Selasa, 10 Ogos 2010

Muhyiddin pertahan kesetiaannya pada PM



Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kesetiaannya kepada Datuk Seri Najib Razak sambil mengetepikan spekulasi hubungannya dengan Perdana Menteri menemui bibit perpecahan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan spekulasi sedemikian hanya kerja pihak dalam Pakatan Rakyat.

Muhyiddin (gambar) juga menegaskan beliau sepanjang masa menyokong kepimpinan Najib yang menjadi Perdana Menteri pada April 2009.

“Tiada pihak yang harus mempersoalkan sokongan kuat yang saya berikan kepada Perdana Menteri sejak awal hingga sekarang.

“Jika anda melihat pada sejarah, saya telah memberi sokongan dan membantu beliau sebelum menjadi Perdana Menteri.

“Lebih-lebih apabila beliau meletakkan keyakinan ke atas saya sebagai Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri,” kata beliau ketika berucap melancarkan buku berjudul “Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia” di Kompleks Kraftangan di sini petang ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Najib akan sentiasa berperanan sebagai bosnya.

“Bos saya ialah perdana menteri dan persoalan kesetiaan kepada beliau tidak harus dipertikaikan.

“Dalam konteks ini, mungkin mereka dari sebelah lain akan mengambil kesempatan untuk membuat spekulasi bahawa hubungan kami tidak kuat,” katanya.

Minggu lalu, Muhyiddin bersetuju dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat Malaysia masih belum memahami konsep 1 Malaysia.

Bagaimanapun Muhyiddin menyalahkan PR sebagai sebab mengapa rakyat belum bersedia untuk memahami konsep itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan