Jumaat, 20 Ogos 2010

Pemimpin Umno perlu utamakan perpaduan- Najib



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kepimpinan Umno supaya mengutamakan perpaduan di semua peringkat demi masa depan parti dan negara.

Berucap pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 6,000 penduduk Perlis di Dewan 2020 di sini beliau meminta supaya semua pihak berusaha sedaya upaya menggunakan apa cara sekalipun bagi mewujudkan perpaduan itu.

Najib yang juga Presiden Umno seterusnya meminta para pemimpin Umno supaya mengetengahkan corak kepimpinan yang boleh membawa perubahan, di samping bekerja kuat, menunaikan setiap janji dan mengambil berat masalah rakyat.

"InsyaAllah kepimpinan akan sentiasa dihormati dan dimuliakan," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada 53 penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan para peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) seluruh Perlis, selepas solat Maghrib.

Sementara itu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang turut hadir di majlis itu juga menyampaikan sumbangan kepada 62 anak yatim daripada asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis, di majlis yang sama.

Terdahulu sebelum menghadiri majlis berbuka puasa, Najib dan isteri menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid di Istana Arau.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Rabu, 18 Ogos 2010

Melayu harus sedar pakatan pembangkang



UMNO Selangor hari ini meminta semua orang Melayu dan umat Islam di negeri ini supaya sedar akan matlamat sebenar pakatan pembangkang yang bercita-cita mahu menghapuskan hak orang Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, kesedaran di kalangan golongan itu amat penting bagi memastikan hak orang Melayu serta bumiputera lain termasuk Islam, terus dipelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Katanya, kewujudan ‘perlembagaan baru’ yang didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menunjukkan bahawa pakatan pembangkang sebenarnya tidak berhasrat untuk memelihara kepentingan orang Melayu dan menegakkan Islam di negara ini.

“Orang Melayu tidak seharusnya lupa bahawa mereka telah dijajah dan dinafikan hak selama 446 tahun bermula sejak zaman kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511.

“Kini adakah orang Melayu sudah puas dengan kemerdekaan yang dinikmati sejak 1957 sehingga mahu bersekongkol dan membiarkan pihak lain mewujudkan ‘perlembagaan baru’ yang jelas mengenepi hak bumiputera dan kedudukan Islam?

“Perlembagaan baru ini sebenarnya membuktikan agenda serta rancangan sebenar pakatan pembangkang dalam usaha mereka menduduki tampuk pentadbiran di negeri-negeri dan juga negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Harussani, Ahad lalu mengenai kewujudan ‘perlembagaan baru’ yang dirangka oleh pihak-pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan sekarang.

Menurut Harussani, paling mengejutkan ‘perlembagaan baru’ itu dikatakan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga kedudukan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim semalam mengesahkan wujudnya ‘perlembagaan baru’ itu dan menyatakan ia adalah perbuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meraih sokongan bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang menyelar sikap sebilangan orang Melayu yang bersekongkol dengan kewujudan ‘perlembagaan’ sedemikian dan menyifatkan mereka sebagai ‘Si Kitol dan Raja Mendeliar’.

Ini kerana, katanya, tindakan mereka yang cuba memainkan sentimen penghapusan hak bumiputera dan kedudukan Islam itu adalah tidak bertanggungjawab seolah-olah satu pengkhianatan kepada agama dan bangsa mereka sendiri.

“Orang Melayu dijajah berpunca daripada orang Melayu sendiri sebagaimana Si Kitol dan Raja Mendeliar mengkhianati serta memecahbelahkan orang Melayu sehingga jatuhnya Kota Melaka ke tangan penjajah.

“Namun hari ini, dua watak dalam sejarah Melayu ini seolah-olah muncul kembali apabila ada pemimpin Melayu (PKR dan Pas) bersekongkol dengan pihak lain untuk menghapuskan hak bangsa dan kedudukan Islam sendiri hanya kerana mahu berkuasa di Putrajaya,” tegasnya.

NOTA KAKI: Kebimbingan orang Melayu sudah sampai ke tahap yang kritikan hari ni, memandangan pertelingkahan sesama Melayu semata-mata untuk menegakkan idealogi politik masing masing dan sudah membawa kepada isu pegangan agama.

Mereka yang rakus kuasa, sudah mula hilang pertimbangan dan mula bertindak di luar kewarasan. Ada pihak yang pernah berusaha untuk mewujudkan perbincangan bagi mencari titik perpaduan untuk bangsa dan agama mula diangggap sebagai pembelot.

Kenyataan dikeluarkan sehingga seolah olah hilang pertimbangan yang bukan saja adat sopan bangsa Melayu tetapi hukum Agama.

Dan tidak hairanlah kalau bangsa lain mula bangun dan berani secara terbuka mula mempersoalkan hak orang Melayu dan mula menuntut kesamarataan kerana banga Melayu semakin lemah dan semakin kerap dihina bangsa sendiri.

Sedarlah bangsaku, masa sudah terlalu pendek untuk kita mengikut rentak fahaman sendiri, kembalikan kepada asas asal kita dan perpijak di bumi nyata. Jangan sampai sanggup mengadai Agama dan Bangsa demi bagi mendapatkan kuasa.

Seharusnya kuasa digunakan untuk menegakkan Agama dan memperkuatkan Bangsa,bukan melakukan sesuatu yang diluar tabii, dengan bertindak sebaliknya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai penderhaka- Zahid



Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, sebagai penderhaka kepada negara kerana mengeluarkan kenyataan palsu mengenai aset pertahanan negara di luar negara, lapor Berita Harian Online.

“Kenyataan itu amat jijik, tidak bermaruah dan beretika yang bertujuan memburukkan imej negara di mata dunia,” katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama penduduk di masjid jamek, Sungai Keli Hutan Melintang, dekat Bagan Datoh, malam semalam.

Beliau mengulas tuduhan Nurul Izzah dalam temubual bersama akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lalu kononnya kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman, masih tidak boleh menyelam selain mendakwa aset canggih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sebagai usang dan terpakai.

Berikutan kenyataan itu, panglima tentera laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dilaporkan berkata ketua sel pasukan kapal selam TLDM, kapten Abdul Rahman Ayub, membuat laporan polis berhubung pembohongan wakil rakyat PKR itu di balai polis Hulu Kelang.

Ahmad Zahid berkata, beliau kesal dengan kenyataan palsu berkenaan dan menegaskan seseorang ahli parlimen sepatutnya mempunyai tata etika dan bercakap sesuatu yang benar mengenai negara ketika berada di negara luar.

“Tetapi cara beliau (Nurul Izzah) memburuk-burukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mempunyai agenda politiknya tersendiri.

"Kedudukan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman sudah beberapa kali saya jelaskan di Parlimen, saya sebut kapal selam itu boleh menyelam, kalau tak mana boleh sampai dari Perancis hingga ke Teluk Sepanggar di Sabah,” katanya kepada Berita Harian.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata tindakan TLDM membuat laporan polis amat wajar bagi membersihkan nama baik ATM.

Beliau memberi amaran kepada semua ahli parlimen terutama dari parti pembangkang supaya jangan cuba mempolitikkan isu pertahanan negara yang boleh menganggu-gugat keselamatan negara.

"Walaupun ahli politik mempunyai perbezaan pendapat tetapi janganlah cuba mengeksploitasi perkara yang benar dengan kenyataan berunsur palsu," katanya-.Sumber Malaysiakini.

Isnin, 16 Ogos 2010

Bubur Lambuk drive thru Masjid Wilayah Persekutuan dapat sambutan



Usaha murni Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan program Amal Ramadan mengagihan Bubur Lambok Drive Thru mendapat sambutan luar jangkaan sejak mula dilancarkan pada hari pertama Ramadan minggu lalu.

Program yang julung kali dianjurkan itu bukan sahaja mendapat sambutan daripada orang ramai yang mula berkumpul sebelum waktu pengagihan mulai jam 4 petang, malah individu dan syarikat yang turun serta menaja program berkenaan juga mengalakan.

Menurut jurucakap pihak penganjur, Ustazah Fathiah Abdul Rahman, pihaknya masih menerima sumbangan untuk program tersebut dan pihak yang berminat boleh berbuat demikian dengan menghubungi pihak Masjid Wilayah Persekutuan melalui tel no 03 62018791/62018767/62018780.

Menurut beliau, pengagihan mulai dibuat mulai jam 4 petang sehingga sejumlah lebih 4000 bungkus di edarkan secara percuma.

Muhyiddin beri amaran pada MCA



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin memberi amaran kepada MCA hari ini agar tidak memperlekehkan semangat Barisan Nasional (BN) apabila memperjuangkan kepentingan komuniti Cina.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN mengingatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek agar sensitif kepada keperluan kaum-kaum lain.

“Di Barisan Nasional kami sentiasa mengambil pendirian sama dalam isu-isu yang menyentuh kesemua kaum,” kata Muhyiddin kepada pemberita di sini.

“Jika mereka mahu berjuang untuk komuniti mereka, ia tidak harus menyentuh kepentingan orang Melayu,” kata Muhyiddin.

“Saya berharap parti-parti komponen akan mengambil kira soal ini, jadi jangan cetuskan sebarang salah faham.

“Sama ada mereka hendak mengambil pendirian seakan DAP, ia perkara lain tetapi pandangan mereka tidak harus membawa kepada salah faham,” kata beliau lagi.

Berhubung pendirian tegas MCA mahu melaksanakan resolusi-resolusi yang diluluskan pada Kongres Ekonomi Cina Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, kerajaan mempunyai kata putus akhir dalam isu-isu seperti dasar pro-Bumiputera.

“Jika anda menyentuh dasar kerajaan, MCA perlu faham bahawa hak keistimewaan, pengagihan kekayaan adalah tanggungjawab kerajaan untuk mempertahankan dasar-dasar sedemikian,” kata Muhyiddin.

“Apa sahaja yang mereka hendak berjuang, mereka perlu mempertimbangkan kepentingan BN. Saya tidak fikir MCA akan mengetepikan kepentingan kerjasama dalam BN,” kata Timbalan Presiden Umno ini.

Terdahulu dalam kenyataan dikeluarkan di sini, dua pemimpin kanan MCA membidas Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana mempersoalkan kesetiaan parti itu dalam BN.

Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung hari ini menegaskan, MCA sentiasa setia kepada BN dan tidak pernah meninggalkan Umno.

Pendirian seumpama itu juga dilahirkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam kenyataan berasingan.

“Selama ini MCA konsisten menunjukkan kesetiaan kepada BN. Ketika Umno mengalami saat-saat kesukaran pada 1980-an dan 1990-an, MCA tidak pernah tinggalkan mereka.

“Namun, kita juga akan mengambil berat akan kenyataan ini supaya setiap orang mengetahui bahawa ia adalah disebabkan oleh hegemoni politik sehingga pengundi berpaling dari BN,” kata Chor.

Beliau berkata, MCA sentiasa menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu.

“MCA tidak pernah mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Pasal 153 Perlembagaan Persekutuan.

“MCA mengetahui matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mahu membanteras kemiskinan tanpa mengambil kira latar belakang kaum.

“Namun kenyataan Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak yang mengatakan bahawa pelaksanaan DEB ‘telah ‘diimplemantasi oleh kumpulan tertentu demi kepentingan diri sendiri’, kelemahan ini harus dibaiki,” kata Chor dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Dr Chua mendakwa beberapa pemimpin BN gagal melihat kegagalan masa-masa lalu dan tindakan mereka itu akan menyebabkan kelupusan parti itu dalam jangka panjang.

Dr Chua berkata, partinya tidak bimbang untuk sealiran dengan pesaingnya DAP dalam isu-isu tertentu dan tidak akan lari daripada menyatakan pendirian yang tegas jika perlu.

Beliau juga secara tidak langsung merujuk kepada Hishammuddin sebagai pemimpin terbabit yang melahirkan pandangan tegas tersebut pendirian MCA semalam.

“Kenyataan Hishammuddin semalam bahawa MCA tidak harus melupakan perjuangan BN apabila mengetengahkan tuntutan masyarakat Cina menunjukkan pemimpin-pemimpin BN belum belajar daripada pilihan raya umum 2008 dan tidak memahami desakan rakyat agar melakukan pembaharuan,” katanya lagi.

Dr Chua berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2008 pemimpin-pemimpin MCA memahami keperluan bagi parti itu berubah untuk mendapatkan semula kepercayaan dan sokongan.

“Jika ada pemimpin-pemimpin BN yang terus berada dalam dunia mereka sendiri, mereka sudah tentu akan menolak MCA ke tepi dan tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada perikatan (BN),” katanya.

Selasa, 10 Ogos 2010

Muhyiddin pertahan kesetiaannya pada PM



Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kesetiaannya kepada Datuk Seri Najib Razak sambil mengetepikan spekulasi hubungannya dengan Perdana Menteri menemui bibit perpecahan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan spekulasi sedemikian hanya kerja pihak dalam Pakatan Rakyat.

Muhyiddin (gambar) juga menegaskan beliau sepanjang masa menyokong kepimpinan Najib yang menjadi Perdana Menteri pada April 2009.

“Tiada pihak yang harus mempersoalkan sokongan kuat yang saya berikan kepada Perdana Menteri sejak awal hingga sekarang.

“Jika anda melihat pada sejarah, saya telah memberi sokongan dan membantu beliau sebelum menjadi Perdana Menteri.

“Lebih-lebih apabila beliau meletakkan keyakinan ke atas saya sebagai Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri,” kata beliau ketika berucap melancarkan buku berjudul “Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia” di Kompleks Kraftangan di sini petang ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Najib akan sentiasa berperanan sebagai bosnya.

“Bos saya ialah perdana menteri dan persoalan kesetiaan kepada beliau tidak harus dipertikaikan.

“Dalam konteks ini, mungkin mereka dari sebelah lain akan mengambil kesempatan untuk membuat spekulasi bahawa hubungan kami tidak kuat,” katanya.

Minggu lalu, Muhyiddin bersetuju dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat Malaysia masih belum memahami konsep 1 Malaysia.

Bagaimanapun Muhyiddin menyalahkan PR sebagai sebab mengapa rakyat belum bersedia untuk memahami konsep itu.

Pihak Yang Kaitkan Sultan Johor Dengan Politik Perlu Segera Mohon Ampun - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pihak yang bertanggungjawab mengheret Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ke kancah politik agar segera memohon ampun kepada baginda.

Beliau berkata pihak yang terlibat perlulah memahami tentang kedudukan Raja-Raja sebagai payung negara dan menyifatkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.

"Jadi ini tidak harus dipermain-mainkan atau pun disalahgunakan...yang pastinya mengundang murka Sultan Johor...tidak harus dieksploitasi kedudukan Raja-Raja yang boleh menjatuhkan maruah dan martabat Raja. Kita harus sanjung dan harus hormati.

"Jadi mana-mana pihak, parti politik ke bukan politik ke harus faham tentang perkara itu (kedudukan Raja-Raja). Walau apa pun, mereka sepatutnya memohon ampun daripada raja dan jangan ulangi hal-hal sebegitu lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk "Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia" di sini.

Beliau mengulas perbuatan sebuah parti politik yang menggunakan poster gambar Sultan Ibrahim di dalam kempen parti itu di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Semalam, Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor Bermotosikal 2010 di Kota Tinggi, melahirkan rasa murka terhadap tindakan sebuah parti politik yang menggunakan gambar baginda pada kain rentang di majlis ceramah di Batu Pahat itu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata adalah menjadi kesalahan jika menyebabkan seseorang sultan itu murka dan pihak yang dimurkai perlu tampil untuk memohon keampunan.

Ditanya pemberita sama ada perbuatan itu mempamerkan tindakan yang terdesak parti itu, beliau berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku dan berpendapat ada pihak yang cuba mengeksploitasi institusi raja.

-- BERNAMA