Jumaat, 31 Oktober 2014

Rayuan kes Liwat: Anwar ada hubungan dengan Saiful-Pendakwaraya

Pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata elaun dan manfaat yang diberikan kepada si pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan menunjukkan wujud apa yang boleh ditakrifkan sebagai "hubungan" di antara mereka. Saiful, seorang bekas pelajar tercicir, berpakaian sut mahal dan diberi elaun lumayan serta dihantar ke luar negara, kata ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam penghujahan di Mahkamah Persekutuan hari ini. Merujuk keterangan Saiful, Shafee berkata bekas pembantu ketua pembangkang itu dibayar gaji pokok RM1,000 tetapi diberi elaun US$1,000 bagi perjalanan ke Singapura dan HK$1,000 semasa dihantar ke Hong Kong. Saiful juga berpakaian sut jenama mahal, kata Shafee, yang menambah perkara itu perlu diberi perhatian dalam menunjukkan wujud "hubungan". Anwar, 67, dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008. Mahkamah Persekutuan masuk hari keempat perbicaraan rayuan Anwar melawan sabitan salah dan hukuman penjara dijatuhkan Mahkamah Rayuan Mac lalu. Sepanjang tiga hari sebelum ini, pihak pembelaan mempertikaikan kredibiliti Saiful serta pakar kimia dan pegawai penyiasat yang mengurus sampel DNA yang dijadikan bahan bukti kes. Hari ini juga kedengaran bahasa lucah di mahkamah ketika Shafee memperincikan perbualan antara Anwar dan Saiful sebelum kejadian liwat dikatakan berlaku. Dalam perbualan tersebut, Anwar dalam satu pertanyaan kepada Saiful seolah-olah berkata pelakuan seks berlaku "hari ini", di mana menurut Shafee, "hari ini" membawa maksud hubungan seks mungkin pernah berlaku sebelumnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan