Ahad, 23 November 2014
Tunjuk kemampuan kewangan dahulu sebelum cadang mahu selamatkan MAS- Datuk Johari
SEORANG Ahli Parlimen Umno meminta sebuah syarikat yang hanya baru berusia tiga bulan yang mahu menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS) "menunjukkan terlebih dahulu wang mereka dan siapa penyokong kewangan mereka' sebelum cadangan tersebut boleh diambil kira dengan serius.
Datuk Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa, yang meragui cadangan dibuat oleh Jentayu Danaraksa itu, juga membangkitkan persoalan lain tentang status tidak lengkap pelan Jentayu yang diketahui setakat ini yang nampaknya tidak jelas dengan pelan 12 perkara yang diumumkan Khazanah Nasional untuk menyusun semula dan memulihkan MAS.
"Anda nak dapatkan duit itu dari mana? Tunjukkan wang anda. Jika anda kata anda ada penyokong, siapa penyokong anda," katanya kepada Bernama.
Johari berkata beliau menentang cadangan Jentayu itu yang mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri untuk memanfaatkan perniagaan pajakan pesawat dan mengambil alih perniagaan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) MAS yang mengaut keuntungan serta syarikat sekutunya, Firefly.
Pengarah Urusan Jentayu Feriz Omar berkata cadangan itu adalah untuk melengkapkan pelan Khazanah dan syarikat itu bersedia melabur "lebih banyak" daripada peruntukan RM6 bilion oleh Khazanah, yang memiliki MAS.
"Sekiranya MAS boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang boleh menyediakan kertas kerja, saya bimbang masalah yang dihadapi MAS semasa ia diswastakan kepada seorang tokoh korporat akan berulang. Kita tidak akan mengulangi kesilapan yang sama," katanya yang menyebut tentang kegagalan penswastaan pada 1994.
Johari, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, adalah satu tindakan yang salah bagi sesiapa sahaja untuk hanya memilih unit MAS yang meraih keuntungan kerana mengendalikan syarikat penerbangan itu merupakan satu portfolio kendiri.
Keunikan MAS adalah ia memiliki segalanya dan pengurusannya perlu melihat keadaan secara keseluruhan, dan "usahawan yang tiba-tiba sahaja muncul" tidak boleh semudah itu memilih hanya yang menguntungkan dan tidak mengambil kira komponen lain.
"Ini tidak boleh dilakukan. Anda boleh dapatkan kemudahan dengan syarat anda ada banyak pilihan. Tetapi sekiranya tiada pilihan, anda tidak melakukannya dan anda harus mengekalkannya," kata Johari, yang juga seorang tokoh korporat terkenal.
Beliau berkata sebuah syarikat penerbangan seperti MAS harus mengekalkan unit MRO kerana ia penting bagi latihan dan latihan semula untuk meningkatkan kemahiran pekerja, sambil menambah MAS tidak boleh melupuskan MRO kerana ia adalah sebuah organisasi pemangkin.
Menjelas lebih lanjut mengenai pelan Jentayu, beliau berkata: "Sesiapa sahaja boleh kemukakan tawaran. MAS harus menulis surat kepada mereka dan menanyakan siapa penyokong kewangan anda dan bagaimana anda mendapatkan wang anda, apa pelan dan konsep perniagaan anda dan bagaimana anda menangani kejatuhan saham pasaran.
"Cadangan ini nampak baik di atas kertas tetapi saya tidak melihat sesiapa di antara mereka yang boleh dipercayai untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.
"Apabila saya baca laporan akhbar mereka mahu mendapatkan wang daripada orang asing, kita tidak akan serahkan syarikat penerbangan ini kepada orang asing.
Matlamatnya adalah untuk mengekalkannya dalam Malaysia dan sebuah syarikat yang dikuasai orang Malaysia," katanya. - Bernama
UMNO tidak perlu apologetik dalam mempertahan isu isu tertentu-Hishammuddin
Umno tidak perlu apologetik dalam mempertahankan perkara-perkara yang menyentuh tentang agama, bangsa dan kedaulatan raja-raja, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, perkara-perkara membabitkan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja itu disifatkan sebagai "tiang seri" yang mendukung kewujudan Umno.
"Umno tidak perlu apologetik dalam mempertahankan 'tiang serinya' itu, kerana perkara-perkara membabitkan agama, bangsa dan raja-raja juga termaktub di dalam perlembagaannya (Umno)," katanya pada majlis diskusi bersama kira-kira 100 peguam muda Melayu yang menganggotai Bona Fide Friends of Umno, anjuran Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Bona Fide Friends of Umno, yang diwujudkan di bawah biro itu, adalah satu kumpulan pengamal undang-undang yang mesra Umno dan menjadi platform alternatif untuk golongan itu menyuarakan pandangan mereka.
Turut hadir pengerusi biro itu Datuk Razali Ibrahim, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno 2014, berkata persoalan sama ada Akta Hasutan 1948 akan dipinda, dihapuskan atau menggubal akta baharu seperti Akta Keharmonian Nasional tidak timbul.
"Sama ada Akta Hasutan dipinda atau satu akta baharu digubal, ia akan tetap mempertahankan ketiga-tiga perkara membabitkan raja-raja, agama Islam dan bangsa Melayu," katanya. - Bernama
Kemunculan media sosial antara cabaran baru bagi UMNO
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyifatkan kemunculan media sosial, teknologi baharu, generasi Y dan sokongan kaum Cina selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 merupakan antara perkara paling mencabar parti itu masa ini.
Dalam wawacara khas dengan akhbar Mingguan Malaysia yang disiarkan, Ahad, beliau berkata UMNO terpaksa berdepan pertambahan media baharu susulan munculnya laman web yang mempunyai agenda politik, penyebaran pembohongan dan putar belit yang mempunyai motif tersusun serta sistematik.
"Seperti peranan Red Bean Army dan sebagainya sehinggakan cerita yang tak masuk akal pun orang boleh terima seperti 40,000 pengundi Bangladesh yang kononnya kita bawa masuk sebagai pengundi.
"Apabila reka cerita, peringkat ini orang tidak pandai menapis, membezakan antara mana yang hak, mana yang batil. Yang mana separuh benar, separuh tidak benar," katanya dalam wawancara itu sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 bermula Selasa ini.
Dalam laporan itu, Perdana Menteri berkata keadaan masa kini berbeza dengan keadaan masa dahulu di mana masyarakat ketika itu banyak bergantung kepada maklumat daripada akhbar dan televisyen.
Beliau berkata anggota-anggota UMNO belum dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu itu apabila peranan mereka dalam media sosial sering terkebelakang berbanding pembangkang.
Najib berkata UMNO bagaimanapun ada sedikit kelebihan di beberapa media sosial seperti Twitter dan Facebook.
"Tetapi, ada yang kita masih terkebelakang seperti YouTube. Yang kedua, populariti laman web tertentu. Sebab mereka ini, macam mana kita buat pun, disebabkan dianggap sebagai media alternatif dan mengkritik kerajaan, banyak orang akses laman web ini," katanya dalam laporan itu.
Justeru itu, beliau berkata sebarang perkara yang dilakukan walaupun oleh pemimpin di peringkat bahagian, boleh diuar-uarkan melalui media sosial supaya mereka dapat mengetahui tahap daripada segi jangkaan dan harapan rakyat.
Dalam laporan wawancara itu, Najib berkata beliau sendiri berperanan dengan lebih meluas dalam bidang media sosial dan mempunyai pengikut Twitter yang mencecah 2.2 juta orang.
"Jadi, kita kena lebih kreatif dan gigih lagi, menggalakkan orang kita muat naik lebih banyak cerita yang lebih mudah diakses," katanya.BERNAMA
ATM komited bantu benteras kegiatan PATI dan pembukaan tanah haram di Cameron Highland
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited membantu agensi-agensi kerajaan dalam usaha membanteras kegiatan pembukaan tanah-tanah haram di Cameron Highlands, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Ahad.
Beliau berkata, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin telah diarahkan supaya terlibat secara langsung dalam operasi di pusat peranginan itu.
"Peranan kita (ATM) banyak bergantung kepada pemantauan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (di Cameron Highlands) esok. Kita memberi komitmen akan membantu kerana ia sememangnya sesuatu yang tidak dapat kita benarkan daripada menular," katanya.
Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis diskusi bersama 'Bona Fide Friends of Umno' anjuran Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bagaimanapun katanya, operasi besar-besaran pelbagai agensi kerajaan untuk membanteras kegiatan pembukaan tanah-tanah secara haram di Cameron Highlands tidak sepatutnya menganiaya mereka yang tidak berdosa.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia dan ATM menggerakkan anggota mereka ke Cameron Highlands untuk menggempur kegiatan haram di situ.
UMNO Wilayah Persekutuan wujud kluster politik ekonomi agama pendidikan dan perumahan
UMNO Wilayah Persekutuan akan mewujudkan kluster politik, ekonomi, agama, pendidikan dan perumahan serta sosial bagi mencari jalan menyelesaikan masalah orang Melayu di Kuala Lumpur dalam empat bidang berkenaan.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kluster itu akan ditubuhkan pada Januari depan dan akan dianggotai ahli jawatankuasa yang dilantik oleh badan perhubungan itu.
"Mereka (anggota kluster) akan berbincang dengan kepimpinan UMNO kawasan atau bahagian di Wilayah Persekutuan untuk melihat apa yang patut dilakukan dalam masalah perumahan, agama, pendidikan dan ekonomi orang Melayu bandar.
"Kita boleh mengutarakan masalah (yang dihadapi oleh orang Melayu bandar), tetapi kita juga mesti tahu untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya dalam sidang media selepas menutup Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan di ibu negara, Ahad.
Tengku Adnan berkata, UMNO Wilayah Persekutuan akan memperhebatkan program penerangan kepada penduduk bandar terutama orang Melayu tentang bantuan yang telah disediakan kerajaan untuk mereka.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata walaupun banyak bantuan telah disediakan, namun masih ramai penduduk bandar tidak mengetahuinya dan mereka ketinggalan daripada mendapat bantuan itu.
"Kadang-kadang kita hairan apabila kita turun ke bawah ada antara mereka tidak faham ada bantuan seperti Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan bantuan persekolahan, tapi orang bandar sendiri tidak tahu," katanya.
Beliau berkata, UMNO Wilayah Persekutuan akan mencari jalan dan memain peranan sebaik mungkin dalam membantu Melayu bandar dan berusaha mengubah persepsi bahawa orang Melayu di Kuala Lumpur tidak menyokong parti itu.
Konvensyen itu yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dihadiri oleh 524 perwakilan selain disertai oleh wakil beberapa badan bukan kerajaan.
Sebanyak 25 kertas kerja dibentangkan berkaitan cadangan menambah baik perkhidmatan UMNO Wilayah Persekutuan atau penyelesaian masalah orang Melayu bandar, merangkumi bidang ekonomi, perumahan, sosial dan pendidikan.BERNAMA
UMNO perlu ambil pendekatan sederhana dalam menangani isu hubungan kaum
Umno sebagai parti tunjang kepada Barisan Nasional (BN), perlu mengambil pendekatan bersederhana dalam menangani isu-isu berkaitan hubungan kaum di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden Umno itu berkata, ini termasuk dalam berdepan dengan golongan ekstrem dan rasis, yang dikhuatiri akan mengguris perasaan orang Melayu serta menimbulkan ketegangan antara masyarakat majmuk di negara ini.
"Saya menekankan kesederhanaan atau wasatiyah sebagai satu prinsip supaya dalam apa jua tindakan kita perlu bersederhana, seimbang dan juga lebih menjurus kepada kecemerlangan.
"Bukan bererti kita bersederhana dalam bekerja atau berusaha tetapi mesti mencapai kecemerlangan. Konsep ini yang saya cuba bawa," katanya dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia yang disiarkan akhbar itu hari ini.
Perdana Menteri berkata pendekatan lain menangani isu-isu antara kaum ialah Umno harus kekal sebagai sebuah parti yang 'centrist' (kelompok tengah) yang tidak keterlaluan atau ekstrem.
Najib menarik perhatian bahawa Umno juga bersetuju menggubal perlembagaan yang merupakan cerminan kepada kontrak sosial, sebagai kompromi kepada kepelbagaian kaum di negara ini.
"Kita sudah mula langkah itu bersandarkan kepada prinsip wasatiyah sejak dahulu. Cuma kita tidak gunakan istilah wasatiyah. Namun, sejak mula UMNO ditubuhkan telah ditetapkan negara ini berlandaskan pada perlembagaan yang bersifat sederhana sehingga sekarang.
"Saya tidak fikir kita perlu alih haluan atau landasan kerana ini telah ditentukan sejak dahulu lagi," jelas Najib.
Menyentuh aspek sokongan kaum Cina, Najib yang juga Pengerusi BN berkata ada sedikit perubahan positif, tetapi masih belum sampai ke tahap yang diharapkan.
Mengambil isu sekolah Cina sebagai contoh, beliau berkata adalah mustahil untuk mendapatkan kembali sokongan kaum itu sekiranya ada suara dalaman yang mahukannya ditutup.
Najib berkata dalam sistem demokrasi terbuka, penting bagi BN untuk membuat keputusan secara kolektif yang akhirnya akan membawa manfaat kepada semua parti komponen.
"Kalau langkah kita menyebabkan sokongan kepada Umno dan BN menurun, tentu sekali apa yang kita lakukan tidak memberi faedah kepada kita. Orang putih kata lose, lose tapi kita win, win. Jangan kita lose, lose. Kalau kita lose, lose nanti hendak masuk pilihan raya, kita akan berhadapan dengan kesukaran," katanya.
Mengenai soal perpaduan melalui pendidikan dan langkah ke arah sekolah satu aliran, Najib berkata sesuatu keputusan yang dibuat haruslah tidak mendatangkan mudarat kepada negara, sama ada dari segi hubungan kaum hatta dalam BN sendiri.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mahu sekolah Cina meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan yang merupakan alat perpaduan, yang boleh membantu ke arah memupuk persefahaman antara kaum.
"Saya sedar ini bukan satu keadaan yang ideal, tetapi sudah kita warisi. Tidak boleh rombak balik apa yang telah diputuskan sewaktu Malaysia merdeka," katanya.
UMNO dan BN harus menjadi lambang masa depan negara
UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti digambarkan sebagai parti yang melambangkan masa depan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Beliau berkata UMNO dan BN perlu menjadi satu parti yang moden, progresif, inklusif dan adil tetapi tidak lari daripada perjuangan asas.
"Keadilan itu merupakan prinsip Islam. Segala-gala yang kita buat, yang pokok ialah keadilan. Berlaku adil kepada orang Islam dan di samping itu adil kepada orang bukan Islam," katanya dalam wawancara khas dengan akhbar Mingguan Malaysia yang disiarkan, Ahad.
Dalam wawancara itu yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014, Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata beliau melihat ada kelunturan nilai dalam parti itu yang boleh dianggap sebagai perubahan generasi.
Katanya, jika dahulu, orang Melayu miskin kebendaan tetapi kaya semangat tetapi hari ini mereka kaya dengan kebendaan tetapi miskin semangat perjuangan.
"Kalau kita tidak pulihkan semangat perjuangan, amat sukar bagi kita untuk menggerakkan UMNO sebagai sebuah parti politik yang benar-benar dinamik dan boleh menampilkan sesuatu imej yang mampu menyakinkan orang," katanya.
Najib berkata pemimpin-pemimpin parti komponen BN juga perlu melakukan transformasi kepada parti mereka bagi menarik sokongan rakyat.
"Mereka patut melakukan transformasi kepada parti mereka dan sekurang-kurangnya dalam MCA sudah ada kepimpinan baharu yang sedang berusaha ke arah itu," katanya.
Langgan:
Ulasan (Atom)






