Jumaat, 27 Ogos 2010

Tindakan tegas terhadap menghasut -PM



Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini memberi amaran tegas tiada pihak di negara ini yang terkecuali daripada tindakan undang-undang berhubung isu membangkitkan sensitiviti perkauman.

Perdana Menteri berkata, tindakan tegas tanpa sebarang pengecualian akan tetap diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati melafazkan ungkapan berbaur perkauman termasuk menggugat kepentingan negara dan tindakan merosakkan harta benda termasuk gereja dan surau.

“Majlis Tertinggi (MT) UMNO memandang serius penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) tertentu yang tidak tepat bertujuan membakar sentimen seolah-olah tindakan yang diambil kerajaan berdasarkan kepada pertimbangan kaum.

“Jangan sesiapa putar belit ini mengikut sudut perkauman seolah-olah kita melakukan pendakwaan terpilih dalam hal ini,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib-Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Perdana Menteri merujuk kepada isu keluarga tiga remaja Cina yang ditahan kerana menyimbah cat dan melempar botol arak di Surau Taman Pulai Impian, Sikamat, Negeri Sembilan yang tampil semalam memohon maaf kepada masyarakat Islam atas perbuatan yang dilakukan anak-anak mereka itu.

Hari ini, tiga remaja itu yang dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak Seremban mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.

Majistret M. Mageshwary membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 22 September sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan akhlak ketiga-tiga remaja itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan