Isnin, 12 Mei 2014

Ahmad Razif MB baru Terangganu

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said. Ahmad Razif, 49, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, pada 9.18 Isnin malam. Ahmad Razif, lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia. Beliau juga menjadi Ketua Penerangan UMNO Terengganu pada penggal lepas. Ketika ditemui pemberita, Ahmad Razif berkata beliau bersyukur kerana majlis peralihan kuasa kerajaan negeri berjalan dengan lancar. Beliau memberi jaminan akan meneruskan perancangan yang dibuat Ahmad. "Segala perancangan program untuk kebaikan rakyat, kita akan teruskan. Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said yang banyak mengajar saya. "Banyak pengalaman bersama beliau yang boleh saya guna untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab (baru) saya," katanya. Ahmad Razif juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus pernah menjadi Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kuala Nerus dari 2008 hingga 2013. Beliau menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir selepas memenangi pilihan raya umum ke-12 pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2013. Ahmad Razif, yang mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Halina Zakaria, dikurniakan empat orang cahaya mata. Sementara itu, Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas. Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad daripada PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad, UMNO (1960-1970), Datuk Mahmood Sulaiman, UMNO (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman, UMNO (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, UMNO (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh, UMNO (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said, UMNO (2008-2014).BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan