Isnin, 12 Mei 2014

Krisis Terengganu- Kemungkinan PRK Negeri akan diadakan

Perkembangan terkini krisis politik di Terengganu ekoran tindakan Datuk Seri Ahmad Said dan Ghazali Taib meninggalkan UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas bakal menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). Ini diikuti tindakan serupa oleh Adun Bukit Besi Roslee Daud yang turut meninggalkan UMNO dan umum jadi wakil rakyat Bebas, awal pagi ini. Walaupun ada desas-desus bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu dikatakan sudah menyertai PAS, belum ada pengesahan mengenainya. ahmadsaidmbBagaimanapun, Ghazali yang juga Adun Ajil dan EXCO Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas dikatakan masih kekal Bebas. Kedudukan kerusi DUN Terengganu terkini Barisan Nasional (BN) 14 kerusi, Pakatan Rakyat 15 serta Bebas kekal tiga, selagi belum disahkan Ahmad sudah diterima sebagai ahli PAS. Bagi mengelak krisis berlanjutan atau kemungkinan lebih ramai Adun BN mengikut jejak Ahmad, Ghazali dan Roslee, Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah Datuk Ahmad Razif Abd Rahman perlu mengadap Sultan Mizan Zainal Abdin mohon perkenan membubarkan DUN. Jika ini berlaku, DUN Terengganu akan dibubarkan dan PRN boleh diadakan bagi mendapatkan mandat baru memerintah kerajaan negeri itu. Dalam pada itu, Ahmad mengaitkan tindakannya keluar UMNO dengan keengganan pimpinan tertinggi menangguhkan peletakan jawatan Menteri Besar sehingga selesai majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini. Beliau juga mendakwa beberapa Adun UMNO akan mengikut jejaknya keluar parti. Ahmad tidak menyebut jumlahnya tetapi difahamkan enam Adun tidak menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Ahmad Razif di Istana Syarqiyyah di Cendering dekat Kuala Terengganu, malam tadi.-bnbbc.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan