Sabtu, 1 Februari 2014
Amaran Mukhriz: Kita tidak teragak agak dedah kepincangan pemerintahan PR
Kerajaan negeri tidak teragak-agak membuka fail-fail projek bawah kerajaan PR terdahulu jika terus diserang pembangkang yang seolah mahu menggambarkan kerajaan BN dipenuhi amalan korupsi.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jika pembangkang berterusan mengambil pendekatan dedah dan serang, pihaknya juga akan mempertimbang pendekatan sama pada masa akan datang.
“Kita sedang pertimbangkan perkara ini. Saya ingat dahulu tidak perlu ungkit perkara-perkara lama tetapi jika pihak sana (pembangkang) seolah mahu tunjukkan mereka bersih dan kita kotor, kita juga akan bertindak,” katanya, selepas majlis penyerahan buah limau kepada 14 cawangan MCA Jerlun, sempena sambutan Tahun Baru Cina, di Wisma Umno Jerlun, semalam.
Menurutnya, pihaknya juga bersedia mendedahkan kepincangan dalam mana-mana projek yang dirancang bawah PR sepanjang lima tahun lalu.
“Mungkin sudah tiba masa kita buka rekod fail-fail projek lama, antaranya pelaburan pembalakan di Papua New Guinea yang merugikan, projek ladang buah di Pedu serta pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin),” katanya.
Mengulas tindakan PR yang mengheret isu penyelesaian luar mahkamah kes saman Bina Darul Aman Berhad (BDB) dengan sebuah syarikat pembalakan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya, pihaknya sedia memberi kerjasama yang diperlukan oleh badan itu.
“Sudah tentu kita akan beri kerjasama dalam usaha membersihkan segala tuduhan yang boleh menjejaskan nama baik kerajaan negeri BN. Saya alu-alukan jika SPRM beranggapan kes itu wajar disiasat kerana mereka hanya menjalankan tugas,” katanya.
Rentetan laporan SPRM itu, laporan sama turut dibuat di Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia), Suruhanjaya Sekuriti dan Badan Pengawas Saham Minoriti Berhad (Minority Shareholder Watchdog Group), Isnin lalu.
Sejak awal Januari lalu, kerajaan BN diserang secara berterusan oleh pembangkang, bermula dengan isu kenaikan harga barangan, isu pembelian Mercedes Benz S300 yang dikaitkan dengan kereta rasmi Menteri Besar, diikuti kes BDB yang dikaitkan dengan pembalakan di Lebuhraya Trans Eastern Kedah Interland Highway (Tekih).
Pantun gerimdam Kajang cerita...
DI kejar buaya
lari telanjang
tak dapat putrajaya
lari ke Kajang...
mandi telanjang di sungai besar
sambil mencari ikan sepat
hajat ke kajang nak jadi menteri besar
bukan senang belum tentu dapat
ikan sepat dicari di dalam paya
dapat tangkap terus dipijak
ingatkan PAS nak duduk saja
depa pun ada tokoh bijak
ikan ditangkap di kurung dicucuk
hayat nak masak dengan daun pandan
kat jepun pun tak boleh masuk
pasal rupanya bekas banduan
dimasuk pula mengunakan tong
lepas masak di bawa bekal
kat permatang pauh boleh lah kelentong
kat Kajang dah ramai yang guna akal
terlebih bekal simpan di tempayan
untuk di buat kuah laksa
kalau tak dapat mula la nak meroyan
Umno dituduh dijadikan mangsa
bersambung...
PRK Dun Kajang: BN tetap lawan- DS Zahid
Barisan Nasional (BN) memegang prinsip 'lawan tetap lawan' biarpun belum memuktamad calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata walaupun secara lazimnya kerusi Dun Kajang diperuntuk kepada MCA namun kuasa mutlak pemilihan calon terletak di tangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan akan diputus pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
"Saya berpendirian bahawa jika BN putuskan untuk letakkan calon dalam PRK Dun Kajang dari parti mana sekalipun, terutama jika parti itu pernah meletakkan calonnya dalam PRU lalu di Dun itu, maka kita akan hormati keputusan tersebut.
"Dan sekiranya seseorang calon itu telah dimuktamad menjadi calon rasmi BN, pendirian saya secara peribadi 'lawan tetap lawan' kerana mana-mana parti yang meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kecil sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, tetap dianggap musuh politik BN," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional 2014 (PENA) peringkat negeri
Selangor di Universiti Teknologi MARA hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, yang juga Ketua Penerangan Umno.
Kerusi Dun Kajang kosong berikutan peletakan jawatan oleh penyandangnya, Lee Chin Cheh dari DAP pada 27 Jan lepas dan sehari selepas itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diumum sebagai calon pada PRK berkenaan.
Kuasa mutlak Sultan Selangor lantik MB
Pencalonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjadi topik hangat di seluruh negara.
Keputusan itu menimbulkan pelbagai persepsi termasuk hasrat Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor, namun persoalan yang sering diutarakan ialah adakah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak dilantik memegang jawatan itu.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menerangkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar negeri itu.
Beliau berkata kuasa itu diperuntukkan dalam Artikel 51, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
"Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan Menteri Besar dan kedua, soal pembubaran Dewan Undangan Negeri.
"Dalam membuat keputusan menyentuh kedua-dua perkara itu, Sultan tidak perlu bertindak atas nasihat sesiapa," katanya kepada pemberita di Menara Felda di sini, baru-baru ini.
Jelas Mohd Noor, Sultan berhak untuk melantik seorang anggota DUN sebagai menteri besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti dewan, dan syarat kedua, seorang menteri besar yang dilantik mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada Artikel 51 (1) serta berdasarkan Artikel 53 (2)(a); dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
"Mengikut peruntukan tersebut, Raja atau Sultan bagaimanapun boleh melonggarkan syarat kedua menurut kuasa budi bicaranya bagi menepati syarat pertama," katanya.
Dalam erti kata lain, katanya, perlembagaan memperuntukkan kuasa berada di tangan rakyat dalam proses demokrasi di mana Sultan hanyalah merupakan pemerintah perlembagaan dan mempunyai kuasa melantik menteri besar berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, Sultan tidak boleh memilih siapa yang disukai baginda untuk menjadi Menteri Besar kerana ia boleh ditafsir sebagai mencampuri urusan politik negeri.
"Kalau dalam kes Selangor, dua parti iaitu PAS dan PKR boleh mencadangkan nama calon yang sesuai dan jika ditolak, mereka mesti mencadangkan nama lain," katanya.
Namun, Mohd Noor berkata calon yang dicadangkan itu mesti daripada parti yang menang dan dalam situasi di Selangor, misalnya, Sultan Selangor boleh menentukan sama ada calon itu pemimpin parti PAS atau PKR.
Katanya, Sultan juga tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelantikan itu.
"Namun, sebagai contoh, sekiranya wakil A yang mendapat majoriti undi, tetapi wakil B pula menjadi pilihan Sultan, maka parti akan membuat keputusan siapa menjadi menteri besar melalui proses lobi antara satu sama lain. Jadi, apabila wakil B dipilih, maka wakil B akan berjumpa Sultan dan mendapatkan perkenan Sultan.
"Ini bermakna (satu daripada) parti beralah. Tapi, kalau parti tetap dengan keputusan majoriti untuk memilih wakil A, maka Sultan tidak boleh lantik B. Ini kerana sekiranya wakil B dilantik dan kemudian mendapat undi tidak percaya, dia kena buang juga," terang beliau.
Dalam situasi sekarang, Mohd Noor berkata DUN Selangor sudah bersidang dan katakan Anwar menang dalam pilihan raya kecil itu, maka boleh diusulkan di dewan, beliau dicalonkan jadi menteri besar.
"Menteri Besar sedia ada (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) menjadi MB atas perkenan Sultan untuk lima tahun. Kalau beliau hendak meletak jawatan sebelum lima tahun, beliau boleh menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan.
"Sekiranya beliau tidak mahu meletakkan jawatan, maka adakan usul undi tidak percaya terhadap beliau sebagai menteri besar dan (jika )usul (itu) menang, beliau kalah. Maka, beliau kena lepaskan jawatan," terang Mohd Noor.
Katanya selepas melantik menteri besar, Sultan juga diperuntukkan kuasa untuk melantik Exco kerajaan negeri berdasarkan cadangan menteri besar.
Berdasarkan Undang-undang dan Perlembagaan negara, Mohd Noor berkata kriteria bagi seseorang calon untuk bertanding kerusi DUN, beliau mestilah warganegara Malaysia, beralamat di negeri yang ingin ditandingi, berumur lebih 21 tahun, sempurna akal, tidak muflis dan tidak pernah dipenjara melebihi satu tahun (tetapi boleh bertanding selepas tamat hukuman).
"Alamat kad pengenalan calon mestilah di negeri tersebut, contohnya dalam kes kekosongan DUN Kajang, mana-mana calon yang ingin bertanding, perlu beralamat di Selangor. Tetapi, undang-undang tidak menyatakan berapa lama calon perlu duduk di Selangor," katanya.
Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang Lee Chin Cheh dari PKR mengosongkan kerusi itu Isnin lepas.
Kepada persoalan sekiranya keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap kes liwat Anwar nanti berpihak kepada kerajaan, adakah ia akan menjejaskan peluang Anwar untuk bertanding, Mohd Noor berkata ia tidak terjejas kerana Anwar masih boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.
"(Namun), sesiapa sahaja yang akhirnya disabitkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk satu kesalahan yang serius dan tuduhan itu adalah satu kesalahan yang serius, maka kerjayanya sebagai ahli politik atau profesion yang lain akan berakhir," jelasnya.
Pada 7 Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara.
Bagaimanapun, pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat ketetapan bahawa Anwar tidak bersalah dan bersetuju melepas dan membebaskan beliau atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa.
Pada 20 Jan 2012, Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu dan rayuan terhadap pembebasan Anwar dijangka didengar pada 12 dan 13 Feb ini di Mahkamah Rayuan.
-- BERNAMA
Jumaat, 31 Januari 2014
Masyarakat Islam dan Kristian perlu berhenti bahas isu kalimah Allah
Bagi memelihara keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, masyarakat Islam dan Kristian perlu berhenti daripada berbahas tentang isu kalimah Allah.
Ketika menyuarakan saranan itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata ini kerana kebanyakan kumpulan Islam dan Kristian tidak memahami atau tidak mahir tentang undang-undang negeri dan persekutuan.
Menurutnya peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan orang Islam menyebarkan ajaran agamanya kepada bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula dibenarkan menyebarkan agama atau kepercayaannya kepada orang atau pengikut agama lain, kecuali kepada orang Islam.
Beliau berkata Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama atau kepercayaan masing-masing.
"Bagaimanapun, Perkara 11 (4) perlembagaan itu menyebut bahawa penyebaran agama orang bukan Islam dalam kalangan orang Islam adalah dilarang.
"Ini bermakna, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri melalui badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama atau kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam," katanya kepada Bernama di Menara Felda di sini.
Mohd Noor berkata ini bererti sesebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyekat penyebaran mana-mana agama, akidah, ideologi atau malah kepercayaan yang mengandungi walaupun sedikit ajaran bukan Islam dalam sebarang bentuk.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Seksyen 9 (1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 melarang orang bukan Islam daripada menggunakan dalam penulisan atau ucapan, mana-mana daripada 25 perkataan yang terkandung dalam Bahagian 1 Jadual berkaitan agama bukan Islam.
"Seseorang bukan Islam didapati melakukan kesalahan sekiranya dia menggunakan perkataan Allah dan perkataan Arab lain seperti Firman Allah, Ulama, Hadith, Ibadah, Kaabah, Kadi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Injil, Salat, Khalifah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi dan Sheikh," katanya.
Seksyen 9 (2) juga melarang orang bukan Islam daripada menggunakan 10 kalimah berasal daripada agama Islam seperti yang ditetapkan di dalam Bahagian II Jadual berkenaan, termasuk Alhamdulillah, Insya-Allah, Allahu Akbar, Astaghfirullahal Azim dan Masya Allah.
Di samping Seksyen 9, Mohd Noor berkata Enakmen Selangor itu juga mendapati adalah menjadi kesalahan bagi seseorang bukan Islam apabila di: mempengaruhi atau menghasut seseorang Islam supaya menukar agamanya (Seksyen 4); menyebabkan seseorang Islam bawah umur terpengaruh dengan agama bukan Islam (Seksyen 5).
Perbuatan lain yang menjadi kesalahan ialah: mengajak orang Islam mendengar ucapan tentang atau melihat pameran tentang sebarang perkara berkaitan agama bukan Islam (Seksyen 6); mengirim atau menyampaikan sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada seseorang Islam (Seksyen 7); dan menyebar di tempat awam sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada orang Islam (Seksyen 8).
Mohd Noor berkata setakat ini, 10 negeri meluluskan enakmen serupa yang mempunyai peruntukan hampir sama, kecuali dari segi hukuman, perkataan dan ungkapan.
Kata beliau Kelantan mengenakan hukuman paling berat, termasuk sebatan mandatori bagi semua kesalahan, manakala Enakmen Negeri Johor pula, walaupun tidak mengandungi sebarang Jadual, tetapi mengenakan larangan menyeluruh tentang penggunaan sebarang kalimah berasal daripada agama Islam.
"Dalam kata-kata lain, secara undang-undang, kalimah dan ungkapan tertentu ini menjadi milik eksklusif agama Islam.
Tidak akan menjadi masalah sekiranya kalimah berkenaan tidak langsung digunakan oleh agama lain.
"Enakmen Selangor tidak menyebut tentang kesalahan syariah, tetapi kesalahan sivil, yang bermakna, sesuatu kes itu akan dibicarakan di mahkamah sivil, bukan di mahkamah syariah, yang bidang kuasanya hanya meliputi orang Islam," kata beliau.
Mohd Noor berkata perkara berkaitan agama yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri, perlu ditangani dengan paling sensitif agar sebarang tindakan yang diambil, tidak melukai perasaan mana-mana kaum di negara ini.
"Itulah sebabnya Kabinet menganjurkan penyelesaian 10 Perkara, yang membenarkan orang Kristian menggunakan 'Allah' dalam Bible Bahasa Malaysia. Ia juga membenarkan Bible dalam semua bahasa, bukan setakat diimport ke negara ini, malah dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.
Kontroversi berhubung kalimah Allah tercetus daripada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, yang mengekalkan hak gereja Katolik dari segi perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam seksyen bahasa Malaysia penerbitan majalah mingguannya, 'The Herald'.'
Isu ini timbul semula awal bulan ini apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Bible Society of Malaysia (BSM) dan merampas kira-kira 300 naskhah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban serta menahan dua pegawai BSM.
Ketegangan, khususnya antara masyarakat Islam dan Kristian, reda apabila pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusannya tentang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Malaysia, 'The Herald'. Keputusan itu dilihat sebagai melarang penggunaan kalimah Allah oleh semua orang bukan Islam.
Keputusan mengenai pertikaian undang-undang antara kerajaan dan Gereja Katolik masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan, yang mendengar kes itu pada 5 Mac ini.
Sementara itu, Exco Pemua Umno dan cendekiawan Islam Dr Fathul Bari Mat menegaskan bahawa gerakan dakwah atau usaha menyebarkan ajaran Islam perlu mematuhi tiga kriteria iaitu Perlembagaan, hukum Islam dan sensitiviti masyarakat tempatan.
"Walaupun tiada siapa boleh disekat daripada menunaikan hak asasinya, mereka masih mempunyai pilihan.
Bagi orang Islam, kami tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan kalimah Allah, tapi bagi orang Kristian, mereka boleh memilih sama ada menggunakan 'Lord' atau God' atau 'Jesus' bagi merujuk kepada Tuhan mereka.
"Bagaimanapun, dalam kes ini, mereka bertegas untuk menggunakan kalimah Allah, yang telah mengelirukan umat Islam dan menimbulkan suasana sensitif serta tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam," katanya.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung India yang mengekalkan larangan yang dikenakan kerajaan negeri Gujarat terhadap penyembelihan lembu pada 2005 dan berpendapat rakyat Malaysia juga perlu mengelak daripada melukai perasaan, kepercayaan dan amalan satu sama lain.
Khamis, 30 Januari 2014
Mengharap tuah dari tahun kuda..
Ma Thou Gong Xiang
Oleh Haniff Ghazali di Hong Kong
Masyarakat Cina di seluruh dunia menyambut Tahun Baru Cina hari ini yang mengangkat perayaan kali ini sebagai tahun baru kuda, jelmaan personaliti dan karakter kuda itu sebagai haiwan yang gagah, tegap dan mantap.
Tahun kuda kali ini dipersonafikasikan sebagai Tahun Kuda Kayu, juga membawa maksud dan kepercayaan masyarakat Cina sedunia bakal membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kegagahan dalam kehidupan, karier dan bisnes.
Tahun baru ini diucapkan sebagai ‘Ma Thou Gong Xing! San Nin Fai Lok’. Maknanya tahun kuda bawa tuah dan gembira, selamat tahun baru! Sama seperti Tahun Ular Air lalu, tahun 2014 dijangka membawa satu pergerakan dalam polarisasi ekonomi, politik dan sosial sedunia. Tahun Ular Air memartabatkan satu transisi politik terbesar di Republik Rakyat China yang menyaksikan peralihan kuasa daripada pemimpin agung Hu Jintao yang sinonim dengan pemodenan China baru kepada pemimpin agung hari ini iaitu Presiden Xi Jinping, sinonim sebagai pemimpin pemerkasaan benua Cina global.
Peralihan 10 tahun sekali ini sangat unik, selesa dan teratur, cuma dicemari dengan insiden ‘Disgrace Bo’ yang didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan isu tempatan lain. Selebih itu, segala transformasi dan program memasyarakatkan ekonomi dan pengukuhan renminbi berjalan dengan lancar dan jaya.
Tahun Kuda Kayu ini bakal membawa tuah yang besar kepada usaha dan bisnes China ke seluruh dunia. Dengan jolokan panggilan ‘kilang dunia’, bandar ekonomi besar seperti Shenzhen, Guangzhou, Chengdu, malah Shanghai dan Beijing akan memakmurkan dunia dengan pengaruh dan kuasa penawaran melebihi permintaan mengatasi dominasi dunia barat. Inilah maksud Rasulullah SAW dalam sabda baginda berkenaan tuntutan menguasai ilmu, ‘tuntutlah ilmu hingga ke negara Cina’. Hong Kong seperti tahun sebelumnya juga menantikan kedatangan tahun baru ini dengan penuh keceriaan dan kegembiraan. Disokong dengan kekuatan ekonomi, penguasaan logistik dan pengedaran antarabangsa, serta hubungan baik dengan barat dan China, memungkinkan Hong Kong menjadi hab utama dalam kewangan antarabangsa dan pintu entreport, menghubungkan barat dengan timur. Gergasi ekonomi Asia Timur lain seperti Korea Selatan dan Jepun juga mendapat limpah ruah secara langsung dan tidak daripada pengukuhan ekonomi Asia Timur ini.
Saya mengharapkan serta berdoa, negara kita juga dapat kesejahteraan dan nikmat ekonomi dari negara naga Asia Timur ini. Cuma, kita mungkin harus mengubah beberapa persepsi dan isu kronik dalam masyarakat kita. Kita harus bersatu padu, bergerak, berjalan, berlari dan melompat sebagai satu bangsa Malaysia yang satu. Kurangkan kontroversi, jadikan perbezaan kita sebagai satu kekuatan.
Contohi rakyat China yang kredibel dan responsif terhadap cabaran dan persekitaran. Mereka boleh berjuang dan berkendiri dalam perjuangan hidup, bisnes, kehidupan dan peperangan.
Elakkan memanjangkan kontroversi, cari jalan penyelesaian dan bertindak mengikut lunas agama, undang-undang dan perlembagaan tanpa menurut kata hati dan emosi. Hentikan perbalahan, selesaikan dengan segera supaya isu itu tidak meleret dan berkembang menjadi kanser yang membunuh ibu pertiwi. Isu kalimah ‘Allah’ sudah sepatutnya selesai tanpa merobek hati dan perasaan berbilang kaum dan agama rakyat Malaysia.
Kita harus membaca serta mentafsir agama, etika hidup dan kejiranan dengan tafsiran yang suci dan benar, bukannya atas landasan komersial dan agenda peribadi.
Akhir sekali, rakyat Hong Kong dikagumi kerana sentiasa bercakap benar dan berpegang kepada kebenaran. Rakyat kita jarang-jarang, kadang-kadang, sedikit-sedikit dan selalunya hipokrit.
Contohnya, jika ada kawan atau saudara mara ke luar negara, kita pun akan tumpang mengirim cenderahati dari negara yang dilawati. Agak hairan, rakan saya, yang tahu kembara saya ke luar negara sering kali minta untuk dibelikan kemeja-T ‘Hard Rock Cafe’. Boleh kata semua mereka yang keluar negara akan membeli barang kenangan dari premis ‘Hard Rock Cafe’ di negara dilawati. Tapi saya paling hairan, kawan saya itulah yang paling ke depan tidak mahu HRC di Putrajaya.
Entahlah, saya pun minum kat kedai mamak saja, kemeja-T pun pakai jenama pagoda.
Petikan; My Metro. Penulis Pengurus Kanan Kejuruteraan CMC Hong Kong
Khalid akui ada krisis dalaman PKR
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mengakui kerusi Dun Kajang dikosongkan bagi menyelesaikan krisis dalaman yang berlaku dalam kepimpinan PKR.
Beliau berkata tindakan Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Kajang dilihat sebagai wajar dalam usaha mengatasi masalah PKR.
"Masalah dalaman PKR itu memerlukan penyelesaian yang cepat dan segera. Maka, perletakan jawatan Lee itu saya lihat bukan dilakukan secara saja-saja atau main-main tanpa adanya matlamat dan objektif yang lebih besar," kata Khalid yang juga anggota Jawatankuasa Kerja Pas dalam sidang berita di pejabatnya di sini.
Khalid berkata, perletakan jawatan Chin Cheh dan pemilihan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk bertanding kerusi Dun Kajang mampu menangani perbalahan antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali.
"Usaha untuk membawa masuk Anwar ke dalam pentadbiran Selangor juga dibuat kerana PKR percaya hanya Ketua Umum parti itu yang mampu meredakan keadaan tegang berikutan isu dalaman parti," katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Anwar yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, bakal dipilih sebagai Menteri Besar Selangor jika memenangi pilihan raya kecil itu, Khalid berkata isu itu tidak timbul kerana pemilihan jawatan perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, Pas dan DAP.
Sekiranya ada pertukaran jawatan Menteri Besar, katanya Pas juga akan menyerahkan nama calon bagi mengisi jawatan itu.
"Soal jawatan MB (Menteri Besar) tidak timbul kerana jawatan itu tidak boleh ditentukan oleh mana-mana parti sama ada Pas, PKR dan DAP di negeri ini. Pas secara sendirian pun tidak boleh tentukan jawatan MB kerana ketiga-tiga parti (dalam Pakatan Rakyat) tidak mempunyai kerusi majoriti.
"Jika ada perubahan jawatan MB, ia perlu persetujuan daripada Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Kalau ada yang nak tukarkan MB (Menteri Besar), Pas juga akan serahkan nama calon...tapi kalau tidak ada, tidak ada la (serahkan nama)," katanya.
Pada 28 Januari lepas, Anwar dinamakan sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil Dun Kajang.
Chin Cheh memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam persaingan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. - Bernama.
Langgan:
Ulasan (Atom)






