Rabu, 22 Disember 2010

Jeneral Tun Ibrahim meninggal dunia



Jeneral Tun Ibrahim Ismail (Bersara), 88 tahun, telah meninggal dunia pada jam 4.40 pagi tadi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan disebabkan kompilasi sakit tua. Jenazahnya akan dibawa ke Masjid Negara petang ini dan akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengkebumian Ketenteraan di Makam Pahlawan selepas Solat Asar.

Allahyarham Tun Ibrahim merupakan anak jati Johor, dilahirkan pada 9 Oktober 1922, telah banyak menabur bakti kepada nusa dan bangsa, bermula dari era Peperangan Jepun lagi. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Kopi di Ayer Molek dan seterusnya di Johore English College. Berkawan rapat dengan Allahyarham Tun Hussein Onn ketika zaman persekolahannya dan sama-sama menyertai Johore Military Forces (bermulanya kerjaya Allahyarham di dalam tentera, iaitu pada tahun 1941) dan kemudian dipilih menyertai Latihan Kadet di Akademi Tentera India, Dehra Dun India.

Beliau telah ditauliahkan sebagai Pegawai Tauliah Baginda King dengan pangkat Leftenan Muda dan telah berkhidmat dengan Rejimen ke 19 Hyderabad (Rejimen Kumaon). Kemudian telah dipilih menyertai Pasukan Force 136 Kumpulan B yang beroperasi di Tanah Melayu.

Merupakan anak tempatan ketiga yang telah dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia bermula 1 Julai 1970 sehingga 30 November 1977.

Seluruh warga Kementerian Pertahanan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang Soleh.

NOTAKAKI: Takziah buat keluarga Allahyarham dan moga Allah menempatkan rohnya dikalangan orang yang Soleh. Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada bangsa dan agama malahan perjuangannya berterusan untuk memertabatkan bangsa sehingga akhir hayat.

Walaupun sudah berkerusi roda, Allahyarham sering mengingatkan generasi sekarang untuk terus mentarbatkan agama, bangsa dan negara. Penulis sering bertemu Allahyarham ketika bersolat di Masjid Aman, Jalan Damai, Kuala Lumpur ketika mengejarkan solat di situ. Alfatihah buat Allahyarham.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan