Ahad, 16 Januari 2011

BN tak kisah siapa calon pembangkang



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) tidak kisah siapa pun calon yang diletakkan oleh parti lawan untuk menentang calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari nanti.

Katanya, BN tidak mahu mencampuri urusan mana-mana parti lain yang berhajat untuk bertanding dalam PRK terbabit.

“Itu terserah kepada mereka (pembangkang) kerana kita tidak mahu mencampuri urusan mereka seperti mana kita tak mahu mereka mencampuri urusan dalam parti kita,” katanya kepada UMNO-Online.

Sebelum itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ketua Muslihat Pas Labis, Normala Sudirman dalam satu majlis ceramah Pakatan Rakyat di Labis untuk bertanding mewakili parti itu.

“Kita tidak peduli siapa pun calon yang akan diletakkan oleh pembangkang kerana kita optimis terhadap apa yang kita lakukan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan yakin bahawa BN akan dapat mempertahankan DUN Tenang berdasarkan kepada gerak kerja dan persiapan yang telah dilakukan dalam semua peringkat.

“Insya-Allah kita akan dapat mengekalkan kawasan tersebut dengan syarat jentera BN khususnya UMNO dapat memperkukuhkan barisan serta merapatkan saf kepimpinan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, jentera BN sendiri harus bergerak dengan telus dan ikhlas dalam melaksanakan amanah parti yang tentunya akan menyumbang kepada kemenangan keseluruhan dalam BN.

“Kita percaya pada calon yang akan mewakili BN dan paling penting ia tentunya dapat menunaikan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan dalam masa yang sama rakyat juga jangan meminta yang pelbagai daripada kerajaan sendiri apatah lagi yang tidak mampu ditunaikan.

“BN adalah kerajaan yang realistik dan tidak akan menjanjikan sesuatu yang tidak akan mampu untuk ditunaikan sebagaimana sering dibuat oleh parti pembangkang,” tegasnya.

Selar beliau lagi, pakatan pembangkang adalah parti yang sering bermimpi di siang hari dan pastinya akan melakukan serangan propaganda dalam DUN tenang sebagaimana sering berlaku sebelum ini.

“UMNO dan BN mampu merungkaikan mimpi-mimpi yang selalu diluahkan oleh pembangkang dengan realiti untuk kesejahteraan bersama, malah ia telah pun terbukti melalui pentadbirannya selama ini,” katanya.

Penamaan calon bagi PRK ini ditetapkan pada 22 Jan ini dan BN dijadualkan untuk mengumumkan calonnya pada Rabu ini.

PRK DUN Tenang diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis. - MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan