Selasa, 10 Ogos 2010

Pihak Yang Kaitkan Sultan Johor Dengan Politik Perlu Segera Mohon Ampun - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pihak yang bertanggungjawab mengheret Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ke kancah politik agar segera memohon ampun kepada baginda.

Beliau berkata pihak yang terlibat perlulah memahami tentang kedudukan Raja-Raja sebagai payung negara dan menyifatkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.

"Jadi ini tidak harus dipermain-mainkan atau pun disalahgunakan...yang pastinya mengundang murka Sultan Johor...tidak harus dieksploitasi kedudukan Raja-Raja yang boleh menjatuhkan maruah dan martabat Raja. Kita harus sanjung dan harus hormati.

"Jadi mana-mana pihak, parti politik ke bukan politik ke harus faham tentang perkara itu (kedudukan Raja-Raja). Walau apa pun, mereka sepatutnya memohon ampun daripada raja dan jangan ulangi hal-hal sebegitu lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk "Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia" di sini.

Beliau mengulas perbuatan sebuah parti politik yang menggunakan poster gambar Sultan Ibrahim di dalam kempen parti itu di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Semalam, Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor Bermotosikal 2010 di Kota Tinggi, melahirkan rasa murka terhadap tindakan sebuah parti politik yang menggunakan gambar baginda pada kain rentang di majlis ceramah di Batu Pahat itu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata adalah menjadi kesalahan jika menyebabkan seseorang sultan itu murka dan pihak yang dimurkai perlu tampil untuk memohon keampunan.

Ditanya pemberita sama ada perbuatan itu mempamerkan tindakan yang terdesak parti itu, beliau berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku dan berpendapat ada pihak yang cuba mengeksploitasi institusi raja.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan