Khamis, 13 November 2014
9,000 kes jenayah melibatkan warga asing- Zahid Hamidi
Sebanyak 9,496 kes jenayah melibatkan warga asing dicatatkan antara Jan hingga Ogos tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, jumlah itu adalah 11.2 peratus daripada keseluruhan 85,029 kes jenayah yang direkodkan dalam tempoh sama di negara ini.
"Walaupun perangkaan itu masih lagi kecil berbanding keseluruhan indeks jenayah negara, polis sentiasa memberi perhatian serius dalam membendung kegiatan jenayah melibatkan warga asing kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada rakyat tempatan," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin tahu statistik pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing yang terlibat dalam kes jenayah serta pelan tindakan kementerian dalam memastikan kegiatan mereka dapat dikawal.
Katanya, daripada jumlah itu, 2,306 melibatkan jenayah kekerasan iaitu bunuh (167), rogol (138), samun berkawan bersenjata api (108), samun berkawan tanpa senjata api (1,008), samun bersenjata api (10), samun tanpa senjata api (377) dan mencederakan (498).
Ahmad Zahid berkata, 7,190 kes pula melibatkan jenayah harta benda iaitu curi (1,871), curi kereta (568), curi motosikal (1,252), curi jentera berat (78), ragut (318) dan pecah rumah (3,103).
Tambahnya, pada 2012 terdapat 1,575 kes jenayah melibatkan warga asing atau satu peratus daripada keseluruhan 153,669 kes jenayah, manakala tahun lepas jumlah itu meningkat kepada 13,591 atau 9.2 peratus daripada 147,062 keseluruhan kes.
Menurutnya, beberapa tindakan telah diambil untuk mengawal kegiatan jenayah oleh warga asing termasuk mengadakan operasi bersepadu melibatkan polis, Jabatan Imigresen, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
"Kementerian juga telah menghantar lebih ramai pegawai serta anggota tambahan ke kawasan-kawasan yang kerap menjadi tumpuan warga asing, selain mewujudkan balai atau pondok polis dan meningkatkan operasi besar-besaran di kawasan terbabit," katanya.
Selain itu, katanya polis juga mengadakan kerjasama erat dengan kumpulan masyarakat dan kerajaan tempatan serta meningkatkan keberkesanan penggunaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV).
"Cap jari (biometrik) semua pekerja asing turut diambil melalui program 6P untuk mengesan kemasukan kali kedua dan pendaftaran rekod jenayah," tambahnya. - Bernama
RM33 juta kos operasi mencari dan menyelamat MH370 dan MH17
Kerajaan memperuntukkan RM33,461,861.50 bagi menampung kos operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan Penerbangan MH17 setakat ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, seramai 3,732 penjawat awam juga terlibat dalam operasi itu.
"Sehingga kini, kos operasi mencari dan menyelamat telah ditanggung sendiri oleh negara-negara yang terlibat," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong).
Ng bertanya mengenai kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan dan jumlah penjawat awam yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat MH370 dan MH17 selain kos-kos yang ditanggung oleh negara lain yang terbabit dalam tragedi itu.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada pada 8 Mac lepas. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, pula terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh pihak tidak bertanggungjawab. - Bernama
Desakan DAP ada niat lain- Nik Abduh
Desakan DAP yang berulang-ulang terhadap kehadiran Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Mesyuarat Majlis Pimpinan PR dilihat seolah-olah mempunyai niat lain.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan ketidakhadiran bosnya itu dalam beberapa mesyuarat lalu mempunyai sebab tertentu dan tidak boleh dielakkan.
"Isu kehadiran mesyuarat itu semua orang tahu, kewajipan hadir, tidak hadir itu mesti ada sebab, jadi bila desak-desak itu, saya fikir sudah lain (niat)," katanya kepada pemberita di pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat kelmarin sebulat suara menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada masa akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, memandangkan Abdul Hadi merupakan satu-satunya pemimpin yang boleh membuat keputusan dalam Pas, maka kehadiran beliau penting untuk mengukuhkan gabungan PKR dan DAP dalam PR.
Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh memberi jaminan isu kehadiran itu akan dibincangkan oleh pimpinan PR dan perkara lalu tidak wajar diulang dan diungkit.
"Saya fikir pihak pimpinan PR akan bincang benda ini, yang lepas itu, lepaslah," katanya lagi.Petikan Sinar Harian
Rabu, 12 November 2014
Keputusan mahkamah rayuan membuka jalan membenarkan perkahwinan sejenis
Alasan penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan amat luas impikasinya termasuk membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.
Tun Abdul Hamid berkata alasan-alasan yang diberikan mahkamah itu juga menyebabkan hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah.
"Alasan penghakiman tersebut memberi implikasi apabila sesuatu hukum syarak boleh diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal seperti yang diberi oleh mahkamah di negara-negara sekular.
"Apabila hukum syarak diukur dengan nilai liberal hak asasi ala-Barat dan apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ia tidak munasabah kepada seseorang Hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi e-mel yang dihantar kepada Bernama bagi memberi pandangan berhubung keputusan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang sebulat suara membenarkan rayuan dikemukakan tiga jurumekap pengantin, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail,30, untuk mengisytiharkan Seksyen 66 adalah tidak sah di sisi perlembagaan dan undang-undang.
"Apa yang merisaukan saya ialah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar Seksyen 66 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Mereka mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap suruhan agama Islam.
"Bagi saya, jika mereka menerima bahawa kesalahan itu adalah kesalahan terhadap suruhan agama Islam (sebenarnya mereka terima kedudukan itu), maka sepatutnya mereka mengesahkan bahawa peruntukan itu sah di sisi Perlembagaan. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang itu," katanya.
Tambah beliau, sebaliknya hakim tersebut merujuk kepada peruntukan-peruntukan lain seperti penghakiman Mahkamah Agung Amerika Syarikat dan India sedangkan perlembagaan negara tersebut tidak sama seperti Malaysia.
"Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai kita. Hakim-hakim itu juga nampaknya sangat terpengaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala-Barat. Akibatnya, mereka memberi tafsiran yang sangat liberal mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan," katanya.
Abdul Hamid berkata, berdasarkan alasan penghakiman yang sama, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih daripada satu; undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat; kesalahan meminum minuman yang memabukkan; kesalahan zina dan liwat dan lain-lain juga, boleh diisytiharkan tidak sah.
"Malah penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis. Nampaknya apa yang saya khuatir akan berlaku telah mula berlaku," kata beliau.
Abdul Hamid berkata setelah membaca penghakiman ringkas dalam kes tersebut beliau mendapati bahawa peruntukan Seksyen 66 itu tidak sah bukan kerana ia 'undang-undang jenayah' yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan tetapi kerana ia melanggar Perkara 5(1)(kebebasan diri), 8(1) (kesamarataan), 8(2) (diskriminasi), 9(2) (kebebasan bergerak) dan 10(1)(a) (kebebasan bercakap dan bersuara).
Seksyen 66 enakmen itu memperuntukkan bahawa adalah suatu kesalahan apabila lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara, tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Pada 7 Nov lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 66 tersebut adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi masalah kecelaruan identiti jantina (GID).
Dalam penghakiman ringkas setebal 33 muka surat itu, Hakim Mohd Hishamudin berkata, penguatkuasaan Seksyen 66 itu akan meletakkan perayu-perayu yang mengalami GID terus hidup dalam ketidakpastian, kesengsaraan dan rasa malu.
"Seksyen 66 secara langsung menjejaskan hak perayu-perayu untuk hidup secara bermaruah seperti yang dijamin oleh Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, dengan merampas hak mereka sebagai anggota masyarakat," kata Hakim Mohd Hishamudin.
Sementara itu, Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang- Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata satu pendekatan harmoni perlu diambil bagi menangani isu pertembungan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya pertembungan dalam peruntukan-peruntukan mampu menggugat prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam konteks transgender-lelaki Islam berpakaian seperti wanita yang tercetus di Negeri Sembilan baru-baru ini, peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN), Mahkamah Syariah serta pihak berkuasa agama perlu diharmonikan dengan jaminan kebebasan asasi," katanya dalam sidang media di Persidangan Meja Bulat 'Gender Dalam Kerangka Maqasid: Isu-Isu Falsafah dan Perundangan' anjuran IKIM di sini.
Beliau berkata, kepentingan dan jaminan Perlembagaan Persekutuan terhadap kebebasan asasi tidak boleh dipersoalkan.
Namun, dalam masa yang sama Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf kedudukan DUN yang mempunyai kuasa perundangan untuk menjatuhkan hukuman terhadap perbuatan yang melanggar perintah agama Islam.
"Perintah agama Islam termasuklah juga isu-isu berkaitan akhlak dan moral bagi orang Islam. Hal berkaitan pakaian adalah antara isu penting dalam ajaran dan perintah agama Islam yang mana terdapat prinsip yang jelas dalam hadis-hadis berkaitan tatasusila pakaian Muslim. Seorang lelaki tidak boleh menyerupai wanita dan begitulah sebaliknya," katanya.
Kos rawatan kesihatan warga asing dinaikkan 100 peratus
Kabinet bersetuju untuk menaikkan bayaran kos perkhidmatan bagi warga asing yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan kepada 100 peratus mulai Januari tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kenaikan itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh tiga tahun.
"Ia meliputi bayaran penuh yang mana bayaran sedia ada akan naik 30 peratus tahun depan, 30 peratus lagi pada 2016 dan 40 peratus pada 2017.
"Bermakna sehingga hujung 2017 mereka akan bayar 100 peratus dan ini penambahan dua kali ganda dari kadar sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut laporan, pada masa ini, warga asing termasuk pekerja dan pelajar yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan menikmati subsidi perubatan 30 hingga 40 peratus.
Sebelum ini, kerajaan dilapor bercadang mengenakan bayaran kos perubatan sebenar kepada warga asing yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan.
Langkah itu disifatkan mampu membantu kerajaan berjimat sehingga RM100 juta yang boleh disalur kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan negara. - Bernama
1MDB: Tidak ada surat jaminan jelas selain untuk RM5.8 bilion- Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menegaskan bahawa surat jaminan jelas kerajaan hanyalah untuk RM5.8 bilion dan bukan US$3 bilion seperti didakwa pembangkang baru-baru ini.
Katanya beliau memahami bahawa terdapat satu surat sokongan yang dikeluarkan kerajaan untuk bon berjumlah US$3 bilion (RM9.6 bilion), bagaimanapun ia bukan jaminan jelas kerajaan.
Katanya kenyataan beliau pada 6 November lepas berhubung surat sokongan sebenarnya tidak membawa maksud bahawa tiada surat sokongan lain yang memberi jaminan jelas kerajaan selain terhadap jumlah sebanyak RM5.8 bilion.
"Saya masih berpegang bahawa kenyataan saya sebagai benar dan tidak bertujuan mengelirukan Dewan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai usul anggota Parlimen (Pandan-PKR) Rafizi Ramli untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan.
Katanya surat tersebut hanya membawa maksud sekiranya 1MDB tidak mampu membayar pinjaman, syarikat tersebut perlu menstruktur semula asetnya yang berjumlah RM51 bilion bagi membayar hutang tersebut.
"Saya yakin 1MDB mampu menjelaskan hutang sejumlah itu memandangkan kumpulan tersebut memiliki aset berkualiti tinggi disokong oleh tunai kukuh dan rizab dalam dan luar negara yang nilainya jauh melebihi nilai hutang RM9.6 bilion," katanya.
Ahmad berkata mengikut rekod, setakat ini 1MDB tidak pernah gagal dalam menjelaskan hutang kumpulan tersebut mengikut jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan dan kerajaan akan membantu sekiranya terdapat lagi tanggungan yang perlu dijelaskan selepas semua langkah penstrukturan diambil.
Beliau juga berkata ia suatu tuduhan tidak berasas berhubung dakwaan cadangan untuk mengeluarkan tawaran permulaan awal (IPO) bagi sebuah syarikat bernama 'Vertis Energy' bertujuan menyelamatkan 1MDB.
Katanya tidak ada syarikat bernama Vertis Energy dan ia cuma nama kod bagi 1MDB Energy.
Isu UMNO Selangor: Noh akan jumpa PM Najib
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Umno Selangor.
Beliau berkata pertemuan itu perlu bagi mendapatkan nasihat daripada Najib selaku presiden Umno untuk memperbaiki kelemahan selain berusaha melakukan penambahbaikan dalam parti.
"Bukan tugas yang mudah menjadi pengerusi Umno, ini bukan jawatan yang glamour ... menteri besar (Selangor) itu ya jawatan glamour.
"Buat masa ini saya belum berkesempatan bertemu dengan Datuk Seri Najib, mungkin selepas ini satu pertemuan akan diadakan dengan beliau untuk mendapatkan nasihat apa yang perlu dilakukan bagi perbaiki Umno Selangor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolokium kepimpinan 2014 di Management and Science University di sini, Rabu.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Dr Mahathir dalam satu sidang media Selasa terhadap kepimpinan Umno Selangor yang dilihat gagal melaksanakan tugas mereka.
Dr Mahathir sebelum ini turut mengkritik barisan kepimpinan Umno Selangor yang menurut beliau perlu berundur selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13.
"Mengenai itu, Datuk Seri Najib yang akan buat keputusan sama ada kepimpinan Umno Selangor perlu bubar atau tidak ... beliau juga yang melantik saya, jadi keputusan itu beliau yang tentukan," kata Noh.
Langgan:
Ulasan (Atom)






