Khamis, 7 April 2016
KERAJAAN AMBIL LANGKAH SEGERA SELESAIKAN MASALAH 1MDB-PAC
Kerajaan telah mengambil langkah serta merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang mula timbul pada November 2014, menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
PAC dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, yang diedarkan di Parlimen di sini Khamis, berkata pada Januari 2015, pengurusan tertinggi baharu syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu telah dibawa masuk.
"Selepas itu, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah menumpukan perhatian yang serius untuk menyelesaikan masalah syarikat.
"Suatu kajian strategik telah dilaksanakan dan rumusan dibentangkan pada Februari 2015. Susulan itu, 1MDB dan MKD telah membentangkan pelan rasionalisasi kepada Jemaah Menteri pada 29 Mei 2015," menurut laporan jawatankuasa Parlimen itu.
Menurut laporan setebal 106 muka surat itu, sehingga Januari 2016, aset 1MDB adalah RM53 bilion melebihi hutang RM50 bilion.
Pada 4 Mac 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan pada hari berkenaan, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada PAC yang bersifat dwipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.
PAC dipengerusikan anggota Parlimen Rompin daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin manakala naib pengerusinya ialah anggota Parlimen Kepong daripada DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Ahli-ahli jawatankuasanya yang lain terdiri daripada lapan anggota Parlimen BN, dua Parti Keadilan Rakyat (PKR), masing-masing seorang daripada DAP dan PAS.BERNAMA
LAPORAN PAC-42 BILION TIDAK HILANG DARIPADA 1MDB
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan RM42 bilion tidak hilang daripada syarikat itu seperti didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata di samping menunjukkan bahawa dakwaan dibuat oleh Dr Mahathir itu adalah tidak betul, laporan itu telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam struktur modal dan pengurusan 1MDB.
"Kami akan teliti dan bertindak ke atas syor-syor dalam laporan itu.
"Kami akan memastikan pengajaran diambil daripadanya, dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang bukti kesalahan telah dilakukan," katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan itu, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Najib berkata kini sudah jelas bahawa dakwaan dilemparkan Dr Mahathir terhadap 1MDB didorong oleh kepentingan peribadi, "bukan kepentingan negara, dan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan".
Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Kabinet pada Mac 2015 untuk meminta Ketua Audit Negara menjalankan siasatan bebas ke atas akaun kewangan 1MDB susulan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap 1MDB, seperti dakwaan Dr Mahathir bahawa RM42 bilion telah hilang.
"Untuk memastikan ketelusan proses ini, kami juga telah mengarahkan supaya dapatan-dapatan itu dihantar untuk semakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang - sebuah badan dwipartisan yang turut dianggotai anggota Parlimen pembangkang," katanya.
Najib berkata selepas melalui proses yang lengkap dan menyeluruh, PAC hari ini mengeluarkan laporan mengandungi dapatan-dapatannya di Parlimen.
"Laporan ini mewakili konsensus oleh anggota PAC, dan dapatan-dapatannya adalah berdasarkan fakta dan beratus-ratus jam menyemak dan menyiasat.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana mengeluarkan laporan yang komprehensif, konklusif dan muktamad.
"Selepas membacanya, saya mendapati laporan PAC menunjukkan bahawa RM42 bilion tidak hilang daripada 1MDB, seperti didakwa oleh Tun Mahathir," katanya.
Najib berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap "pelan ekonomi dan memperkukuhkan ekonomi - yang terus menunjukkan daya tahan dalam berdepan cabaran-cabaran global".
MARA DISKAUN 50 PERATUS PINJAMAN BAGI PELAJAR YANG GAGAL
Amanah Rakyat (Mara) mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus kepada peminjam Pinjaman Pelajaran MARA yang gagal dalam pengajian mereka, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.
Annuar berkata tawaran itu diberi kepada pelajar yang gagal menamatkan pengajian atas apa jua sebab termasuk mereka yang sedang menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah berhubung pinjaman berkenaan.
"Jika sebelum ini pelajar yang gagal pengajian perlu membayar 100 peratus pinjaman mereka, tetapi untuk meringankan beban mereka, kita tawarkan 50 peratus diskaun terhadap baki pinjaman mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Khamis.
Pada sidang media itu, Annuar berkata peminjam pada tahun 2010 dan sebelumnya yang lulus pengajian tetapi tidak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik, telah diberi tawaran diskaun 50 peratus ke atas baki pinjaman mereka pada 25 Mac lepas dan kini mendapat tambahan 20 peratus diskaun.
Turut diumumkan tambahan 20 peratus diskaun kepada peminjam yang layak mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik dan telah memperoleh pengurangan bayaran balik.
"Sebagai contoh, sekiranya pelajar B mendapat tajaan pinjaman katalah berjumlah RM200,000 serta lulus pengajian dan mendapat kemudahan pengurangan bayaran balik misalnya berjumlah 75 peratus diberikan atas baki pinjaman semasa dan kini diberi tambahan 20 peratus lagi, jadi peminjam hanya bayar RM40,000," katanya.
Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata semua tawaran berkenaan tertakhluk pada peminjam yang membuat bayaran sekali gus daripada baki pinjaman mereka.
Katanya permohonan mestilah dibuat secara dalam talian di portal Mara http://insentif50.mara.gov.my dan dibuka sehingga 31 Dis tahun ini sahaja.
"Selepas tarikh itu, kadar pinjaman adalah seperti sebelum diskaun," katanya.
Beliau berkata MARA adalah agensi yang mendapat peruntukan daripada kerajaan dan tidak wajar menyamakannya dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memang meminjam dengan jaminan kerajaan untuk memberi pinjaman kepada pelajar.
"Tawaran ini pun bukan kita buat setiap tahun, tetapi sambutan 50 tahun MARA ini kita berikan, selain daripada mengurangkan beban pelajar, kita akan gunakan kutipan untuk beri pinjaman kepada lebih ramai pelajar dan pelaksanaan aktiviti bermanfaat," katanya.
Selasa, 5 April 2016
LTAT AMBIL TINDAKAN UNDANG UNDANG TERHADAP RAFIZI
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi Ramli berhubung dakwaan yang dibuat Setiausaha Agung PKR itu terhadap LTAT.
Pengerusinya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata: "Jelas sama sekali bahawa tuntutan yang dibuat oleh Rafizi adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.
"Sekali lagi ditegaskan, tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan Rafizi, dan LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
Antara dakwaan Rafizi yang juga Anggota Parlimen Pandan, ialah berhubung pembayaran gratuiti kepada pencarum LTAT.
Mohd Anwar berkata adalah tidak munasabah untuk Rafizi membandingkan jumlah pembayaran gratuiti yang dibuat sepanjang tahun dengan baki tunai pada akhir 2014.
"Sepanjang 2014, LTAT telah membuat pembayaran pengeluaran caruman berjumlah RM982.9 juta kepada pencarum yang tamat perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata baki akhir tahun bagi 2014 berjumlah RM561.5 juta adalah baki setelah LTAT membuat semua bayaran termasuk bayaran kepada para pencarum yang mengeluarkan caruman di sepanjang tahun berkenaan.
Selain itu, Mohd Anwar berkata LTAT juga telah menerima dan menyemak senarai 110 pencarum daripada Rafizi yang didakwanya tidak menerima bayaran gratuiti masing-masing.
Daripada jumlah itu, Mohd Anwar berkata LTAT telah membuat pembayaran kepada 70 pencarum; kegagalan pengesahan cap jari dan telah dihubungi (seorang pencarum); dokumen diterima daripada Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) Kementerian Pertahanan pada 4 April 2016 (23 pencarum) serta dokumen belum diterima UGAT (16 pencarum).
"LTAT ingin menekankan dan menjelaskan sekali lagi bahawa semua pembayaran gratuiti kepada anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan termasuk semua 70 yang disebut di atas, telah, dan akan terus diuruskan, dalam tempoh 24 jam setelah LTAT menerima dokumen yang lengkap dan diluluskan daripada UGAT.
"Permohonan-permohonan seperti ini diterima dan dibayar secara berterusan sepanjang tahun," katanya.
Berhubung kelewatan bayaran daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) bagi projek penempatan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL), Mohd Anwar berkata:
"Sehingga kini, pembayaran oleh 1MDB kepada PPHM telah dibuat, dan PPHM yang menjadi kontraktor 'turnkey' untuk 1MDB projek PUKL pula telah membayar semua sub kontraktor atas jumlah yang ditetapkan mengikut kontrak."
Mohd Anwar berkata akaun LTAT juga diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan dibentangkan di Parlimen.BERNAMA
BN DEDAH DOKUMAN TANAH DI TAMAN MANGGIS PULAU PINANG
Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan dokumen perjanjian jual beli mengaitkan plot tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang yang menimbulkan kontroversi yang dijual kepada pihak ketiga.
Ketika mendedahkan perjanjian itu di sini hari ini, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata dokumen itu menunjukkan bahawa Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) Sdn Bhd telah menjual saham tanah itu kepada pihak ketiga.
Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata perjanjian bertarikh 11 Nov tahun lepas, juga menunjukkan bahawa harga pembelian transaksi sub-jualan itu ialah RM70,643,628.
Tanpa mendedahkan identiti "pihak ketiga", beliau menarik perhatian bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menafikan yang tanah itu dijual kepada pihak ketiga.
"Tetapi apa yang beliau (Lim) tidak mendedahkan ialah tanah itu sekarang dipegang oleh KLIDC dan penjualan sahamnya (KLIDC) mempunyai kesan yang sama seperti juga menjual tanah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.
Pada 24 Mac, Lim menolak dakwaan bahawa tanah di Taman Manggis - yang dikatakan untuk pembangunan projek perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dijual kepada pihak ketiga dan tanah itu masih di bawah KLIDC seperti dinyatakan dalam geran tanah.
Isu berhubung tanah Taman Manggis dan banglo yang dibeli oleh Lim bermula apabila perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, yang meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah membuat penilaian ke atas hartanah RM2.8 juta itu kerana mendakwa harga semasa adalah melebihi RM3 juta.
Abdul Rahman berkata, perjanjian meliputi penjualan antara lain berhubung-kait antara satu sama lain melibatkan penjualan KLIDC dan Victoria International Medical Centre Sdn Bhd, masing-masing pada harga RM18,643,628 dan RM52,000,000, dan syarikat yang terlibat dimiliki oleh Datuk Tang Yong Chew dan isterinya.
"Apabila dibaca pada masa yang sama, kedua-dua perjanjian nampaknya melibatkan penjualan Medical Centre dan projek Hotel dengan aset teras ialah tanah di Taman Manggis," kata beliau.
Projek di kawasan tanah itu kini ditangguhkan selepas mendapat bantahan daripada beberapa pihak.
Walaupun penjualan tanah di Taman Manggis adalah lebih rendah daripada harga pasaran, Abdul Rahman berkata, tanah itu kemudian dijual semula oleh KLIDC kepada pihak ketiga bagi RM70.6 juta, dengan keuntungan diunjurkan sebanyak RM59 juta, walaupun teras projek belum dibangunkan.
Beliau berkata tanah itu asalnya dijual kepada KLIDC pada 6 Jun, 2010 apabila Kerajaan Pulau Pinang menawarkannya di bawah permintaan kontroversi untuk proses cadangan pada harga RM11.55 juta atau RM232 untuk sekaki persegi, harga yang kebanyakan pihak percaya adalah lebih rendah daripada nilai pasaran pada masa itu.
Abdul Rahman turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri telah dimaklumkan mengenai transaksi tersebut dan sama ada ia telah memberi kelulusan.
Selain itu, Abdul Rahman berkata beliau telah mengarahkan pasukannya untuk mengemukakan perjanjian jual beli dan dokumen lain yang berkaitan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis hari ini.
"Kami berharap dokumen tersebut akan membantu mereka untuk melaksanakan tugas, tanpa takut atau memihak," katanya.
Kepada satu soalan, Abdul Rahman berkata, keputusan Kerajaan Pulau Pinang untuk membina projek perumahan kos rendah pada plot tanah yang lebih luas di Jalan S. P. Chelliah, di pusat bandar, adalah sama sekali berbeza daripada rancangan awal di Taman Manggis.
"Di S. P. Chelliah, satu unit berharga RM72,000 manakala unit PPRT dijual pada harga RM35,000, walaupun kos pembinaan melebihi RM100,000, dengan kadar sewa RM100 sebulan. Harga di S. P. Chelliah adalah dua kali ganda dan ia tidak memenuhi permintaan golongan miskin tegar," jelas beliau.
Tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang mulanya telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan rumah mampu milik tetapi rancangan untuk PPRT digantikan dengan cadangan untuk projek pembangunan bercampur pada 2005.
Lim berkata kerajaan negeri mendapati keluasan tanah di Taman Manggis (lebih satu ekar tanah) tidak sesuai untuk perumahan kos rendah, dan telah memindahkan projek perumahan mampu milik ke tanah yang lebih 10 kali lebih besar di Jalan S. P. Chellilah.
-- BERNAMA
KERAJAAN TERUS SOKONG MARA TERAJU ASPIRASI MELAYU
Kerajaan akan terus menyokong visi Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menerajui aspirasi Melayu dan Bumiputera menjadi kuasa besar dalam bidang keusahawanan, pendidikan, pelaburan dan pemilikan ekuiti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata selepas 50 tahun penubuhan MARA, institusi itu telah memainkan peranan penting terhadap pembangunan sosioekonomi negara dan setakat ini MARA sudah memperkasa lebih daripada 4 juta Bumiputera melalui keusahawanan, pendidikan dan pelaburan berimpak tinggi.
Dalam catatan terbaru di blog beliau, Najib berkata, sejarah penubuhan MARA, adalah sesuatu yang amat dekat dan peribadi buat dirinya.
Diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri (kemudian Perdana Menteri kedua) yang juga ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein pada 1965 dan digazetkan pada tahun berikutnya, beliau berkata, MARA mula mengorak langkah mengangkat martabat bangsa dan menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera.
"MARA membesar bersama-sama Malaysia. Selepas kita mencapai kemerdekaan, MARA adalah antara institusi yang telah mentransformasikan dan menaik taraf kehidupan Bumiputera secara berterusan," katanya.
Dari segi keusahawanan, beliau berkata MARA sentiasa tanpa gagal memberi bantuan kepada usahawan-usahawan dengan bantuan kewangan, latihan kemahiran dan juga bantuan dari segi pembangunan infrastruktur.
Malah, hanya melalui pelaksanaan Pelan Strategik MARA 2011-2015, institusi ini telah mendidik lebih 80,000 usahawan ke arah kejayaan, katanya.
Selain keusahawanan, MARA juga memainkan peranan penting melaburkan dana dan masa dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan.
"Buktinya, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan pendidikan tertiari seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysian Institute (GMI), MARA-Japan Industrial Institute (MJII), GiatMARA dan Kolej Mara, telah melahirkan banyak tenaga kerja, pakar industri dan profesional," kata Najib.
Mengambil contoh beberapa individu seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, pengasas bersama AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan ketua pegawai eksekutif Celcom Axiata Datuk Seri Shazalli Ramly, beliau berkata, mereka ini adalah antara sebahagian graduan MARA yang berjaya dan kini menjadi tokoh industri.
MARA turut menghasilkan generasi yang berpengetahuan dan berkemahiran melalui pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk pendidikan di dalam dan luar negara.
Katanya, MARA telah menaja 75,000 anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran supaya mereka mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam apa jua bidang yang diceburi.
"Saya yakin dan percaya, MARA akan terus melahirkan bakat berkualiti Melayu dan Bumiputera yang mampu membanggakan negara, agama dan bangsa.
"Pada masa sama, saya harap mereka yang telah mendapat manfaat dan kini berjaya melalui bantuan MARA akan kembali menyumbang kepada generasi Melayu dan Bumiputera seterusnya," katanya.
Dari segi ekonomi, Perdana Menteri berkata MARA juga menubuhkan anak syarikat seperti MARA Liner Sdn Bhd, MARA Incorporated Sdn Bhd, Pelaburan MARA Bhd dan Asia Aerospace City bagi menjana kewangan mampan.
Najib berkata sempena sambutan ulang tahun MARA yang ke-50 semalam, ia (MARA) mengumumkan akan menstruktur semula semua anak syarikatnya yang akan diletakkan di bawah MARA Corporation Bhd (MARA Corp) dengan modal berbayar RM1.4 bilion, manakala Rural Capital Bhd, sebuah institusi kewangan khusus bagi membantu usahawan, juga akan ditubuhkan.
Selain itu, beliau juga berkata, sebuah universiti bukan teknikal dikenali sebagai Universiti Mara (UniMara) akan diwujudkan untuk membantu pembangunan modal insan di negara ini.
RAFIZI DITAHAN DI BAWAH AKTA RAHSIA RASMI
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli hari ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun twitter miliknya mengesahkan penahanan Ahli Parlimen Pandan itu.
"@PDRMsia sahkan bahawa YB Rafizi Ramli telah ditahan sebentar tadi, di luar bangunan Parlimen dan akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972," katanya.
Difahamkan, Rafizi ditahan kira-kira 6.20 petang sejurus keluar dari bangunan Parlimen.
Semalam, LTAT dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaannya mengenai pembayaran gratuiti kepada veteran LTAT.
Pengerusi LTAT Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata dakwaan Rafizi itu adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.
Langgan:
Ulasan (Atom)






