Selasa, 7 September 2010

Salam Aidilfitri buat semua...


Selamat tinggal Ramadan dan Selamat datang Shawal.


Sempena hari yang baik bulan yang mulia ini, saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal ramadan dan selamat datang shawal dan kesempatan ini dipohon maaf zahir batin sempena kedatangan Aidilfitri.

Sebagai manusia yang lemah dan serba kekurangan tentunya kita sentiasa melakukan kesalahan secara sedar dan tidak disengaja dan bagi pihak diri dan keluarga saya memohon jutaan kemaafan.

Mudah mudahan kita akan dapat berjumpa lagi selepas Ramadan ini bagi meneruskan kehidupan dan tugasan harian kita untuk agama, bangsa dan negara.

Bagi mereka yang akan meneruskan perjalanan, berhati hati di jalan raya.

Isnin, 6 September 2010

Sokongan untuk Azmin, sejarah Anwar lawan Ghafar berulang...



Ahli parlimen PKR hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Azmin Ali bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR walaupun tuan punya badan sendiri belum menawarkan diri secara terbuka.

Anggota majlis pimpinan pusat Kamarul Baharin (Teluk Kemang) berkata, ini kerana Azmin telah melalui pelbagai perit lelah bersama parti itu sejak ditubuhkan selepas gerakan reformasi lebih 10 tahun lalu.

Kamarul menambah, sebagai timbalan presiden, Azmin akan mampu berganding baik dengan presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi menguatkan parti.

Daripada 24 ahli parlimen, 18 menyatakan sokongan itu bersama dua daripada tiga senator lagi.

Antara ahli parlimen yang hadir Zuraida Kamaruddin (Ampang), Johari Abdul (Sungai Petani), S Manikavasagam (Kapar), Loh Gwo Burne (Kelana Jaya) and Amran Abdul Gani (Tanah Merah).

Manakala 12 lagi Abdullah Sani (Kuala Langat), Fuziah Salleh (Kuantan), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), Rashid Din (Merbok), Tian Chua (Batu), William Leong (Selayang), R Sivarasa (Subang) dan Ahmad Kasim (Kuala Kedah).

Manakala dua senator itu Mustafa Kamal Mohd Yusoff daripada Pulau Pinang dan Zamri Yusof daripada Kedah. Seorang lagi senator PKR Syed Husin Ali yang kini penyandang jawatan timbalan presiden.

Lima wakil rakyat yang tidak hadir Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh) dan anaknya Nurul Izzah (Lembah Pantai), Saifuddin Nasution (Machang), Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak) serta N Gobalakrishnan (Padang Serai).

NOTA KAKI: Melihat pada trend sokongan yang diperolehi oleh Azmin Ali untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, sidang akhbar khas diadakan, teringat kepada peristiwa bagaimana sewaktu Anawar Ibrahim membuat pengumuman untuk menentang Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Dalam peristiwa pada 1993,Anwar menggunakan ibu pejabat dan dan dengan membawa sebahagian besar pemimpin UMNO negeri dan pusat untuk bersama sama beliau bagi membuat pengumuman tersebut.

Walaupun majlis yang kelihatan meriah itu di adakan di ibu pejabat UMNO dan kehadiaran sebahagian besar pemimpin UMNO, ada yang tidak sedar kehadiran mereka memmang di pergunakan oleh Anwar untuk tujuan meraih sokongan.

Malahan,penulis yang turut berada di majlis berkenaan dibisik oleh beberapa UMNO tertentu yang rasa terperanjat "Mereka turun dikaitankan dengan sokongan untuk Anwar"...sedangkan mereka tidak tahu menahu mengenai program ini.

Peristiwa itu berlaku lebih 17 tahun lalu, kini berulang lagi dengan cara yang sama, Azmin melalui kumpulan yang menyokong beliau mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat parti bagi mengumumkan hasratnya itu.

Tetapi sebaik saja membuat pengumuman itu, sudah ada suara suara yang kurang berpuas hati dan mempersoalkan tindakan kumpulan pro azmin itu.

Apapun perkembangan itu tidak menghairankan kerana tentunya, kuah tidak akan tumpah kemana, ke nasi juga, macam tu la juga Anwar dengan Azmin. Selamat bertanding buah hati kesayangan Anwar..

Selasa, 31 Ogos 2010

ORANG MELAYU MULA GELISAH

Melayu mula gelisah

Apabila ada bukan Melayu melatah

Minta lupakan sejarah

Mahu Perlembagaan diubah

Hak Melayu dibuang mudah

Jalur Gemilang dipandang rendah

Perpaduan tidak diendah



Melayu akan bangkit

Apabila ada bukan Melayu mula sakit

Kontrak sosial diungkit ungkit

Mahu lebih bukan sedikit

Bukan busut tetapi bukit

Permintaan melangit



Bukan Melayu yang melatah

Baca dan fahami sejarah

Negara terbina atas penat lelah

Bapa bangsa yang megah

Terlepas daripada penjajah

Mahukan negara tersergam gagah

Anak cucu hayati faedah



Subang Jaya, 6.15 pagi 30 Ogos 2010
Petikan dari blog DUNIATIGER.

Terima kasih daun keladi...


ZOOM DI TAPAK PROGRAM AMAL BUBUR LAMBUK...






Penganjur Program Amal,Bubur Lambuk Drive Thru,Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama bagi menjayakan iktiviti tersebut sempena Ramadaan tahun ini dengan jayanya.

Program yang dimulakan pada hari pertama Ramadan sehingga 20 Ramadan itu berjaya mencapai matlamat dengan dapat menyediakan lebih 100 periuk periuk bubur.

Kejayaan ini juga adalah sebagai sebahagian daripada aktivti kebajikan yang membabitkan pengagihan percuma lebih 3000 bungkusan bubur lambuk setiap hari termasuk penagihan kepada rumah anak yatim dan anggota polis trafik Kuala Lumpur.

Aktiviti yang diadakan secara gotong royong yang membabitkan kaki tangan Masjid Wilayah Persekutuan dan pihak swasta seperti Pack One Caterer n Services, Daya Intelek Marketing tidak akan berjaya tanpa membabitkan kerjasama pihak swasta dan individu yang turut memberikan sumbangan kewangan dan tenaga.

Sokongan yang berterusan sepanjang program ini berjalan akan memberikan sokongan dan dorongan untuk diteruskan pada tahun yang akan datang.

Bagi pihak penganjur, semangat seperti ini mudah mudahan akan terus kekal bagi menjayakan lagi program seperti ini untuk tahun akan datang.

Bagi kami, TERIMA KASIH DAUN KELADI. Dan bagi yang tidak berkesempatan menikmati resepi kami, insallah tunggu tahun depan. Terima kasih, kepada Ketua Pengarah Jakim,Y.Bhg. Dato’ Hj Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz; yang turut meluangkan masa membuat pengagihan bubur kepada orang ramai.

Tidak ketinggalan, Imam Besar Masjid Wilayah, Haji Zakariah Isa, Ustazah Fathiah, Saudara Jamil Ismail dan team tukang masak beliau, Abang Yusuf, Pak Su dan CC dan semua pihak yang turut menjayakannya.

Masak Bubur dari pagi
Bila siap terus di beri
Terima kasih daud keladi
insallah tahun depan jumpa lagi.
..

Jumaat, 27 Ogos 2010

Tindakan tegas terhadap menghasut -PM



Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini memberi amaran tegas tiada pihak di negara ini yang terkecuali daripada tindakan undang-undang berhubung isu membangkitkan sensitiviti perkauman.

Perdana Menteri berkata, tindakan tegas tanpa sebarang pengecualian akan tetap diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati melafazkan ungkapan berbaur perkauman termasuk menggugat kepentingan negara dan tindakan merosakkan harta benda termasuk gereja dan surau.

“Majlis Tertinggi (MT) UMNO memandang serius penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) tertentu yang tidak tepat bertujuan membakar sentimen seolah-olah tindakan yang diambil kerajaan berdasarkan kepada pertimbangan kaum.

“Jangan sesiapa putar belit ini mengikut sudut perkauman seolah-olah kita melakukan pendakwaan terpilih dalam hal ini,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib-Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Perdana Menteri merujuk kepada isu keluarga tiga remaja Cina yang ditahan kerana menyimbah cat dan melempar botol arak di Surau Taman Pulai Impian, Sikamat, Negeri Sembilan yang tampil semalam memohon maaf kepada masyarakat Islam atas perbuatan yang dilakukan anak-anak mereka itu.

Hari ini, tiga remaja itu yang dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak Seremban mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.

Majistret M. Mageshwary membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 22 September sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan akhlak ketiga-tiga remaja itu.

Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Tawar Khidmat



Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan akan memberi sokongan dan berkhidmat kepada UMNO, termasuk memenangi pilihan raya umum selaras hasrat ahli-ahlinya membantu parti yang telah banyak berjasa dan menjadi tunjang kepada kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat memberitahu, kelab tersebut ditubuhkan dengan objektif utama ialah memastikan hubungan antara pegawai-pegawai kanan kerajaan yang telah bersara ini tidak terputus ikatannya dengan UMNO biarpun perkhidmatannya dalam kerajaan telah tamat.

“Sebelum ini, kita adalah pembuat dasar dan pelaksana paling utama termasuk memainkan peranan sebagai penasihat kepada pimpinan-pemimpin atasan jadi kita tidak mahu putus hubungan dengan kerajaan setelah bersara dan juga hubungan sesama ahli rapat dan mereka terus menyokong kerajaan,” katanya kepada UMNO-online, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi .

Selain itu, Ase berkata, antara tujuan penubuhan kelab tersebut adalah untuk memastikan sokongan sepenuhnya kakitangan perkhidmatan awam kepada kerajaan.

“Kita adalah abang-abang dan kakak-kakak mereka dalam perkhidmatan awam dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan supaya mereka patuh kepada kerajaan yang mentadbir,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebagai pesara tentunya mempunyai kualiti masa, tenaga kerja dan sumber yang boleh membantu kepada kepimpinan negara.

“Kami sedia menawarkan diri bagi membantu UMNO dan juga pemimpin-pemimpinnya bagi meringankan beban dan memudahkan urusan-urusan di Ibu Pejabat UMNO supaya menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kita betul-betul telah mendapat sokongan dan matlamat untuk menang dapat dicapai sepenuhnya.”

Kelab yang ditubuhkan sejak Februari lalu telah mempunyai keanggotaan seramai 300 orang dan dijangka akan bertambah selaras dengan konteks jalinan hubungan berpanjangan dengan beribu-ribu pesara kanan kerajaan.

“Kita amat berterima kasih kerana Perdana Menteri kerana memahami dan memberi sokongan selain turut memberikan cadangan terhadap beberapa program yang boleh kita laksanakan,” tambahnya.

Pelancaran secara rasmi kelab ini akan dibuat menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO, Oktober depan di Seri Perdana sebagai simbolik menunjukkan hubungan akrab anggota pesara pegawai kanan kerajaan dengan pentadbir negara.

“Pada Perhimpunan Agung UMNO nanti, kita juga akan turut serta dan terlibat sebagai pemerhati,” katanya.

Kelab tersebut aktif dengan pelbagai program selain telah mengadakan mesyuarat agungnya bersama exco dan mempunyai wakil di setiap negeri kecuali Sarawak. – MediaUMNO

Demonstrasi di Indonesia perbuatan upahan- Najib



Tindakan memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu merupakan perbuatan sekumpulan penunjuk perasaan upahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu tidak perlu dihairankan kerana di Indonesia terdapat kumpulan penunjuk perasaan yang diupah oleh pihak-pihak tertentu jika timbul satu-satu isu.

Beliau percaya dalang yang mengupah kumpulan penunjuk perasaan dalam demonstrasi tersebut mahu merenggangkan hubungan Malaysia dan Indonesia.

“Saya tidak hairan kerana di Indonesia ada kumpulan upahan. Kita mesti bezakan bahawa ini adalah tindakan yang diupah oleh pihak tertentu untuk merenggangkan hubungan kita dengan kerajaan Indonesia.

“Saya tidak anggap ini sebagai mencerminkan pendirian pemerintah Indonesia malah hubungan kita dengan Indonesia sangat baik dan sangat erat. Kita amat selesa dengan hubungan ini,’’ katanya.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan rakyat Indonesia memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di depan bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Ekoran kejadian tersebut, pasukan keselamatan Indonesia telah mempertingkatkan kawalan di Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Bagaimanapun ia tetap berulang semalam apabila kumpulan itu terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di kawasan kedutaan tersebut.

Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu sambil berteriak ‘Ganyang Malaysia’ bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di sempadan perairan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, 13 Ogos lepas.

Najib dalam pada itu turut mengingatkan supaya tidak ada sesiapa yang sengaja merosakkan hubungan antara kepimpinan Malaysia dan Indonesia.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai amat meresahkan rakyat Malaysia, beliau menegaskan, tujuan penunjuk perasaan adalah untuk mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negara ini.

“Itulah niat sebenar mereka. Mereka mahu kita bertindak balas, menimbulkan kemarahan supaya hubungan kita dan Indonesia menjadi renggang. Oleh itu kita jangan terperangkap dengan permainan ini.

“Di peringkat Kabinet kita telah membincangkan isu ini dan kita juga telah memanggil Duta Indonesia di Malaysia dan kita telah meminta pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah kawalan lebih ketat bagi menghindarkan perkara seperti ini berulang,’’ ujarnya.