Jumaat, 27 Ogos 2010

Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Tawar Khidmat



Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan akan memberi sokongan dan berkhidmat kepada UMNO, termasuk memenangi pilihan raya umum selaras hasrat ahli-ahlinya membantu parti yang telah banyak berjasa dan menjadi tunjang kepada kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat memberitahu, kelab tersebut ditubuhkan dengan objektif utama ialah memastikan hubungan antara pegawai-pegawai kanan kerajaan yang telah bersara ini tidak terputus ikatannya dengan UMNO biarpun perkhidmatannya dalam kerajaan telah tamat.

“Sebelum ini, kita adalah pembuat dasar dan pelaksana paling utama termasuk memainkan peranan sebagai penasihat kepada pimpinan-pemimpin atasan jadi kita tidak mahu putus hubungan dengan kerajaan setelah bersara dan juga hubungan sesama ahli rapat dan mereka terus menyokong kerajaan,” katanya kepada UMNO-online, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi .

Selain itu, Ase berkata, antara tujuan penubuhan kelab tersebut adalah untuk memastikan sokongan sepenuhnya kakitangan perkhidmatan awam kepada kerajaan.

“Kita adalah abang-abang dan kakak-kakak mereka dalam perkhidmatan awam dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan supaya mereka patuh kepada kerajaan yang mentadbir,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebagai pesara tentunya mempunyai kualiti masa, tenaga kerja dan sumber yang boleh membantu kepada kepimpinan negara.

“Kami sedia menawarkan diri bagi membantu UMNO dan juga pemimpin-pemimpinnya bagi meringankan beban dan memudahkan urusan-urusan di Ibu Pejabat UMNO supaya menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kita betul-betul telah mendapat sokongan dan matlamat untuk menang dapat dicapai sepenuhnya.”

Kelab yang ditubuhkan sejak Februari lalu telah mempunyai keanggotaan seramai 300 orang dan dijangka akan bertambah selaras dengan konteks jalinan hubungan berpanjangan dengan beribu-ribu pesara kanan kerajaan.

“Kita amat berterima kasih kerana Perdana Menteri kerana memahami dan memberi sokongan selain turut memberikan cadangan terhadap beberapa program yang boleh kita laksanakan,” tambahnya.

Pelancaran secara rasmi kelab ini akan dibuat menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO, Oktober depan di Seri Perdana sebagai simbolik menunjukkan hubungan akrab anggota pesara pegawai kanan kerajaan dengan pentadbir negara.

“Pada Perhimpunan Agung UMNO nanti, kita juga akan turut serta dan terlibat sebagai pemerhati,” katanya.

Kelab tersebut aktif dengan pelbagai program selain telah mengadakan mesyuarat agungnya bersama exco dan mempunyai wakil di setiap negeri kecuali Sarawak. – MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan