, yang kalah pun lemah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Forum Buku Perdana di sini, Rabu. Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas pengumuman Abdul Taib yang akan berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb ini, dan menamakan Adenan sebagai pengganti. Ditanya desas-desus pengunduran Taib adalah untuk mengambil alih jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Mahathir berkata: "Tiada yang lebih layak daripada Taib." Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengucapkan tahniah kepada Adenan dan melahirkan keyakinannya bahawa dengan pengalaman luas Adenan, Sarawak akan terus maju dan makmur dan membawa pembangunan berterusan kepada negeri itu. Dalam kenyataannya, Musa berkata di bawah Adenan, kepimpinan Barisan Nasional negeri akan terus kukuh dan mengekalkan kestabnilan politik dan ekonomi di Sarawak. Beliau juga memuji Taib kerana menjadi pemimpin berwawasan dan membawa pembangunan di Sarawak sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai ketua menteri. Taib benar-benar seorang negarawan, yang mendedikasikan hampir keseluruhan hidupnya berkhidmat kepada rakyat dan membawa pembangunan sosio ekonomi kepada negeri. Saya berdoa moga beliau sentiasa sihat dan semua yang terbaik dalam kehidupan beliau seterusnya, kata Musa. Di JOHOR BAHARU, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Adenan adalah orang yang tepat sebagai ketua menteri Sarawak yang baharu, untuk terus mengukuhkan hubungan di antara Sarawak dan kerajaan persekutuan dengan pengalamannya yang luas di peringkat negeri dan persekutuan. Setiausaha Agung MIC A.Prakash Rao pula berkata peralihan kepimpinan itu diharap akan membuka lembaran baharu kepada rakyat Sarawak khususnya dari aspek pembangunan infrastrukur dan kemajuan ekonomi. "Kebiasaannya apabila seseorang pemimpin baharu mengambil alih, dia selalunya akan mempunyai idea dan perancangan baharu untuk dilaksanakan. Begitu juga dengan Adenan yang pastinya mempunyai idea baharu untuk mentadbir urus Sarawak. "Kalau ada kelemahan atau kekurangan sebelum ini dalam pentadbiran, sekarang ini masalah itu akan menjadi tanggungjawab Adenan dan saya percaya dengan pengalamannya dia akan dapat menjadikan Sarawak lebih maju," katanya ketika dihubungi Bernama. Sambil mengucapkan tahniah dan syabas kepada Adenan di atas pemilihan itu, Prakash Rao berkata pemimpin berpengalaman seperti Adenan pastinya akan mempunyai formula untuk mengukuhkan lagi kedudukan Barisan Nasional di Sarawak. --BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan