Rabu, 14 Mei 2014
Ahmad Said tarik balik surat keluar UMNO, mohon maaf kepada PM
Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said telah memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan keputusannya keluar daripada Umno, dalam satu pertemuan di Putrajaya, Rabu.
Exco Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata dalam pertemuan itu, Ahmad turut menarik balik surat keluar daripada Umno, serta peletakan jawatannya di dalam parti.
Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, turut berjanji dengan perdana menteri untuk menyokong penuh pucuk pimpinan negeri diterajui Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, kata Mohd Jidin kepada Bernama ketika dihubungi menerusi telefon di sini Rabu.
Beliau berkata Adun Ajil Ghazali Taib, yang sebelum ini turut mengambil keputusan keluar daripada parti, memohon maaf kepada Najib, dan menarik balik surat itu.
Mohd Jidin berkata Ahmad dan Ghazali melahirkan rasa kesal mereka ekoran tindakan secara terburu-buru itu.
"Sehubungan itu, kita 17 Adun (BN) telah bersepakat untuk terus memimpin negeri Terengganu tanpa ada masalah.
"Yang lepas biarlah lepas. Jangan kita ambil kisah lagi. Kita perlu terus bersatu demi perpaduan parti kita," kata Mohd Jidin.
Awal pagi semalam, Ahmad dan Ghazali mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat bebas. Pada Isnin, Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif, yang juga Adun Seberang Takir, mengambil alih jawatan itu daripada beliau.
Selasa, 13 Mei 2014
Kerajaan BN masih kekal takbir Terengganu- MB
Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan Barisan Nasional (BN) masih kekal mentadbir negeri itu dengan majoriti 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata setakat ini, Speaker DUN Terengganu Mohd Zubir Embong masih belum menerima secara rasmi surat yang memaklumkan tiga Adun BN itu mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat bebas.
"Perkara itu masih belum sahih...kita masih dalam keadaan stabil (17 kerusi), BN masih memerintah...apa yang berlaku ada yang tersirat dan akan menguatkan lagi kepimpinan kerajaan Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugas rasmi pertamanya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu dengan mengetip kad perakam waktu pada 7.43 pagi ini.
Ahmad Razif juga berkata beliau bersama kesemua 16 Adun BN Terengganu yang lain akan mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Ditanya sama ada tiga Adun terbabit turut serta dalam perjumpaan bersama Perdana Menteri itu, Ahmad Razif bagaimanapun berkata beliau tidak tahu dan secara peribadi, masih belum berjumpa dengan tiga Adun terbabit.
Awal pagi semalam, tiga Adun BN mengisytihar keluar daripada Umno untuk menjadi wakil rakyat bebas selepas pelantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar baharu.
Tiga Adun berkenaan ialah bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said (Kijal), Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).
Bagaimanapun, Roslee menarik balik perisytiharan keluar Umno dan kembali menjadi wakil rakyat BN dan perkara itu disahkan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee.
Ditanya apa tindakan beliau dalam menangani kemelut politik di negeri itu, beliau menegaskan akan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin sekali gus menepis pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat untuk memastikan kelancaran pentadbiran di Terengganu berjalan seperti biasa.
-- BERNAMA
Krisis Terengganu- Rakyat diminta bertenang BN masih lagi memerintah
Pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) diminta bertenang berikutan perkembangan terbaru politik di Terengganu kerana parti itu masih kekal memerintah kerajaan negeri, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
shafie-apdal-semporna-sabah-menteri-naib-presiden-umno-bn
Beliau berkata anggota BN perlu berdiri teguh dengan kepimpinan Menteri Besar Terengganu yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman bagi memastikan kekuatan parti untuk memerintah kerajaan Terengganu dapat dipertingkatkan.
“Dari segi perlembagaan, kita (BN) masih lagi kerajaan di situ dan sudah ada pengganti selaku Menteri Besar. Selagi tiada makluman daripada (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) atau tuanku, keadaan masih lagi O.K.,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di kediaman beliau di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said keluar parti dan menjadi wakil Bebas.
Mohd Shafie berkata kerajaan BN masih kekal memerintah negeri Terengganu apabila speaker DUN turut dikira bersama 14 Adun BN yang masih tinggal, selepas tiga Adun keluar parti dan menjadi wakil Bebas.
Mohd Shafie berkata Ahmad yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal bersama Adun Ajil Ghazali Taib serta Adun Bukit Besi Roslee Daud masih tidak menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong BN atau sebaliknya.
“Perlu ada penjelasan…tidak bererti mereka masuk Bebas mereka sokong pembangkang. Perlu ada pernyataan atau makluman kepada pihak istana, barulah istana yakin bahawa keadaan itu dah diperakukan,” katanya.
Mengenai persefahaman antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ahmad berhubung peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, Shafie berkata persefahaman itu telah wujud sejak setahun lalu.
“Ada persefahaman antara Perdana Menteri dengan Ahmad Said di peringkat awal iaitu persefahaman untuk membolehkan supaya melanjutkan pelantikan beliau (Ahmad) menjadi Menteri Besar Terengganu.
“Waktu itu ada pergolakan di Terengganu, keadaan itu agak membimbangkan, ada yang setuju ada yang tak setuju, bagi mengelakkan keadaan itu tidak berlarutan, maka dah dipersetujui supaya dilanjutkan sehingga setahun. Saya yakin Ahmad Said faham tentang perkara ini,” katanya.
Beliau menegaskan khabar angin kononnya DUN Terengganu dibubarkan adalah tidak benar sambil meminta masyarakat tidak mudah mempercayai maklumat yang tiada kesahihannya.
“Tanggapan itu tidak benar seperti yang dinafikan speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu (Mohd Zubir Embong). Saya pasti ada orang ambil peluang untuk membuat sesuatu yang boleh melemahkan kekuatan BN di Terengganu,” katanya.
Mengenai laman sosial heboh mengatakan bahawa perkembangan terbaru politik di Terengganu mempunyai persamaan dengan Perak yang berlaku sebelum ini, Shafie sama sekali mengatakan bahawa apa yang berlaku di kedia-dua negeri itu adalah berbeza.
“Di Perak lain di Terengganu lain kerana di Terengganu persefahaman di antara Perdana Menteri dengan bekas Menteri Besar Terengganu manakala di Perak krisis berlaku di antara BN dengan pembangkang,” katanya.
Speaker DUN Terengganu nafi bubar Dewan Undangan Negeri
Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Mohd Zubir Embong hari ini menafikan khabar angin kononnya dewan undangan negeri dibubarkan berikutan perkembangan politik terbaru di negeri ini.
Dewan Undangan negeri hanya boleh dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, katanya.
"Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mesti menghadap Tuanku Sultan untuk memperkenankan pembubaran Dun Terengganu dan setakat ini ia masih belum berlaku.
"Bagaimana nak bubarkan Dun, sedangkan saya sebagai Speaker Dun pun masih belum terima sebarang surat untuk membubarkannya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Khabar angin tersebar luas melalui SMS dan aplikasi Whatsapp kononnya Dun Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini dan pilihan raya negeri Terengganu akan diadakan dalam masa 60 hari.
Mohd Zubir turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Khabar angin tersebar selepas bekas menteri besar Terengganu dan anggota DUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said dan dua lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Umno - Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi)- mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi wakil Bebas.
Dengan perkembangan terbaru politik itu, wakil BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) kini tinggal 14, PAS (14) dan PKR (1).
Selepas Ahmad meletak jawatan sebagai menteri besar semalam, Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu malam tadi.BERNAMA
Isnin, 12 Mei 2014
Krisis Terengganu- Kemungkinan PRK Negeri akan diadakan
Perkembangan terkini krisis politik di Terengganu ekoran tindakan Datuk Seri Ahmad Said dan Ghazali Taib meninggalkan UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas bakal menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ini diikuti tindakan serupa oleh Adun Bukit Besi Roslee Daud yang turut meninggalkan UMNO dan umum jadi wakil rakyat Bebas, awal pagi ini.
Walaupun ada desas-desus bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu dikatakan sudah menyertai PAS, belum ada pengesahan mengenainya.
ahmadsaidmbBagaimanapun, Ghazali yang juga Adun Ajil dan EXCO Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas dikatakan masih kekal Bebas.
Kedudukan kerusi DUN Terengganu terkini Barisan Nasional (BN) 14 kerusi, Pakatan Rakyat 15 serta Bebas kekal tiga, selagi belum disahkan Ahmad sudah diterima sebagai ahli PAS.
Bagi mengelak krisis berlanjutan atau kemungkinan lebih ramai Adun BN mengikut jejak Ahmad, Ghazali dan Roslee, Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah Datuk Ahmad Razif Abd Rahman perlu mengadap Sultan Mizan Zainal Abdin mohon perkenan membubarkan DUN.
Jika ini berlaku, DUN Terengganu akan dibubarkan dan PRN boleh diadakan bagi mendapatkan mandat baru memerintah kerajaan negeri itu.
Dalam pada itu, Ahmad mengaitkan tindakannya keluar UMNO dengan keengganan pimpinan tertinggi menangguhkan peletakan jawatan Menteri Besar sehingga selesai majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini.
Beliau juga mendakwa beberapa Adun UMNO akan mengikut jejaknya keluar parti.
Ahmad tidak menyebut jumlahnya tetapi difahamkan enam Adun tidak menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Ahmad Razif di Istana Syarqiyyah di Cendering dekat Kuala Terengganu, malam tadi.-bnbbc.my
Ahmad Razif MB baru Terangganu
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.
Ahmad Razif, 49, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, pada 9.18 Isnin malam.
Ahmad Razif, lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia.
Beliau juga menjadi Ketua Penerangan UMNO Terengganu pada penggal lepas.
Ketika ditemui pemberita, Ahmad Razif berkata beliau bersyukur kerana majlis peralihan kuasa kerajaan negeri berjalan dengan lancar.
Beliau memberi jaminan akan meneruskan perancangan yang dibuat Ahmad.
"Segala perancangan program untuk kebaikan rakyat, kita akan teruskan. Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said yang banyak mengajar saya.
"Banyak pengalaman bersama beliau yang boleh saya guna untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab (baru) saya," katanya.
Ahmad Razif juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus pernah menjadi Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kuala Nerus dari 2008 hingga 2013.
Beliau menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir selepas memenangi pilihan raya umum ke-12 pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2013.
Ahmad Razif, yang mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Halina Zakaria, dikurniakan empat orang cahaya mata.
Sementara itu, Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.
Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad daripada PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad, UMNO (1960-1970), Datuk Mahmood Sulaiman, UMNO (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman, UMNO (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, UMNO (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh, UMNO (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said, UMNO (2008-2014).BERNAMA
Ahmad Said keluar UMNO selepas letak jawatan sebagai MB
Beberapa jam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada Isnin, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar dari parti UMNO.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal kini berdiri sebagai ADUN bebas.
"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta. Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Kijal," katanya dalam surat tersebut.
Seorang lagi ADUN dari UMNO, iaitu Ghazali taib yang merupakan ADUN Ajil juga telah isytihar keluar dari parti tersebut.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh Ahmad Said dalam satu email kepada Astro AWANI.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin.
Beliau digantikan oleh ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu majlis angkat sumpah.
Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi.
Dengan perkembangan terbaru ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu di mana PAS menguasai 14 kerusi DUN manakala PKR pula satu kerusi.
Langgan:
Ulasan (Atom)






