Jumaat, 24 Disember 2010

PRK Tenang 30 Januari 2011



Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Labis, Johor ditetapkan pada 30 Januari (Ahad) depan.

Manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jan, (Sabtu) kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.

Menurut Abdul Aziz, seramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun ketiga tahun ini yang telah dikemaskini sehingga 17 Disember lalu.

Abdul Aziz berkata, sebanyak 376 petugas telah dilantik sepanjang lapan hari tempoh berkempen. Manakala seorang pengurus pilihan raya dan tiga penolongnya daripada Majlis Daerah Labis turut dilantik.

'Dengar nasihat, patuh arahan'

SPR menubuhkan tiga pasukan penguatkuas kempen pilihan raya untuk mengurus perjalanan pilihan raya dan mengawal kempen.

Pilihan raya itu juga akan menggunakan tiga dewan dan sembilan buah sekolah sebagai tempat pengundian yang melibatkan 32 saluran mengundi.

azlanKatanya, penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi.

Sementara itu, Abdul Aziz turut mengambil kesempatan mengingatkan majikan supaya memberi kebenaran kepada pekerja mereka bagi keluar mengundi.

"Mungkin ada daripada pihak swasta yang bekerja pada hari pilihan raya. Oleh itu, majikan mesti memberikan kebenaran kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi. Jika tidak mereka boleh dihukum melalui akta pilihan raya.

"Saya juga akan menulis surat kepada ketua setiausaha sumber manusia supaya jangan menghalang pengundi keluar mengundi," katanya lagi. (sumber Malaysiakini)

Muhyiddin cabar Anwar naikkan gaji di negeri pembangkang



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan kenaikan gaji bagi pegawai-pegawai awam di negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang dahulu sekiranya pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam.

Sambil menolak dakwaan Anwar bahawa beliau memperlekehkan peranan guru apabila mempertikaikan tawaran pembangkang untuk memperkenalkan imbuhan khas RM500 seorang setiap bulan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, sebaliknya menyifatkan dakwaan itu hanya menunjukkan betapa terdesaknya Ketua Pembangkang itu untuk meraih sokongan rakyat.

“Hanya Menteri Pelajaran tidak berhati perut yang tidak menghargai guru… beginilah terdesaknya Anwar Ibrahim, yang sebelum ini pernah menjadi Menteri Pendidikan. Saya gembira mendengar tawaran ini … tetapi apa yang saya katakan adalah kita perlu melihat secara keseluruhan untuk menterjemahkan apa yang dikatakan tawaran ini dalam hakikat sebenar.

"Anwar Ibrahim yang pakar dan bijaksana itu harus tahu, tetapi kerana muslihat politik dan pilihan raya maka dia sanggup buat begitu… tak apalah kalau bankrap, tak apalah kalau tangggung lebih belanja asalkan kita menang dan saya akan jadi perdana menteri, itu tujuan dia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mendidik Demi Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan Anwar yang kesal dengan kenyataannya apabila menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.

Mengenai tawaran pembangkang, Muhyiddin berkata kerajaan akan memberi maklum balas secara keseluruhan berkenaan tawaran-tawaran pakatan pembangkang termasuk imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 tidak lama lagi.

“Kita akan teliti perkara yang ditawarkan… bagus juga dia umum. Tetapi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga sudah bagi tahu kita akan respond secara keseluruhan tentang tawaran 100 Hari pakatan pembangkang itu,” katanya.

Tawaran istimewa pembangkang kepada golongan pendidik itu antara yang terkandung di dalam Program 100 hari yang dikemukakan pakatan pembangkang pada konvensyen mereka di Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) Ke-13.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Rabu, 22 Disember 2010

Jeneral Tun Ibrahim meninggal dunia



Jeneral Tun Ibrahim Ismail (Bersara), 88 tahun, telah meninggal dunia pada jam 4.40 pagi tadi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan disebabkan kompilasi sakit tua. Jenazahnya akan dibawa ke Masjid Negara petang ini dan akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengkebumian Ketenteraan di Makam Pahlawan selepas Solat Asar.

Allahyarham Tun Ibrahim merupakan anak jati Johor, dilahirkan pada 9 Oktober 1922, telah banyak menabur bakti kepada nusa dan bangsa, bermula dari era Peperangan Jepun lagi. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Kopi di Ayer Molek dan seterusnya di Johore English College. Berkawan rapat dengan Allahyarham Tun Hussein Onn ketika zaman persekolahannya dan sama-sama menyertai Johore Military Forces (bermulanya kerjaya Allahyarham di dalam tentera, iaitu pada tahun 1941) dan kemudian dipilih menyertai Latihan Kadet di Akademi Tentera India, Dehra Dun India.

Beliau telah ditauliahkan sebagai Pegawai Tauliah Baginda King dengan pangkat Leftenan Muda dan telah berkhidmat dengan Rejimen ke 19 Hyderabad (Rejimen Kumaon). Kemudian telah dipilih menyertai Pasukan Force 136 Kumpulan B yang beroperasi di Tanah Melayu.

Merupakan anak tempatan ketiga yang telah dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia bermula 1 Julai 1970 sehingga 30 November 1977.

Seluruh warga Kementerian Pertahanan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang Soleh.

NOTAKAKI: Takziah buat keluarga Allahyarham dan moga Allah menempatkan rohnya dikalangan orang yang Soleh. Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada bangsa dan agama malahan perjuangannya berterusan untuk memertabatkan bangsa sehingga akhir hayat.

Walaupun sudah berkerusi roda, Allahyarham sering mengingatkan generasi sekarang untuk terus mentarbatkan agama, bangsa dan negara. Penulis sering bertemu Allahyarham ketika bersolat di Masjid Aman, Jalan Damai, Kuala Lumpur ketika mengejarkan solat di situ. Alfatihah buat Allahyarham.

Isu APCO- Nazri dedah tembelang Anwar



Kandungan surat yang dihantar oleh firma perhubungan awam, APCO Wolrdwide kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dijadikan asas untuk menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, dalam surat bertarikh 19 Ogos itu, firma berkenaan dengan jelas menafikan pembabitannya dalam mencipta slogan 1Malaysia, sekaligus menafikan kenyataan Anwar yang mengaitkan slogan itu dengan firma berkenaan.

“Jadi jelaslah Anwar telah menipu di dalam Dewan, dan inilah bukti yang terpenting sekali untuk membuktikan Anwar menipu,” katanya kepada media di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai penggantungan Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana memberi keterangan tidak benar kepada Dewan kerana mengaitkan konsep 1Malaysia dengan “One Israel”.

Nazri berkata beliau menerima akuan bersumpah daripada Robert M. Shrum, seorang warga negara Amerika Syarikat yang merupakan pakar strategi dan perunding dalam banyak kempen politik di pelbagai peringkat termasuk sebagai penasihat kanan pada 1999 dalam kempen Perdana Menteri Israel Ehud Barak.

Nazri berkata, dalam akuan bersumpah itu, Shrum yang terlibat dalam kempen One Israel pada masa itu, menafikan penglibatan APCO sekaligus mengukuhkan lagi penafian firma berkenaan dalam suratnya itu mengenai sebarang pembabitan dalam kempen “One Israel”.

“Anwar ada sebut Ehud Barak dan One Israel dalam ucapan dia, tapi di sini jelas menunjukkan orang yang bertanggungjawab itu (Robert M. Shrum) menafikan apa yang disebutkan oleh Anwar mengenai penglibatan APCO dengan One Israel,” katanya.

Nazri juga menafikan dakwaan kononnya Anwar tidak diberi hak untuk membela diri dan mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataannya yang mengaitkan konsep 1Malaysia dengan “One Israel”.

Katanya Anwar telah beberapa kali diberi peluang itu sejak penasihat Parti Keadilan Rakyat itu mengeluarkan kenyataan berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat pada Mac lepas, namun tidak menggunakan kesempatan itu, sebaliknya terus mengaitkan konsep 1Malaysia dengan “One Israel”.

“Dia diberi hak untuk membela diri pada 22 April lalu, iaitu hari yang saya bentang usul untuk merujuk dia ke jawatankuasa, sebelum kita mahu luluskan usul itu dia telah diberi hak untuk bela diri.

“Sebelum itu pun pada 17 Mac selepas dia buat kenyataan itu kita bagi dia seminggu untuk membela diri dan menarik balik kenyataan dia tapi dia pilih untuk serang kita lagi tanpa beri bukti-bukti,” katanya.

Dimana pendirian Pas mengenai isu 'al juburi'



Pas perlu menyatakan pendirian mereka berhubung pendedahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin terhadap kenyataan Karpal Singh terhadap kes liwat Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata dalam perkara ini, Pas tidak harus mendiamkan diri kerana kenyataan itu dibuat oleh sekutu rapat mereka dalam pakatan pembangkang.

“Di manakah pendirian Pas, apakah mereka terpaksa mendiamkan diri atau sengaja menutup mata mengenai perkara itu kerana pendedahan itu membabitkan Anwar Ibrahim yang menjadi ketua dalam pakatan pembangkang.

“Di manakah perjuangan Islam yang dilaung-laungkan oleh kepimpinan Pas, apabila sesuatu perkara yang membabitkan rakan mereka, Pas akan mengenepikan perjuangan Islam. Apakah perjuangan Islam yang menjadi prinsip parti itu hanya sebagai perjuangan politik mereka untuk mengelirukan rakyat,” katanya kepada UMNO-online

Semalam, Zulkifli mendedahkan kenyataan Karpal pada 22 Oktober 2007 di parlimen mengenai kegiatan songsang Ketua Pembangkang itu sebelum Dap, PKR dan Pas menubuhkan pakatan pembangkang ketika PRU ke 12 lalu.

Menurut Zulkifli, Karpal yang memaklumkan kisah homoseks dan liwat kepada pimpinan Pas masa itu sehingga mereka melabel Anwar sebagai ‘al Juburi’ dan ‘pak janggut’.

Bagaimanapun, Pas sehingga kini dilihat cuba mengelak membuat sebarang kenyataan membabitkan kes perkara itu, malah Pas juga dilihat akan mendiamkan diri termasuk berhubung kes liwat Anwar yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Hamidah berkata, tindakan yang dilakukan oleh Pas ini menunjukkan mereka cuba `bermain selamat’ dengan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh dianggap akan menyinggung mana-mana pihak dalam pakatan pembangkang.

“Sebelum mereka bersama dalam pakatan pembangkang, ketiga-tiga parti itu akan buat serangan antara satu sama lain , tetapi apabila sudah duduk semeja nampaknya segala apa yang berlaku sebelum ini dipendamkan begitu sahaja bagaikan tiada apa yang berlaku.

“Inilah mainan pakatan pembangkang yang tidak disedari oleh rakyat, Pas tidak mahu buat kenyataan kerana khuatir kehilangan sokongan bukan Melayu begitu juga dengan Dap yang khuatir hilang sokongan daripada penyokong PKR dan Pas.

“Demi kepntingan politik, nampaknya Pas sanggup menjadi `pak turut’ dan mendiamkan diri sehingga mereka dilihat cuba tidak menampakkan perjuangan pemerintahan Islam demi memastikan mereka terus berada adalam pakatan pembangkang,” katanya.

Hamidah berkata, apa yang berlaku ini membuktikan Pas kini sudah hilang pendirian dan berada dalam keadaan tersepit demi masatikan hubungan mereka bersama Dap dan PKR berkekalan sehingga pilihan raya akan datang. -MediaUMNO.

Rakyat dah lama kenal siapa Anwar- Ku Nan


“Siapa yang tidak kenal Anwar Ibrahim? Rakyat dah lama kenal dan tahu siapa dia sebenarnya,” kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkaitan pendedahan oleh sebuah laman web antarabangsa, WikiLeaks, tentang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pendedahan demi pendedahan berkaitan perlakuan Anwar tidak perlu dihebah atau dibongkar oleh UMNO atau mana-mana pihak dalam kerajaan kerana sehingga kini pelbagai kebobrokan Anwar dihebahkan sendiri oleh rakan dan anggota yang pernah menjadi pengikutnya.

“Satu demi satu pendedahan berkaitan kerakusan Anwar dibuat oleh orang-orang yang pernah menjadi sahabatnya, berada dalam PKR dan pernah menjadi pemimpin dalam parti tersebut,” katanya kepada umno-online.com.

Justeru jelas beliau, tuduhan yang mengatakan bahawa pendedahan perlakuan sumbang Anwar kononnya adalah hasil kerja musuh politiknya adalah tidak berkaitan dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) kerana WikiLeaks boleh mengeluarkan apa jua dakwaan.

“Anwar seperti seorang penglipurlara moden yang mengangankan impian-impian berlandaskan pangkat, kuasa dan kedudukan sebagai imbuhan dan pemanis dalam ceritanya sedangkan realitinya, dia sanggup melakukan apa saja termasuk memburuk-burukkan nama negara dan bangsa sendiri,” tegasnya.

Dalam hal ini, beliau menggesa rakyat agar berfikir secara waras apakah yang mampu dilakukan oleh Anwar sebagai Ketua Pembangkang sedangkan selama jawatan tersebut dipegangnya, sumbangan manakah yang boleh dibanggakan; bukan sahaja kepada masayarakat keseluruhan tetapi juga tumpuan kepada ahli PKR sendiri.

“Anwar telah membelakangkan kepentingan negara malah sebelum ini beliau sanggup meninggalkan tugasnya sebagai Ahli Parlimen dan ketua pembangkang tetapi berada di luar negara dengan mempropagandakan Malaysia sebagai sebuah negara yang negatif.

“Saya amat kecewa dengan sikap sedemikian yang sanggup canang cerita yang bukan-bukan sedangkan hal ini akan beri satu kesan yang tidak baik kepada Negara,” tegasnya.

Jelasnya lagi, sememangnya apa yang diperkatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Anwar sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu kerana sanggup memutarbelitkan fakta mengenai usaha UMNO untuk memartabatkan bangsa adalah tepat.

“Anwar dan pakatan pembangkang selalu membuat tuduhan pada UMNO sedangkan jika difikir secara logiknya, Anwarlah yang sentiasa memanipulasi isu tempatan, mempropagandakan hal-hal perpaduan dan mencipta isu-isu baru yang digunakan untuk popularitinya sendiri.”

Tegas Tengku Adnan lagi, inilah wajah sebenar Anwar yang memiliki sikap iri hati, angkuh dan cemburu atas apa yang dimiliki oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya harap janganlah ada lagi rakyat yang bersikap seperti Anwar dan melakukan agenda yang bukan hanya merugikan diri sendiri tetapi juga menjejaskan nama baik agama, bangsa dan Negara. Sikap orang seperti Anwar inilah yang perlu ditolak.”

Pesan beliau, usahlah masyarakat tertipu oleh orang seperti Anwar yang pandai bercakap, berpidato dan bermuka-muka sedemikian. - MediaUMNO

Selasa, 21 Disember 2010

salam bertemu kembali...



AGAK lama tidak muncul di sini, barangkali sebok dengan tugas harian yang tidak berkesempatan untuk melontarkan isu isu yang berlaku di sekeliling dan kadangkala
didorong oleh kekecewaan dengan percaturan yang sedang dimainkan oleh pihak tertentu yang terlalu tamakkan kuasa sehingga sanggup memperkosakan prinsip Agama dan Bangsaku.

Sikap berdiam diri selama ini juga kerana ingin melihat adanya penghujung bagi mereka yang tamak itu untuk kembali ke pangkal jalan bagi menyelamatkan nasib bangsa dan negara yang diperkosakan mereka.

Ketuanan Melayu sudah menjadi bahan dagangan politik untuk meraih populariti dan institusi Agama dan Raja Raja mula dinyahkan dengan pelbagai hujah yang di dokong oleh fahaman politik sempit masing masing.

Namum, melihat kepada perkembangan yang tidak menampakkan penghujungnya, menimbulkan keinsafan untuk kembali berkarya di ruang lingkup yang sempit ini, kerana menyedari dengan sedikit pengalaman yang ada dan pemerhatian yang panjang, rasa terpanggil untuk kembali bercakap yang yang terbuku dan yang tersirat agar bangsaku tidak akan terus diperdagangkan oleh anak bangsa sendiri yang semakin tamak.

Buat rakan rakan yang agak lama tidak ketemu di ruanga ni, harap kita kembali bersua semula dengan satu prinsip BERANI UNTUK BENAR !.