Rabu, 19 Januari 2011

PRK Dun Tenang: halau penabur fitnah




Warga Felda disaran “menghalau” pengkhianat dan penabur fitnah yang dijangka akan bermaharajalela menabur fitnah menjelangnya pilihan raya kecil dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang nanti.

Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berkata langkah berkenaan amat penting agar keharmonian dan keamanan yang dikecapi oleh warga Felda hari ini terpelihara daripada dimusnahkan oleh anasir yang irihati dengan kejayaan yang dicapai oleh Felda hari ini.

Menurut beliau kemajuan yang dikecapi oleh Felda hari ini sepatutnya dikongsi bersama dan bukannya difitnah dengan pelbagai kenyataan yang tidak masuk akal dengan tujuan untuk memperalat peneroka.


“Kenapa mereka baru sekarang kononnya prihatin dan peka dengan warga peneroka. Kenapa daripada dulu tidak mengambil apa-apa tindakan. Dan kenapa setelah Felda meningkat maju dan peneroka menikmati hasil serta pendapatan yang begitu tinggi, terdapat anasir luar yang cuba menggagu gugat kejayaan ini.

“Golongan seperti ini perlu dihalau daripada Felda agar masyarakat Felda dapat hidup dengan aman,” katanya ketika berucap pada majlis “Kenduri Sekampung” di Felda Tenang yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut serta Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Menteri Besar Johor, Datuk Abd Ghani Othman, pengurusan Felda dan kepimpinan BN yang lain.

Isa yang baru dilantik menjadi Pengerusi Felda selepas Tan Sri Yusoff Noor seterusnya menambah, janji yang ditabur oleh pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah mainan politik semata-mata.

“Anwar boleh janji macam-macam sebab beliau sedar bahawa dirinya tidak akan menjadi Perdana Menteri. Kalau sekadar janji sesiapa pun boleh janji. Saya sendiri boleh janji macam-macam. “Dah macam-macam dia tabur kepada rakyat dan pelbagai janji yang telah kita dengar sejak daripada dulu lagi. Apa yang dia telah laksanakan.

Dengan janji 16 September yang sehingga ke hari ini tidak nampak batang hidung….Terpulanglah kepada rakyat,” katanya.

Justeru tegas beliau, terpulanglah kepada warga Felda untuk membuat penilaian sewajarnya dan percaya masyarakat Felda cukup bijak untuk membuat perbandingan yang mana baik dan yang mana buruk. - MediaUMNO

Harussani dedah siapa Anwar Ibrahim



Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata memenuhi nafsunya untuk berkuasa dan beliau sanggup melakukan apa sahaja termasuk terlibat dengan gerakan Yahudi sedunia kata Tan Sri Dr Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Perak.

“Ini semata-mata nak memenuhi nafsu dia. Nak berkuasa. jadi dia bersetujulah dengan Yahudi, nak memecahbelahkan orang, supaya orang menyokongnya. Itu sahaja. Dia bukan ada apa-apa.

“Anwar Ibrahim ini, semata-mata nak balas dendam. Itu sahaja kerja dia”, katanya.

Ketika ditanya adakah peranan Anwar sekarang ini sama seperti Abdullah bin Ubai, seorang tokoh munafik yang memecahbelahkan ummah semasa zaman Nabi Muhamad SAW di Madinah, Tan Sri Harussani merenung sejenak, dan menjawab “Saya ingat lebih daripada itu kot”, sambil disambut gelakan para hadirin yang turut serta dalam sesi interbiu eksklusif bersama Mufti Perak itu.

Kenal Anwar Sejak Zaman ABIM

Ketika ditanya kenapa beliau berpendapat demikian, Harussani menjawab;

“Saya bukan tak kenal Anwar Ibrahim. ABIM ni, mula-mula berceramah pasal ABIM (di Pulau Pinang)..yang mengumpulkan orang, saya yang pertama buat perhimpunan di Pulau Pinang. Majistret pun saya panggil, ketua polis, semua hadir, saya himpun.

“Bila diluluskan (perhimpunan itu), dalam mesyuarat yang pertama (ABIM itu), saya (pun) keluar daripada ABIM, tak jadi dah saya masuk. Tak daftar pun.

“Pasal…Anwar (ketika itu) (ber)kata (dengan penuh semangat), ‘sekarang (mari) kita (pergi berdemonstrasi) ke istana !’.

“Saya kata, Anwar…, sekarang kita (ABIM) baru jadi ‘tauge’ (kacang cambah). Tauge ni, saya kata. Pukul orang, dia patah, orang pukul (pun), dia patah. Semua patah. Lembik. Biarlah kita jadi batang kacang (dulu), orang langgar, dia bercalar, kita sebat, dia bercalar.

“Dia (Anwar) kata, Sudah..mati… pada kami, Harussani sudah mati, tidak ada lagi (semangat) jihad..so saya tak masuk (ABIM)”.

Pernikahan Anwar – Azizah

Harunssani juga mengakui beliau turut terlibat dalam penikahan Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah, ketika beliau menjadi Kadi di Pulau Pinang.

“Dia (Anwar) kahwin pun, saya yang benarkan (dia) (ber)nikah. Pasal itu (arwah Tan Sri) Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri dan Penerangan ketika itu) nak tangkap saya tu. 40 polis datang jumpa saya. Hantar polis, masuk dalam pejabat saya. ASP Benggali (yang masuk).

“Saya tanya dia (polis) pasal apa masuk (ke pejabat saya). Pasal kahwin kan. Hak dia (Anwar) nak kahwin. Pasal apa (awak) datang ?. Aku yang berkuasa dalam benda ni (perkahwinan).

“Nah ambil fail… buat… apa nak buat. Kamu nak tangkap aku, tangkap, bicara aku. Tunjuk mana undang-undang (yang) salah.

“Keluar macam tu (saja) Benggali (itu)…. (yang) datang dengan bapa Azizah (Wan Ismail) “, katanya.

Menurut Mufti Perak itu lagi ketika majlis pernikahan Anwar itu, bapa Wan Azizah iaitu Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmood tidak bersetuju dengan penikahan tersebut kerana Anwar pada masa itu dilihat radikal dan menentang kerajaan melalui demonstrasi pelajar.

Wan Ismail ketika itu berada dalam kerajaan yang bertanggungjawab dalam Majlis Keselamatan Negara (1970-1993), yang dibentuk oleh kerajaan untuk membendung kacau bilau dalam negara angkara anasir komunis.

Apabila Wan Ismail menolak lamaran Anwar Ibrahim, dengan pertolongan Ustaz Ahmad Awang, pegawai di Pusat Islam ketika itu, telah membawa Wan Azizah ke Permatang Pauh untuk menikahkan mereka menggunakan wali hakim.

Harussani yang ketika itu menjadi Kadi Pulau Pinang telah melakukan majlis akad nikah pasangan tersebut.

“Bapa Azizah tu, dia pun nak perli saya. Masa saya ambil kursus keselamatan. Dia (Wan Ismail) jadi pensyarah. Semua (yang hadir adalah) DO. Dia kata, ala seminggu (kursus ini) apa susah sangat. Tangkap mana-mana, ni tok kadi ada (di sini).. boleh nikah. Orang pun gelak.

“Sekali anak dia (Wan Azizah), saya tangkap suruh nikah sekarang macam mana”, kata Harunssani sambil disambut gelak ketawa.

Selepas itu, dalam satu majlis jamuan, Harunssani berjumpa lagi dengan Anwar. Ketika itu beliau bertanyakan sejauh manakah penerimaan bapa mertua (Wan Ismail) terhadapnya selepas perkahwinan itu.

“Lepas tu, semasa jamuan makan, saya tanya dia. Anwar, macam mana pak mertua (Wan Ismail) ?

“Dia (Anwar) kata. Menantu (jadi) menteri. Menantu sayang lah. Dia cakap”, katanya.

Agenda Pluralisme Agama Aliran John Hick

Mufti Perak juga turut ditanya berkenaan dengan agenda pluralisme agama seperti yang terkandung dalam ucapan Anwar di London School of Economics (LSE), bertajuk “‘Religion and Pluralisme in a Divided World” pada Mac tahun lalu.

“Itulah masalahnya. Anwar tidak pernah menzahirkan (sebelum ini), sekarang baru (dia) zahirkan (sebut).

“Kalau dulu dia (Anwar) kata, dulu lagi saya (dah) kata (dia) murtad. Orang yang kata semua agama sama (adalah) murtad. Pasal, Tuhan kata “Inna Din ind Allah al Islam”. Tuhan kata satu sahaja agama Allah iaitu Islam.

“Jadi kalau kita kata (semua agama) sama, maknanya kita melawan Tuhan. Murtad dibuatnya. Itu hanya pendapat John Hick untuk memecahbelahkan orang Kristian pada kurun ke 16. Itu yang berpecah Kristian tu.

“Padahal, orang Yahudi sendiri.. tak buat macam tu (pluralisme agama). Kalau dia (Yahudi) buat macam tu, dia (juga) berpecah. Tapi dia tidak buat. Dia mahu memecahbelahkan orang beragama (lain)

” Jadi sekarang dia (pluralisme agama) masuk unsur ke Malaysia. Nak memecahbelahkan orang (Islam).

“Pasal apa ada (diwujudkan) School of Oriental and African Studies (SOAS). Kenapa ada fakulti agama di Harvard University… apa semua. Tok guru semua(nya) Yahudi. (Semua ini) semata-mata untuk memecahbelahkan orang Islam. Kalau tidak apa tujuan..

“Tapi kita megah dapat doktor daripada Amerika…ini ada masalah (lah)..”, katanya lagi.Petikan AIDC.

Azhar janjikan khidmat terbaik buat pengundi Tenang




Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim meminta pengundi kawasan tersebut memberinya peluang untuk berkhidmat kepada mereka.

Beliau yang diumumkan sebagai calon BN hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada pengundi DUN Tenang tanpa mengira latar belakang kaum dan agama mereka.

“Berilah peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada penduduk. Saya akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan,” katanya pada majlis pengumuman calon BN di pejabat Umno Bahagian Labis di sini, hari ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, beliau akan berusaha untuk memenangi pilihan raya kecil itu dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum di DUN Tenang.

Azhar yang dilahirkan di Labis itu berkahwin dengan Tuty Roshizana Tumin, seorang surirumah merupakan pemegang Diploma Pentadbiran Awam, Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1993.

Beliau juga merupakan pemegang ijazah Sarjana Politik (Kepujian) daripada Porthmouth.

Mohd Azahar berkata jika dipilih sebagai wakil rakyat DUN Tenang beliau akan turun padang meninjau keperluan rakyat bagi memastikan pembangunan yang pesat bagi kawasan itu.

Pengalamannya bertugas dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Johor memberikan pengetahuan meluas di dalam selok-belok tentang soal pembangunan masyarakat di
sesuatu tempat.

Sejak 2006, beliau bertugas sebagai penolong pentadbir tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat dan sebelum itu sebagai penolong pentadbir tanah Segamat dan penolong pentadbir tanah Kluang.

Beliau telah meletakkan jawatan sebagai anggota kakitangan Perkhidmatan Awam Johor.

“Pengalaman bertugas sebagai pegawai penolong pentadbir tanah di beberapa daerah memberikan saya pengetahuan luas tentang keperluan rakyat di dalam soal pembangunan,” katanya.

Pada 2004 hingga 2008, Azahar merupakan bendahari Pemuda Umno bahagian Labis dan bagi tempoh yang sama juga menjawat jawatan ketua Umno Cawangan Kampung Paya
Merah, Labis.

Selain itu, beliau turut bergerak aktif di dalam pertubuhan kebajikan di DUN Tenang dan Rengit.

Pilihan raya kecil DUN Tenang itu akan diadakan pada 30 Jan berikutan kematian penyandang kerusinya, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Proses penamaan calon akan diadakan pada 22 Jan.

Pada pilihan raya umum 2008, Sulaiman menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan kelebihan 2,492 undi.

Tenang mempunyai 14,753 pengundi berdaftar terdiri 7,014 Melayu, 5,766 Cina, 1,780 India dan selebihnya kaum lain.

TPM mahu BN tebus kembali majoriti 5,000




Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jentera Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang menebus kembali majoriti lebih 5,000 yang pernah diperoleh BN pada pilihan raya umum 2004.

Beliau berkata pilihan raya kecil Tenang merupakan medan ujian bagi BN Johor dan hanya dengan memenangi kerusi ini melebihi 5,000, ia mampu membuktikan Johor masih merupakan kubu kuat BN.

“Pada pilihan raya umum 2004, kita menang lebih 5,000 majoriti. Pada 2008, kita menang dengan lebih 2,000 majoriti. Soalnya, pada 2011 ini, macam mana pula?

“Kalau ikut tinjauan-tinjauan yang dibuat, semua kata kita boleh menang. Tetapi apa yang kita nak adalah tebus balik majoriti 2004, iaitu lebih 5,000. Kita mahu majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sebelum menamakan calon BN pada pilihan raya kecil Tenang.

Mohd Azhar Ibrahim, 39, bekas penolong pegawai daerah kecil Rengit, Batu Pahat telah dinamakan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Tenang 30 Jan ini. Proses penamaan calon pada Sabtu ini.

Sehubungan itu Muhyiddin menasihatkan semua jentera BN berkerja keras bagi meraih setiap undi 14,753 pengundi di DUN Tenang dan tidak memandang rendah calon lawan.

Ahad lepas, PAS sebelum ini telah menamakan Ketua Muslimat Labis, Normala Sudirman, 39 sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil berkenaan.

“Jangan pandang rendah calon sama ada dia lelaki atau perempuan. Semua sama sahaja. Yang penting kita mesti bekerja kuat. Bukan menang biasa tetapi kita mahu menang luar biasa,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman calon BN, Muhyiddin berkata Mohd Azhar mendapat sokongan daripada semua pemimpin Umno Labis walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam Umno Bahagian Labis.

“Saya mohon pengundi-pengundi Tenang menerima beliau yang baru memasuki 39 tahun, banyak tenaga untuk bergerak ke semua kawasan,” katanya sambil menambah beliau mahu semua jentera BN bekerja rapat membantu beliau sebagai calon.

BN memenangi Dewan Undangan negeri (DUN) Tenang pada 2004 melalui Allahyarham Datuk Sulaiman Taha dengan mengalahkan calon PAS Mohd Saim Siram dengan majoriti 5,517 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau mengekalkan kerusi yang sama dengan mengalahkan Saim dengan 2,492 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Allahyarham Sulaiman, 59 pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

Azhar Ibrahim calon BN PRK Tenang



Penolong Pegawai Daerah Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 37, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini.

Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi.

Azhar adalah anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Ibrahim Daud.

Ahad lalu, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat Labis, Normala Sudirman, dipilih sebagai calon pakatan pembangkang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari sebagai tarikh penamaan calon.

Ahad, 16 Januari 2011

Lagi talian hayat untuk Anwar...



Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi akan disambung bermula 14 Feb hingga 25 Mac ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas berjumpa dengan peguam Anwar dan pihak pendakwa raya dalam kamar ketika kes itu tampil untuk sebutan hari ini.

Perbicaraan setakat ini menyaksikan pasukan pembelaan membuat pemeriksaan balas ke atas saksi ketiga pendakwaan, pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehingga kini empat saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan. Mereka ialah pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan tiga pakar dari HKL.

Bercakap kepada pemberita kemudian, peguam Anwar, S.N. Nair berkata pihaknya bimbang mengenai peluang kumpulan pakar perubatan mereka dari Australia untuk hadir pada perbicaraan kali ini berikutan bencana banjir di negara itu sekarang.

Beliau berkata kumpulan pakar DNA dan forensik itu tidak mempunyai masa luang sehingga 20 Feb kerana kejadian banjir tersebut, namun pihak pembelaan akan berusaha untuk membawa salah seorang daripada mereka hadir.

Perbicaraan dijadual untuk sebutan selepas mahkamah pada 6 Dis membenarkan permohonan peguam Anwar, Karpal Singh untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mohamad Zabidin untuk tidak menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Pada 14 Jan, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu dan memutuskan bahawa Anwar tidak mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi memandangkan keputusan dibuat semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Hakim Mohamad Zabidin pada 6 Dis lepas menolak permohonan kali kedua Anwar agar beliau menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Anwar, 63, membuat permohonan itu atas alasan hakim telah mengugut peguam belanya semasa prosiding lepas dan walaupun hakim telah menarik balik ugutan seperti didakwa itu, wujud bahaya akan berlaku berat sebelah sekiranya hakim terus mendengar kes itu.

Mohamad Zabidin turut menolak permohonan pertama Anwar supaya beliau menarik diri, yang difailkan atas alasan mungkin berlaku berat sebelah sekiranya Mohamad Zabidin enggan melayani permohonan peguam belanya untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Anwar memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi tetapi kemudian menariknya balik.

Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, bekas pembantunya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

BN tak kisah siapa calon pembangkang



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) tidak kisah siapa pun calon yang diletakkan oleh parti lawan untuk menentang calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari nanti.

Katanya, BN tidak mahu mencampuri urusan mana-mana parti lain yang berhajat untuk bertanding dalam PRK terbabit.

“Itu terserah kepada mereka (pembangkang) kerana kita tidak mahu mencampuri urusan mereka seperti mana kita tak mahu mereka mencampuri urusan dalam parti kita,” katanya kepada UMNO-Online.

Sebelum itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ketua Muslihat Pas Labis, Normala Sudirman dalam satu majlis ceramah Pakatan Rakyat di Labis untuk bertanding mewakili parti itu.

“Kita tidak peduli siapa pun calon yang akan diletakkan oleh pembangkang kerana kita optimis terhadap apa yang kita lakukan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan yakin bahawa BN akan dapat mempertahankan DUN Tenang berdasarkan kepada gerak kerja dan persiapan yang telah dilakukan dalam semua peringkat.

“Insya-Allah kita akan dapat mengekalkan kawasan tersebut dengan syarat jentera BN khususnya UMNO dapat memperkukuhkan barisan serta merapatkan saf kepimpinan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, jentera BN sendiri harus bergerak dengan telus dan ikhlas dalam melaksanakan amanah parti yang tentunya akan menyumbang kepada kemenangan keseluruhan dalam BN.

“Kita percaya pada calon yang akan mewakili BN dan paling penting ia tentunya dapat menunaikan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan dalam masa yang sama rakyat juga jangan meminta yang pelbagai daripada kerajaan sendiri apatah lagi yang tidak mampu ditunaikan.

“BN adalah kerajaan yang realistik dan tidak akan menjanjikan sesuatu yang tidak akan mampu untuk ditunaikan sebagaimana sering dibuat oleh parti pembangkang,” tegasnya.

Selar beliau lagi, pakatan pembangkang adalah parti yang sering bermimpi di siang hari dan pastinya akan melakukan serangan propaganda dalam DUN tenang sebagaimana sering berlaku sebelum ini.

“UMNO dan BN mampu merungkaikan mimpi-mimpi yang selalu diluahkan oleh pembangkang dengan realiti untuk kesejahteraan bersama, malah ia telah pun terbukti melalui pentadbirannya selama ini,” katanya.

Penamaan calon bagi PRK ini ditetapkan pada 22 Jan ini dan BN dijadualkan untuk mengumumkan calonnya pada Rabu ini.

PRK DUN Tenang diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis. - MediaUMNO