Rabu, 22 Disember 2010

Rakyat dah lama kenal siapa Anwar- Ku Nan


“Siapa yang tidak kenal Anwar Ibrahim? Rakyat dah lama kenal dan tahu siapa dia sebenarnya,” kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkaitan pendedahan oleh sebuah laman web antarabangsa, WikiLeaks, tentang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pendedahan demi pendedahan berkaitan perlakuan Anwar tidak perlu dihebah atau dibongkar oleh UMNO atau mana-mana pihak dalam kerajaan kerana sehingga kini pelbagai kebobrokan Anwar dihebahkan sendiri oleh rakan dan anggota yang pernah menjadi pengikutnya.

“Satu demi satu pendedahan berkaitan kerakusan Anwar dibuat oleh orang-orang yang pernah menjadi sahabatnya, berada dalam PKR dan pernah menjadi pemimpin dalam parti tersebut,” katanya kepada umno-online.com.

Justeru jelas beliau, tuduhan yang mengatakan bahawa pendedahan perlakuan sumbang Anwar kononnya adalah hasil kerja musuh politiknya adalah tidak berkaitan dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) kerana WikiLeaks boleh mengeluarkan apa jua dakwaan.

“Anwar seperti seorang penglipurlara moden yang mengangankan impian-impian berlandaskan pangkat, kuasa dan kedudukan sebagai imbuhan dan pemanis dalam ceritanya sedangkan realitinya, dia sanggup melakukan apa saja termasuk memburuk-burukkan nama negara dan bangsa sendiri,” tegasnya.

Dalam hal ini, beliau menggesa rakyat agar berfikir secara waras apakah yang mampu dilakukan oleh Anwar sebagai Ketua Pembangkang sedangkan selama jawatan tersebut dipegangnya, sumbangan manakah yang boleh dibanggakan; bukan sahaja kepada masayarakat keseluruhan tetapi juga tumpuan kepada ahli PKR sendiri.

“Anwar telah membelakangkan kepentingan negara malah sebelum ini beliau sanggup meninggalkan tugasnya sebagai Ahli Parlimen dan ketua pembangkang tetapi berada di luar negara dengan mempropagandakan Malaysia sebagai sebuah negara yang negatif.

“Saya amat kecewa dengan sikap sedemikian yang sanggup canang cerita yang bukan-bukan sedangkan hal ini akan beri satu kesan yang tidak baik kepada Negara,” tegasnya.

Jelasnya lagi, sememangnya apa yang diperkatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Anwar sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu kerana sanggup memutarbelitkan fakta mengenai usaha UMNO untuk memartabatkan bangsa adalah tepat.

“Anwar dan pakatan pembangkang selalu membuat tuduhan pada UMNO sedangkan jika difikir secara logiknya, Anwarlah yang sentiasa memanipulasi isu tempatan, mempropagandakan hal-hal perpaduan dan mencipta isu-isu baru yang digunakan untuk popularitinya sendiri.”

Tegas Tengku Adnan lagi, inilah wajah sebenar Anwar yang memiliki sikap iri hati, angkuh dan cemburu atas apa yang dimiliki oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya harap janganlah ada lagi rakyat yang bersikap seperti Anwar dan melakukan agenda yang bukan hanya merugikan diri sendiri tetapi juga menjejaskan nama baik agama, bangsa dan Negara. Sikap orang seperti Anwar inilah yang perlu ditolak.”

Pesan beliau, usahlah masyarakat tertipu oleh orang seperti Anwar yang pandai bercakap, berpidato dan bermuka-muka sedemikian. - MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan