Jumaat, 31 Oktober 2014

Rayuan kes Liwat: Tidak mungkin Saiful mereka bukti- Shafie Abdullah

Saiful Bukhari Azlan tidak mungkin mereka-reka bukti kerana terdapat kebenaran yang nyata dalam keseluruhan keterangan berhubung dakwaan dia diliwat Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini. Ketua Pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Saiful, pengadu dalam kes itu, boleh mengada-adakan bukti, tetapi dia tidak berbuat demikian. "Terdapat banyak kebenaran. Anak muda ini tidak mungkin mereka-reka cerita. Dia boleh menafikan beberapa perkara tertentu, tetapi dia tidak berbuat demikian, jadi dia adalah saksi yang jujur," katanya. Muhammad Shafee berkata Saiful menjawab dengan spontan soalan yang dikemukakan di mahkamah dan memberi penjelasan mendalam, satu persatu apa yang berlaku, sebelum dan selepas dakwaan liwat itu. Beliau juga berhujah Saiful diganggu secara seksual oleh Anwar di tempat kerjanya sebelum kejadian itu yang mana dia menjadi perhatian seorang yang paling dominan, berpengaruh dan berkarisma. Muhammad Shafee berhujah bagi pihak pendakwaan dalam rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008. Beliau berkata, penderaan seksual itu berlaku dalam tempoh empat bulan sebelum Saiful berhenti menjadi pembantu peribadi Anwar. Muhammad Shafee menjelaskan terdapat tanda yang menunjukkan kejadian liwat pada 26 Jun 2008 itu, bukan kali pertama berlaku berdasarkan keterangan Saiful dan dia turut menunjuk cara bagaimana ia berlaku. "Saksi (Saiful) berkata perbuatan itu kasar. Katanya dia merasa sakit di bahagian rektum dan 'senak perut' dan 'Anwar memancutkan air maninya ke dalam dubur saya seperti biasa'," hujah beliau. Muhammad Shafee berkata perkataan 'seperti biasa' menunjukkan kejadian itu berlaku lebih daripada sekali. Beliau berkata, Saiful berkata selepas mereka berbincang tentang jadual kerja, Anwar mendekatinya dan berkata, "Can I f... you today?" Muhammad Shafee berkata perkataan itu hanya boleh disebut jika seseorang benar-benar mengenali individu berkenaan. Menyifatkan Saiful sebagai seorang saksi yang jujur, Muhammad Shafee berkata pengadu turut menunjuk cara perbuatan liwat itu di kondominium di hadapan hakim perbicaraan. Beliau berkata pada mulanya Saiful enggan menerima tawaran Anwar untuk melakukan liwat, tetapi apabila Anwar mulai berang, kedua-dua mereka pergi ke bilik tidur utama tempat kejadian liwat itu berlaku. Muhammad Shafee juga berhujah sekiranya tiada sebarang hubungan antara mereka berdua, apa perlunya Anwar memberi sut pakaian Brioni (pakaian mewah jenama Itali) kepada Saiful. "Malah saya sendiri pun tidak memiliki (pakaian mewah jenama Brioni); kita tahu betapa mahal harganya," kata Muhammad Shafee. Beliau berhujah Anwar membawa Saiful dalam lawatan ke luar negara iaitu ke Singapura dan Hong Kong, dan semasa di Singapura pengadu diberi AS$1,000 sebagai elaun. Beliau berkata, walaupun Saiful gagal meneruskan pengajian di universiti, Anwar memberi kepadanya elaun yang tinggi dan pengadu mempunyai bilik sendiri di pejabat. Dalam hujah yang lain, beliau berkata Saiful bukan subahat, kerana terdapat kes undang-undang yang menyatakan mangsa penderaan seksual tidak boleh diperlakukan seperti itu. Muhammad Shafee berkata, selaku pelajar yang tercicir daripada universiti, Mohd Saiful tidak mungkin mengada-adakan cerita dan berbohong melainkan dia seorang yang sangat bijak. Mengenai kenyataan Anwar dari kandang tertuduh, beliau berkata perayu mendakwa tuduhan liwat itu adalah konspirasi politik dengan mengaitkan individu tertinggi dalam negara, perdana menteri sehinggalah kepada pegawai penyiasat. Muhammad Shafee berkata, Anwar juga 'menyerang' hakim perbicaraan, yang boleh membawa kepada menghina mahkamah. "Sesiapa yang mensabitkan beliau adalah sebahagian daripada konspirasi dan tidak jujur, tetapi apabila beliau dibebaskan, itu bukanlah sebahagian daripada konspirasi," hujah beliau. Beliau turut menarik perhatian terhadap kegagalan Anwar memanggil saksi alibinya, yang sangat penting dalam kes perayu. Selepas mahkamah menangguhkan pendengaran rayuan itu untuk bersambung pada Isnin, Muhammad Shafee memberitahu wartawan, setakat ini beliau selesai membentangkan 20% daripada hujahnya. – Bernama Ti

Rayuan kes Liwat: Anwar ada hubungan dengan Saiful-Pendakwaraya

Pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata elaun dan manfaat yang diberikan kepada si pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan menunjukkan wujud apa yang boleh ditakrifkan sebagai "hubungan" di antara mereka. Saiful, seorang bekas pelajar tercicir, berpakaian sut mahal dan diberi elaun lumayan serta dihantar ke luar negara, kata ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam penghujahan di Mahkamah Persekutuan hari ini. Merujuk keterangan Saiful, Shafee berkata bekas pembantu ketua pembangkang itu dibayar gaji pokok RM1,000 tetapi diberi elaun US$1,000 bagi perjalanan ke Singapura dan HK$1,000 semasa dihantar ke Hong Kong. Saiful juga berpakaian sut jenama mahal, kata Shafee, yang menambah perkara itu perlu diberi perhatian dalam menunjukkan wujud "hubungan". Anwar, 67, dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008. Mahkamah Persekutuan masuk hari keempat perbicaraan rayuan Anwar melawan sabitan salah dan hukuman penjara dijatuhkan Mahkamah Rayuan Mac lalu. Sepanjang tiga hari sebelum ini, pihak pembelaan mempertikaikan kredibiliti Saiful serta pakar kimia dan pegawai penyiasat yang mengurus sampel DNA yang dijadikan bahan bukti kes. Hari ini juga kedengaran bahasa lucah di mahkamah ketika Shafee memperincikan perbualan antara Anwar dan Saiful sebelum kejadian liwat dikatakan berlaku. Dalam perbualan tersebut, Anwar dalam satu pertanyaan kepada Saiful seolah-olah berkata pelakuan seks berlaku "hari ini", di mana menurut Shafee, "hari ini" membawa maksud hubungan seks mungkin pernah berlaku sebelumnya.

Kerajaan ada pilihan jika harga minyak menurun- Ahmad Maslan

Kerajaan mempunyai dua pilihan sekiranya harga minyak dunia terus menunjukkan trend penurunan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. Beliau berkata, pilihan pertama ialah kerajaan boleh menurunkan harga minyak (RON95) sekiranya harga minyak dunia turun kepada serendah RM1.72 seliter dan mengenakan cukai jualan 58 sen. "Pilihan kedua, kerajaan boleh menurunkan harga minyak sehingga ke paras itu (RM1.72) mengikut pasaran dunia dan tidak mengenakan cukai jualan, namun tidak dapat mengutip hasil yang boleh digunakan untuk membangunkan negara," katanya kepada pemberita selepas melakukan upacara pecah tanah bagi pembinaan Balai Raya Mohamad Noh di Jelutong Laut di Pontian, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan jika harga minyak dunia terus menunjukkan trend penurunan. Buat masa ini, harga minyak RON95 ialah RM2.30 seliter tanpa cukai. Sehingga semalam, minyak mentah Brent turun di bawah AS$87 setong berikutan kemungkinan kenaikan kadar faedah AS. Beliau yang juga ahli Parlimen Pontian berkata kedua-dua pilihan itu merupakan antara perkara yang akan dibincangkan termasuk mengkaji struktur skim penstrukturan semula subsidi bahan api baharu pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal pada Rabu depan. Mesyuarat itu dijangka dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. "Masalah yang dihadapi sekarang ialah untuk mendapatkan semula RM23.5 bilion bagi tahun lalu dan RM21 bilion pada tahun ini yang dibayar kepada syarikat minyak untuk membolehkan kita menurunkan harga minyak," katanya. Mengulas langkah kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Joko Widodo, turut dikenali sebagai Jokowi yang berhasrat mengubah struktur subsidi bahan api, Ahmad berkata secara tidak langsung ia membolehkan rakyat Malaysia lebih memahami berhubung langkah pengurangan subsidi minyak. Katanya, kedua-dua negara menghadapi masalah sama apabila memberi subsidi yang tinggi untuk menurunkan harga minyak tetapi pada masa sama, golongan berpendapatan tinggi dan sederhana tinggi paling ramai menerima subsidi itu berbanding mereka yang miskin atau sederhana miskin. Jokowi dilaporkan merancang untuk menaikkan harga petrol dan diesel kira-kira 50% dalam tempoh dua minggu selepas majlis angkat sumpah jawatan, tindakan yang dijangka menjimatkan kerajaan kira-kira AS$13 bilion (RM39 bilion) tahun depan. Sementara itu, katanya jumlah syarikat perniagaan yang mendaftar bagi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) meningkat apabila hampir 2,500 syarikat mendaftar setiap hari. Setakat ini, katanya 115,289 buah syarikat sudah berbuat demikian. Perkembangan terbaru itu menyebabkan kerajaan meningkatkan sasaran awal sebanyak 123,000 kepada 200,000 buah syarikat yang berdaftar sehingga tarikh akhir, 31 Disember ini. – Bernama -

Rabu, 29 Oktober 2014

Kerajaan tidak tanggung hutang 1MDB-PM Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak menanggung sebarang hutang atau bayaran faedah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya syarikat itu jatuh bankrap. Perdana menteri berkata, hanya pinjaman bernilai RM5.8 bilion sahaja yang menerima 'jaminan jelas' kerajaan Malaysia. "1MDB tidak menerima jaminan dari kerajaan bagi pinjaman lain. "Sepertimana syarikat lain yang tertakluk di bawah Akta Syarikat, 1MDB juga mempunyai liabiliti terhad dan selain daripada pinjaman atau bon yang menerima jaminan kerajaan, hal kewangan 1MDB tidak termasuk dalam kiraan kontinjen liabiliti kerajaan. Keadaan kewangan syarikat adalah tanggungan syarikat itu sendiri," katanya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu sama ada kerajaan terpaksa menanggung beban hutang RM38 bilion 1MDB jika syarikat itu muflis. Najib menjelaskan hutang 1MDB pada tahun berakhir 31 Mac 2013 adalah sebanyak RM36.25 bilion. Perdana menteri berkata, 1MDB mempunyai rangka kerja tadbir urus yang kukuh dan membolehkannya mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi bon yang diterbitkan. Selain itu katanya, syarikat itu sentiasa melakukan 'due dilligence' kewangan dan teknikal yang sepenuhnya sebelum membuat keputusan bagi melabur dalam sesuatu projek. "Setakat ini, 1MDB tidak pernah terlepas daripada memenuhi obligasi jadual pembiayaan kewangannya. Kedudukan kewangan 1MDB tetap kukuh disokong oleh aset strategik yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti di samping mempunyai peluang pertumbuhan yang utuh," kata Najib. – Bernama

Perlantikan Gopal Sri Ram bertentangan dengan Majls Peguam

Badan Peguam Malaysia perlu menjelaskan mengapa Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram dibenarkan mewakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rayuan kes sodominya. Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata perkara itu bertentangan dengan usul badan peguam itu pada mesyuarat agung tahunannya awal tahun ini. Mesyuarat 15 Mac badan itu menerima usul bahawa hakim-hakim mahkamah lebih tinggi yang bersara dilarang dari mewakili anak guam di mahkamah. Menurut Tan, jika amalan sedemikian dibenarkan ia mungkin memberi kesan ‘intimidasi’ terhadap hakim mahkamah, dan lebih buruk lagi, ia memberi persepsi bahawa hakim bersara/peguam berkenaan dan anak guamnya memiliki kelebihan ke atas peguam lain. “Pemuda Gerakan menggesa badan peguam itu menjelaskan sama ada dalam hal ini terdapat pengecualian istimewa buat Anwar,” katanya. Bagaimanapun, pada September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seseorang hakim Mahkamah Tinggi yang bersara boleh bertindak sebagai peguam dalam kes sivil. Panel lima hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rauf Sharif memutuskan bahawa ini selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak (seseorang) meraih sumber pendapatan.

Konvensyen UMNO Selangor Sabtu ini

UMNO Selangor akan menganjurkan satu konvensyen di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Sabtu ini untuk membincangkan isu berkaitan situasi politik di negeri ini. Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata tiga kertas kerja akan dibentangkan pada konvensyen bertema ‘Bersama Melaksanakan Transformasi’ itu termasuk mengenai isu memenangi hati pengundi serta isu dan cabaran menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Beliau juga akan menyampaikan ucapan dasar bertajuk “Menawan Selangor pada PRU 14, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. Konvensyen itu adalah kemuncak kepada program dan aktiviti UMNO Selangor sepanjang tahun ini seperti yang dituntut oleh perlembagaan parti. Noh, yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang, berkata UMNO Selangor mengundang Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merasmikan konvensyen itu. “Seramai 1,500 peserta terdiri daripada kepimpinan UMNO peringkat bahagian, anggota Kelab Veteran UMNO dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Selangor (Mubarak) dijangka menghadiri konvensyen ini,” katanya.

Tindakan tegas terhadap pelajar langgar undang undang

Pergerakan Puteri UMNO menggesa pengurusan Universiti Malaya (UM) mengambil tindakan tegas dan adil ke atas pelajar yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang universiti tersebut. Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tanpa tindakan seumpama itu dibimbangi kepimpinan universiti tersebut dilihat atau dianggap lemah oleh masyarakat dan pelajar universiti berkenaan. “Perkara yang menyalahi undang-undang dalam kalangan pelajar tidak seharusnya berlaku kerana mereka hanya pelajar yang pastinya menjunjung peraturan demi masa depan mereka sebagai pelajar. “Kerana itu, kejadian yang berlaku di UM malam Isnin lalu perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu pada isu disiplin pelajar supaya keputusan yang bakal dibuat telus dan adil,” katanya. Beliau mengulas mengenai tindakan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) menganjurkan Program Pidato Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari Universiti Malaya ke Penjara di Dataran Dewan Tunku Canselor, UM Isnin lalu. Katanya, isu pelajar dalam politik di universiti sehingga melanggar peraturan amat tidak wajar berlaku, sekiranya ditangani lebih awal imej universiti berkenaan tidak mungkin tercalar seperti hari ini. “Lebih memburukkan keadaan apabila penganjur program membawa masuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam universiti itu yang jelas bertujuan membantu mencapai matlamat agenda peribadi pemimpin tersebut. “Program malam itu telah disalahguna apabila lebih dilihat sebagai platform menghasut dan cuba mengeksploitasi pelajar ke jalanan untuk menyokong politik peribadi ketua pembangkang itu. “Ia juga membuktikan Anwar tidak peduli kesusahan orang awam lain yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan itu,” katanya. wpid-img_24328543535808Tambahnya, insiden yang berlaku melibatkan segelintir pelajar UM itu sekaligus memalukan seluruh warga universiti termasuk ALUMNI yang pernah menimba ilmu di institusi berkenaan. Puteri UMNO amat kesal sekiranya kebebasan berpolitik dalam kalangan pelajar disalaherti oleh masyakat dan disalahguna ini kerana pelajar merupakan generasi masa depan negara yang bertanggungjawab membawa negara ke arah perpaduan. – MediaUMNO