Jumaat, 31 Januari 2014

Masyarakat Islam dan Kristian perlu berhenti bahas isu kalimah Allah

Bagi memelihara keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, masyarakat Islam dan Kristian perlu berhenti daripada berbahas tentang isu kalimah Allah. Ketika menyuarakan saranan itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata ini kerana kebanyakan kumpulan Islam dan Kristian tidak memahami atau tidak mahir tentang undang-undang negeri dan persekutuan. Menurutnya peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan orang Islam menyebarkan ajaran agamanya kepada bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula dibenarkan menyebarkan agama atau kepercayaannya kepada orang atau pengikut agama lain, kecuali kepada orang Islam. Beliau berkata Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama atau kepercayaan masing-masing. "Bagaimanapun, Perkara 11 (4) perlembagaan itu menyebut bahawa penyebaran agama orang bukan Islam dalam kalangan orang Islam adalah dilarang. "Ini bermakna, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri melalui badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama atau kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam," katanya kepada Bernama di Menara Felda di sini. Mohd Noor berkata ini bererti sesebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyekat penyebaran mana-mana agama, akidah, ideologi atau malah kepercayaan yang mengandungi walaupun sedikit ajaran bukan Islam dalam sebarang bentuk. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Seksyen 9 (1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 melarang orang bukan Islam daripada menggunakan dalam penulisan atau ucapan, mana-mana daripada 25 perkataan yang terkandung dalam Bahagian 1 Jadual berkaitan agama bukan Islam. "Seseorang bukan Islam didapati melakukan kesalahan sekiranya dia menggunakan perkataan Allah dan perkataan Arab lain seperti Firman Allah, Ulama, Hadith, Ibadah, Kaabah, Kadi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Injil, Salat, Khalifah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi dan Sheikh," katanya. Seksyen 9 (2) juga melarang orang bukan Islam daripada menggunakan 10 kalimah berasal daripada agama Islam seperti yang ditetapkan di dalam Bahagian II Jadual berkenaan, termasuk Alhamdulillah, Insya-Allah, Allahu Akbar, Astaghfirullahal Azim dan Masya Allah. Di samping Seksyen 9, Mohd Noor berkata Enakmen Selangor itu juga mendapati adalah menjadi kesalahan bagi seseorang bukan Islam apabila di: mempengaruhi atau menghasut seseorang Islam supaya menukar agamanya (Seksyen 4); menyebabkan seseorang Islam bawah umur terpengaruh dengan agama bukan Islam (Seksyen 5). Perbuatan lain yang menjadi kesalahan ialah: mengajak orang Islam mendengar ucapan tentang atau melihat pameran tentang sebarang perkara berkaitan agama bukan Islam (Seksyen 6); mengirim atau menyampaikan sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada seseorang Islam (Seksyen 7); dan menyebar di tempat awam sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada orang Islam (Seksyen 8). Mohd Noor berkata setakat ini, 10 negeri meluluskan enakmen serupa yang mempunyai peruntukan hampir sama, kecuali dari segi hukuman, perkataan dan ungkapan. Kata beliau Kelantan mengenakan hukuman paling berat, termasuk sebatan mandatori bagi semua kesalahan, manakala Enakmen Negeri Johor pula, walaupun tidak mengandungi sebarang Jadual, tetapi mengenakan larangan menyeluruh tentang penggunaan sebarang kalimah berasal daripada agama Islam. "Dalam kata-kata lain, secara undang-undang, kalimah dan ungkapan tertentu ini menjadi milik eksklusif agama Islam. Tidak akan menjadi masalah sekiranya kalimah berkenaan tidak langsung digunakan oleh agama lain. "Enakmen Selangor tidak menyebut tentang kesalahan syariah, tetapi kesalahan sivil, yang bermakna, sesuatu kes itu akan dibicarakan di mahkamah sivil, bukan di mahkamah syariah, yang bidang kuasanya hanya meliputi orang Islam," kata beliau. Mohd Noor berkata perkara berkaitan agama yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri, perlu ditangani dengan paling sensitif agar sebarang tindakan yang diambil, tidak melukai perasaan mana-mana kaum di negara ini. "Itulah sebabnya Kabinet menganjurkan penyelesaian 10 Perkara, yang membenarkan orang Kristian menggunakan 'Allah' dalam Bible Bahasa Malaysia. Ia juga membenarkan Bible dalam semua bahasa, bukan setakat diimport ke negara ini, malah dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya. Kontroversi berhubung kalimah Allah tercetus daripada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, yang mengekalkan hak gereja Katolik dari segi perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam seksyen bahasa Malaysia penerbitan majalah mingguannya, 'The Herald'.' Isu ini timbul semula awal bulan ini apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Bible Society of Malaysia (BSM) dan merampas kira-kira 300 naskhah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban serta menahan dua pegawai BSM. Ketegangan, khususnya antara masyarakat Islam dan Kristian, reda apabila pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusannya tentang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Malaysia, 'The Herald'. Keputusan itu dilihat sebagai melarang penggunaan kalimah Allah oleh semua orang bukan Islam. Keputusan mengenai pertikaian undang-undang antara kerajaan dan Gereja Katolik masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan, yang mendengar kes itu pada 5 Mac ini. Sementara itu, Exco Pemua Umno dan cendekiawan Islam Dr Fathul Bari Mat menegaskan bahawa gerakan dakwah atau usaha menyebarkan ajaran Islam perlu mematuhi tiga kriteria iaitu Perlembagaan, hukum Islam dan sensitiviti masyarakat tempatan. "Walaupun tiada siapa boleh disekat daripada menunaikan hak asasinya, mereka masih mempunyai pilihan. Bagi orang Islam, kami tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan kalimah Allah, tapi bagi orang Kristian, mereka boleh memilih sama ada menggunakan 'Lord' atau God' atau 'Jesus' bagi merujuk kepada Tuhan mereka. "Bagaimanapun, dalam kes ini, mereka bertegas untuk menggunakan kalimah Allah, yang telah mengelirukan umat Islam dan menimbulkan suasana sensitif serta tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam," katanya. Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung India yang mengekalkan larangan yang dikenakan kerajaan negeri Gujarat terhadap penyembelihan lembu pada 2005 dan berpendapat rakyat Malaysia juga perlu mengelak daripada melukai perasaan, kepercayaan dan amalan satu sama lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan